Benarkah Alkitab Pernah Dipalsukan?

2019

Selamilah Alkitab (Injil) untuk diri sendiri dan kenali sejarah di belakang Alkitab, bahawa Alkitab adalah salah satu buku yang boleh dipercayai dengan sepenuhnya.

Tiga Faktor Mengapa Alkitab Boleh Dipercayai Dan Tidak Diubah

1. Faktor Masa

Perjanjian Baru ditulis dalam lingkungan 70 tahun, di mana terdapat banyak saksi-saksi hidup yang boleh mempertikaikan kesahihan penulisan. Kebanyakan daripada murid-murid Yesus masih hidup pada waktu itu. Untuk memperkukuhkan posisi kesahihan Alkitab berbanding dengan hasil tulisan kuno yang lain, Josh McDowell di dalam bukunya, “The New Evidence that Demands a Verdict” (Bukti Baru yang Menuntut Keputusan), mempersembahkan beberapa bukti berkaitan dengan kebolehkepercayaan Alkitab. Antaranya adalah senarai penulisan ahli sejarah kuno seperti Julius Caesar, Tacitus, Thucydides, Seutonius, dll. Kebanyakan daripada sejarah kuno yang kita belajar pada hari ini berdasarkan penulisan mereka. Dari segi bukti sebenar berlandaskan ketepatan dan kebolehkepercayaan karya mereka, terdapat hanya bilangan naskhah-naskhah yang kecil berbanding dengan kekayaan sumber-sumber naskhah penulisan Alkitab.

Julius Caesar hanya mempunyai 20 naskhah kuno yang dipelihara dengan baik, di mana salinan naskhah yang paling awal bertarikh 900 A.D. Ini menunjukkan jurang masa sebanyak 950 tahun di antara waktu Julius Caesar menulis karya asal dengan naskhah salinan yang paling awal di dalam tangan kita. Namun begitu, para sejarawan tidak menafikan atau menolak penulisan Julius Caesar.

PENULIS WAKTU DITULIS NASKHAH PALING AWAL JANGKAMASA BILANGAN NASHKAH
Caesar 100-44 B.C. 900 A.D. 950 tahun 10
Plato (Tetralogies) 427-347 B.C. 900 A.D. 1200 tahun 7
Tacitus (Annals) 100 A.D. 1000 A.D. 900 tahun 20
Thucydides 460-400 B.C. 900 A.D. 1300 tahun 8
Seutonius 75-160 A.D. 950 A.D. 800 tahun 8
Herodotus (History) 480-425 B.C. 900 A.D. 1300 tahun 8
Homer 750 B.C. 400 B.C. 350 tahun 643
Perjanjian Baru 400-100 A.D. 100 A.D. 0 tahun 24,000+

Untuk Homer, seorang sasterawan kuno di mana karyanya dikongsi dan dibaca oleh banyak orang, terdapat kira-kira 643 naskhah kuno karya Iliad yang tinggal dengan jurang masa 350 tahun antara teks asal ditulis dengan naskhah yang paling awal di dalam jagaan kita. Hasil salinan karya Plato (seorang lagi ahli falsafah yang terkenal) berusia 1,200 tahun selepas kematian Plato, tetapi para sasterawan serta sejarawan tidak pernah menyoal kesahihan dan kebolehkepercayaan salinan tersebut. Bagi Perjanjian Baru, waktu di antara kehidupan, penyaliban dan kebangkita Yesus serta kehidupan para murid-Nya dengan hasil penulisan jauh lebih dekat — dalam lingkungan 70 tahun begitu. Secara logik, kesahihan Perjanjian Baru tidak boleh dinafikan kerana kalau penulisan murid-murid Yesus adalah palsu dan cerita dongeng sahaja, sudah tentu ada karya lain yang menafikan Perjanjian Baru.

2. Faktor Saksi-saksi dan Pengakuan Mereka
Alkitab mengandungi jumlah saksi yang besar di mana mereka mempunyai hubungan peribadi dengan Allah yang hidup. Tidak kira lelaki ataupun perempuan seperti Nuh, Abraham, Ishak, Yakub, Musa, Deborah, Rut, Gideon, Samuel, Daud, nabi-nabi, rasul-rasul dan pengikut Yesus, pengalaman mereka mengikuti Allah dengan menjalinkan satu hubungan peribadi jelas nyata sekali. Kira-kira 40 penulis dipimpin oleh Roh Kudus (Roh Allah) untuk menulis Alkitab. Latarbelakang penulis-penulis ini berbeza dari seorang ke seorang: ada yang bekerja sebagai gembala, ada pula yang memimpin rakyat sebagai raja, pemungut cukai, tabib, nelayan, imam, dll. Hasil titik peluh mereka mengambil masa 37 generasi (diandaikan satu generasi adalah 40 tahun), dengan Alkitab ditulis merentasi 3 benua dan 3 jenis bahasa (Ibrani, Aramaic dan Yunani).

Berikut adalah segelintir daripada penulis Alkitab serta latarbelakang ringkas mereka untuk menunjukkan keharmonian dan mukjizat Alkitab :

  • Musa, ahli politik yang dilatih daripada menara gading di Mesir
  • Yoshua, seorang general angkatan tentera
  • Nehemia, pengurus makanan raja Persia
  • Salomo, raja Israel yang paling bijaksana
  • Daniel, perdana menteri di Babilonia
  • Ayub, seorang peniaga yang berjaya
  • Lukas, seorang tabib
  • Matius, seorang pemungut cukai
  • Petrus, seorang nelayan
  • Paulus, seorang imam yang menyara diri di dalam pelayanannya

Apakah kebarangkalian 40 orang penulis merentasi 1,500 tahun dari pelbagai latarbelakang, bahasa, pekerjaan dan negara boleh menulis tentang Allah yang sama serta pengalaman rohani yang serasi? Jawapannya senang sahaja: Ia perkara yang mustahil kalau bukan kerana Allah yang mengaturkan semuanya. Kalau kamu masih tidak percaya, ujilah sendiri. Cuba cari 10 orang dari kawasan perumahan atau kampung kamu, di mana mereka semua bertutur dalam bahasa yang sama dan berasal dari budaya yang sama. Asingkan mereka dan arahkan mereka untuk menulis pendapat tentang satu perkara; contohnya makna kehidupan. Sesudah selesai karya mereka, bandingkan kesemua 10 hasil penulisan tersebut dan cuba cari persamaan di dalam karya-karya itu. Kebarangkalian besar bukan kesemuanya akan bersetuju, malah terdapat percanggahan pendapat. Alkitab tidak ditulis oleh 10 orang penulis sahaja, tetapi 40.

Siapakah yang menulis Alkitab?

3. Faktor Keharmonian
Walaupun Alkitab boleh diambil kira sebagai koleksi antologi penulis-penulis individu yang mengambil masa 1,500 tahun dari latarbelakang yang berlainan, ia juga adalah satu karya penulisan yang bersatu. Alkitab mempamerkan hubungan peribadi antara Allah dengan ciptaan-Nya dari waktu pencipataan sampai ke abad 1 A.D. sambil menunjukkan hubungan tersebut sampai tibanya laluan masa berakhir.

Terdiri daripada 66 buah kitab yang ditulis oleh kira-kira 40 orang merentasi 1,500 tahun, tema dan pesanan di dalam tidak pernah berubah dan sangat jelas sekali sehingga 66 kitab tersebut disatukan sebagai satu karya yang agung. Alkitab juga berbeza di dalam kesatuannya, penuh dengan pelbagai cerita yang akhirnya menunjukkan pelan besar Allah – iaitu cerita Mesias, Yesus Kristus yang menjadi Juruselamat dunia. Alkitab tidak mengandungi sebarang percanggahan kerana semua kitab-kitab di dalam bersetuju sesama sendiri dari Kejadian ke Wahyu. Mengapa pula tidak? Ini kerana penulis utama adalah Allah, dan Dia mencurahkan Roh Kudus-Nya ke dalam penulis-penulis Alkitab untuk menghasilkan satu karya agung. Walaupun para penulis merakamkan pengalaman mereka secara peribadi, tetapi mereka diilhamkan oleh kuasa Roh Kudus.

Setiap kitab di dalam Perjanjian Lama boleh memerikan sejarah Israel melalui laluan masa. Perjanjian Baru pula melengkapi dan memenuhi Perjanjian Lama (Matius 5:17-18). Perjanjian Lama dirujuk lebih daripada 800 kali di dalam Perjanjian Baru. Pernah diulaskan bahawa, “Alkitab adalah pentafsir Alkitab yang terunggul.” Martin Luther sendiri bersandar pada prinsip tersebut dengan kata-katanya, “Scripture sui ipsius interpres” (Alkitab adalah pentafsir sendiri). Alkitab sebenarnya adalah buku yang mengandungi kejadian rujuk silang yang paling banyak. Ini kerana banyak ayat-ayat serta petikan Alkitab saling rujuk silang sesama sendiri.

Kesimpulan
Terdapat banyak orang yang cuba menggugat dan menafikan kesahihan dan kebolehkepercayaan Alkitab tetapi gagal berbuat demikian. Salah satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bagaimana Alkitab telah mengubah kehidupan seseorang, dan akan terus melakukan demikian sehingga Tuhan Yesus datang kedua kali.

Di dalam buku “Christian Perfection” (Kesempurnaan Kristian), William Law menyatakan, “Sayangnya ramai orang cerdik asyik menumpukan perhatian terhadap tarikh-tarikh dan ‘masalah’ linguistik di dalam Alkitab, tetapi mereka tidak mengambil kira tema utama Alkitab, iaitu kasih sayang Allah terhadap kita dan bagaimana kita perlu membalas. Orang cerdik tersebut kelihatan seperti mengambil berat tentang hal-ehwal kebenaran, tetapi gagal melihat tujuan sebenar kebenaran tersebut: iaitu membawa kamu dan saya lebih dekat lagi dengan Allah.” (Sumber: William Law in Christian Perfection. Diringkaskan dan diparafrasakan oleh Marvin D. Hinten. Christianity Today)

Alkitab adalah satu buku yang luarbiasa. Boleh dikatakan dengan yakin bahawa Alkitab itu buku yang paling penting ditulis di dalam sejarah manusia. Ia mengandungi kesaksian peristiwa-peristiwa bersejarah yang amat penting sehingga dunia kita dibentuk secara ketara oleh kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus Kristus. Yang paling penting, Alkitab telah mengubah kehidupan manusia di seluruh dunia, dan juga mengubah kehidupan saya. Bagaimana dengan kamu?