Iblis dengan roh-roh jahat yang lain sentiasa cuba menggoda umat manusia supaya berdosa dan menentang Allah, di mana Alkitab mengandungi banyak contoh. Iblis “…merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (1 Petrus 5:8). Iblis memenuhi hati manusia dengan dusta (Kisah Para Rasul 5:3), dan digelar sebagai “penggoda” (1 Tesalonika 3:5). 

Sewaktu Iblis menggoda Hawa di Kejadian 3 serta godaan Yesus di Matius 4, kita boleh perhatikan corak yang digunakan Iblis sampai hari ini. Walaupun terdapat perbezaan antara godaan, kebanyakan godaan terdiri daripada salah satu daripada 3 jenis seperti yang tertera dalam 1 Yohanes 2:16: keinginan nafsu dan mata, serta segala keangkuhan hidup. 

Di dalam percubaan godaan pertama Yesus, Iblis mendekati-Nya melalui keinginan nafsu. Yesus sangat lapar setelah berpuasa selama 40 hari, dan Iblis menggoda Yesus supaya melakukan mukjizat dan menukar batu kepada roti. Yesus melawan godaan tersebut, tetapi pertemuan tersebut menunjukkan bahawa Iblis sentiasa mengambil kesempatan secara tidak adil. Dia mengeksploitasi kelemahan fizikal dan terus menekan sesiapa yang sudah lemah. Dia tahu kelemahan masing-masing dan sentiasa mencari peluang untuk menyebabkan kita berdosa. 

Apabila Iblis menggoda Hawa untuk memakan buah terlarang, dia mencadangkan bahawa Allah ingin menyembunyikan sesuatu yang lazat daripada Hawa (Kejadian 3:6). Sewaktu Iblis menggoda kita melalui keinginan nafsu, dia memakai nafsu semulajadi kita serta mencadang memenuhi nafsu tersebut dalam cara yang mementingkan diri sendiri. Nafsu semulajadi untuk makan benda yang lazat bukannya salah, tetapi Iblis mengambil kesempatan ke atas Hawa. Keinginan tersebut menjadi dosa apabila Hawa memenuhi nafsunya di dalam cara yang tidak menyenangkan hati Allah. Kelakuan seksual yang tidak bermoral bermula dengan nafsu semulajadi untuk hubungan dengan seorang yang lain. Jika kita tidak membenarkan Yesus menjadi tumpuan kita, penggoda mungkin meyakinkan kita untuk berlaku dosa. 

Cara yang kedua Iblis menggoda kita adalah melalui keinginan mata. Sewaktu Hawa melihat buah terlarang tersebut, sudah pasti dia tahu bahawa apa yang Iblis sampaikan bertentangan dengan apa yang Allah telah memberitahunya dahulu. Mata Hawa memberontak untuk mengingkari pesanan Allah, dan melihat bahawa buah terlarang itu “…bagus sebagai makanan dan nampak sedap”  (Kejadian 3:6). Penglihatan kita memainkan peranan yang penting dalam hal-ehwal membuat keputusan. Kita melihat sesuatu yang kita ingin, dan nafsu kita bersetuju dengan keinginan tersebut. Zaman moden ini yang penuh dengan rangsangan visual, mata kita menerima banyak maklumat yang harus ditapis dengan hati yang suci (Matius 5:8; Mazmur 24:4), jika ingin mengelakkan diri daripada berdosa. 

Simson mula terjerumus di dalam lumrah dosa melalui keinginan mata. Hakim-Hakim 14-16 menceritakan bagaimana Simson bermain-main dengan dosa dan akibat yang penuh dengan tragedi. Sebagai pemimpin pilihan Allah, Simson tidak harus berada di kawasan Filistin ataupun mencintai perempuan Filistin. Namun demikian, matanya menyebabkan Simson berdosa: “Pergilah Simson ke Timna dan di situ dia melihat seorang gadis Filistin. Lalu dia pulang dan memberitahu kepada ayahnya dan ibunya, “Di Timna aku melihat seorang gadis Filistin…Ambillah dia untukku, kerana aku menyukai dia” (Hakim-Hakim 14:1-3). 

Sewaktu Iblis cuba menggodai Yesus, dia memakai cara yang sama: keinginan mata, dengan mempersembahkan semua kerajaan di dunia serta kemuliaannya, dan menawarkan kesemuanya tanpa melalui salib. Yesus memperoleh kemenangan dengan Firman Allah (Lukas 4:8; Ulangan 6:13). Apa yang dilihat Yesus tidak mampu mempengaruhi-Nya untuk berdosa. Jadi, dengan Yesus, Iblis tidak berjaya mengeksploitasi keinginan mata. 

Keangkuhan hidup adalah satu-satunya kelemahan di mana kita semua tertewas dari masa ke semasa. Iblis menggoda kita supaya kita menjadi allah sendiri, dan dia sangat bagus dalam hal membesarkan ego kita. Keinginan Hawa untuk menjadi bijak menjadi sebab dia berdosa dalam Kejadian 3. Oleh kerana keangkuhan hidup, dia menolak hak pemerintahan Allah dan memilih untuk mengikut pilihan sendiri. Secara tidak langsung, dia menjadi allah diri sendiri. Orang Kristian boleh tersungkur jikalau kita tidak menyerahkan diri dengan sepenuhnya kepada ketuhanan Yesus. Biasanya, kita lebih cenderung menyenangkan hati manusia daripada menyenangkan hati Allah, kerana kita suka mengawal keadaan di sekeliling kita sejauh mana yang boleh, sambil berharap bahawa Allah tidak inginkan kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan keinginan kita. 

Iblis cuba menggoda Yesus dengan keangkuhan hidup di dalam Lukas 4:9-11. Dia memberi Yesus satu peluang untuk menunjukkan kuasa-Nya kepada semua orang supaya membuktikan Diri sebagai Anak Allah. Dengan melakukan demikian, ia melibatkan mukjizat yang besar bersertakan pendedahan hadirat para malaikat. Respon Yesus terhadap godaan ketiga ini adalah melalui petikan Alkitab (Lukas 4:12; Ulangan 6:16). 

Iblis akan menggoda kita melalui pelbagai cara, tetapi kita “…mengetahui tujuan-tujuannya” (2 Korintus 2:11). Kita tahu bahawa dia “…menyamar sebagai malaikat cahaya” (2 Korintus 11:14) sambil cuba mempersembahkan jahat sebagai baik. Kita tahu bahawa dia memakai rasa bersalah yang palsu, mengambil kesempatan ke atas kelemahan semulajadi peribadi, dan memutarbelit Alkitab. Kita tahu bahawa dia penuh dengan tipu helah dan membinasakan orang. Dia mungkin mempunyai banyak jenis tipu helah, tetapi kesemuanya boleh ditangani oleh perisai api (Efesus 6:16). Kita boleh mengatasi godaan Iblis kerana “…roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia” (1 Yohanes 4:4).

Iblis boleh cuba menggoda kita melalui keinginan nafsu, tetapi kita “…orang yang hidup menurut Roh, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh Roh” (Roma 8:5). Iblis boleh cuba menggoda kita melalui keinginan mata, tetapi doa kita adalah “Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu” (Mazmur 119:37). Iblis boleh cuba menggoda kita melalui keangkuhan hidup, tetapi kita sentiasa merendahkan diri di hadapan Tuhan (1  Petrus 5:6; Yakobus 4:10).