Kristianofobia Di Malaysia

2139

Kristianofobia di Malaysia bukan sesuatu hal yang baru muncul, tetapi telah kian lama berlaku. Orang Kristian di Malaysia kerap dimangsakan serta ditindas oleh mereka yang tidak memahami Perlembagaan Malaysia serta Rukunegara.

Baru-baru-ni, upacara pelajar cemerlang tahunan yang berlangsung di sebuah sekolah Methodist di Pulau Pinang dijadikan sasaran golongan extremis di Malaysia. Orang tersebut membuat laporan polis berdasarkan khabar angin bahawa sekolah tersebut telah melarang doa agama lain di upacara tersebut. Malah, golongan extremis tersebut juga menuduh bahawa pihak sekolah Methodist tersebut cuba menyebarkan agama Kristian di kalangan hadirin dengan pembacaan “doa”, serta mendakwa bahawa perbuatan tersebut melanggar Artikel 11(4) di dalam Perlembagaan Malaysia.

Satu klip video pun telah menular mengandungi “doa” yang dibaca. “Doa” tersebut adalah Mazmur 111, ataupun dikenali sebagai Kitab Zabur.

 

Zabur 111

Pujilah Tuhan!

Aku akan memuji Tuhan dengan sepenuh hatiku dalam perhimpunan orang tulus dan dalam jemaah.

Sungguh besar perbuatan Tuhan; dikaji oleh semua yang berasa ria kerananya.

Perbuatan-Nya mulia dan agung, dan perbenaran-Nyai kekal selama-lamanya.

Dia telah menghasilkan kerja-Nya yang menakjubkan untuk diingati; Tuhan penuh kasih kurnia dan belas kasih.

Dia telah memberi makanan kepada mereka yang takut kepada-Nya; Dia akan sentiasa ingat akan perjanjian-Nya.

Dia telah mengisytiharkan kepada umat-Nya kuasa hasil kerja-Nya, dalam memberi mereka warisan pusaka bangsa-bangsa.

Hasil kerja tangan-Nya adalah kesetiaan dan keadilan; semua ajaran-Nya pasti.

Semuanya berdiri kukuh selama-lamanya, dan dibuat dalam kebenaran serta ketulusan.

Dia telah menghantar kebebasan kepada umat-Nya;

Dia telah memberikan perintah tentang perjanjian-Nya untuk selama-lamanya – Maha Kudus dan Maha Tinggi nama-Nya.

Takut akan Tuhan permulaan kebijaksanaan; pengertian yang sempurna ada pada semua yang mentaati perintah-perintah-Nya. Pujian bagi-Nya kekal selama-lamanya.

 

Jelas nyata sekali bahawa petikan yang dibaca daripada Kitab Zabur, salah satu Kitab yang diiktiraf oleh agama lain sebagai sahih dan boleh dipercayai, dan juga perlu dirujuk oleh mereka yang ragu-ragu, memberi kemuliaan kepada Tuhan. Terdapat pula mereka yang memakai dalil bahawa kandungan Alkitab, termasuk kitab Zabur, telah dipalsukan, anda boleh menonton video yang berikut untuk penerangan yang lebih lanjut. Alkitab hari ini dengan Alkitab pada abad ke-6 tidak berbeza pun, jadi tidak mungkin orang abad ke-6 diseru untuk merujuk kepada Kitab Zabur dan Injil kalau kandungan di dalam sudah ditukar.

Bukankah Prinsip Pertama di dalam Rukunegara menyatakan “Kepercayaan Kepada Tuhan?” Jadi, apakah kesalahan kalau satu petikan di dalam Zabur 111 yang memuliakan Tuhan?

Di manakah unsur-unsur di dalam Zabur 111 yang menyeleweng akidah serta kepercayaan agama lain? Apakah kandungan yang dikira melanggar Artikel 11(4) di dalam Perlembagaan Malaysia?

Orang Kristian kerap ditindas di Malaysia dalam pelbagai cara, ada yang secara terang-terang sepertimana yang berlaku di sekolah tersebut, dan ada juga secara halus. Masihkah anda ingat peristiwa-peristiwa yang lalu seperti gereja dipaksa menurunkan tanda salib, ataupun kawasan perumahan di mana rekabentuk bumbung menimbulkan kes salib-fobia?

Namun demikian, kita bersabar dan menaruh harapan kita pada Tuhan Yesus sahaja, mendoakan musuh kami dan menunjukkan mereka kasih sayang seperti yang diajar oleh Yesus Kristus. Yesus Kristus tidak menyeru kita memenggal kepala pihak yang menentang Dia ataupun ajaran-Nya, dan Dia juga tidak mengarahkan kita membakar tempat kediaman pihak yang memusuhi-Nya. Tuhan juga tidak melaknat pihak yang menolak Dia, tetapi Dia rindu akan menerima mereka kembali.

Semoga kalian akan terus berdoa supaya segala rintangan dan halangan golongan extremis di Malaysia akan dibendung oleh kuasa Tuhan, dan mereka akan bertaubat daripada cara jahat masing-masing. Orang Kristian tidak minta belas kasihan daripada mana-mana pihak, tetapi ingin menegakkan keadilan di mana juga serta melakukan apa yang Allah telah memberitahu kita: iaitu “…kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu…” dan “…kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri…” (Matius 22:37-39).

Tuhan berkati.