Soalan tersebut seringkali diungkit oleh umat Kristian. Ramai antara mereka menyoal penyelamatan diri sendiri disebabkan perasaan atau ketiadaan keyakinan. Dalam hal penyelamatan, Alkitab mengandungi banyak perkara tetapi tidak menyatakan apa-apa mengenai “merasai jaminan penyelamatan.” Penyelamatan adalah satu proses di mana orang yang berdosa diselamatkan daripada penghakiman Allah terhadap dosa (Roma 5:9, 1 Tesalonika 5:9). Hanya kematian Yesus di atas salib dan kebangkitan semula-Nya yang mampu memberi kita penyelamatan (Roma 5:10, Efesus 1:7). 

Peranan kita di dalam proses penyelamatan adalah iman. Pertama, kita perlu mendengar Berita Baik bahawa Yesus telah mati disalib dan bangkit semula (Efesus 1:13). Seterusnya, kita perlu percaya dengan sepenuhnya kepada Tuhan Yesus (Roma 1:16) dan pengorbanan-Nya. Kita tidak boleh berharap kepada usaha diri sendiri untuk memperoleh penyelamatan. Ini adalah iman, satu karunia daripada Allah dan bukan sesuatu yang kita boleh memperoleh secara diri sendiri (Efesus 2:8-9). Iman jenis ini melibatkan pertaubatan, perubahan minda tentang dosa dan Kristus (Kisah Para Rasul 3:19), dan menyeru kepada nama Allah (Roma 10:9-10, 13). Barangsiapa yang menerima penyelamatan akan mengalami perubahan hidup sebagai ciptaan baru (2 Korintus 5:17). 

Masyarakat zaman ini amat bergantung pada perasaan. Contohnya, seseorang yang berasa murung meminta pengikutnya di sosial media untuk mengundi jika dia akan membunuh diri atau tidak. Kejadian di mana banyak orang bertindak mengikut perasaan juga berlaku di dalam suasana gereja. Namun demikian, perasaan dan emosi masing-masing tidak boleh diharap, kerana sentiasa bertukar dan berumbang-ambing mengikut situasi. Beginilah corak hidup mereka yang membiarkan emosi memerintah kehidupan mereka. 

Keadaan biasa seperti mengalami serangan sakit kepala, cuaca yang mendung, kata-kata daripada kawan yang mengguris hati, semua ini boleh menghakis keyakinan diri sendiri dan membiarkan kita berasa sedih. Perasaan tawar hati dan kesangsian mula menguasai seseorang, terutamanya dalam hal ehwal kehidupan Kristian. Akhirnya, kita akan berfikir bahawa perasaan kita adalah kebenaran, walaupun keadaan bukannya sedemikian. 

Seorang Kristian yang tahu akan hal ini tidak akan dikuasai oleh perasaannya, tetapi oleh kebenaran yang terpendam di dalam hatinya. Dia tidak perlu bergantung kepada keberkesanan perasaan diri, kerana dia tahu bahawa kelakuan tersebut yang seringkali menjadi batu sandungan di dalam kehidupan seseorang. Mereka terlalu introspektif sehingga mementingkan diri sendiri sahaja dengan menganalisa perasaan diri sendiri. Golongan ini akan sentiasa menyoal hubungan peribadi mereka dengan Allah. “Adakah saya sayang pada Allah?” “Adakah Allah benar-benar mengasihiku?” “Adakah saya cukup baik untuk diterima Allah?” Apa yang perlu berlaku adalah untuk mengutarakan perhatian terhadap Allah serta semua kebenaran mengenai-Nya yang terkandung di dalam Alkitab, dan bukan mementingkan diri sendiri sahaja. 

Apabila kita dikuasai perasaan yang subjektif pada diri sendiri dan bukan kebenaran objektif yang berpusatkan Allah, kita senantiasa berada di dalam keadaan yang lemah. Kebenaran objektif berlandaskan doktrin-doktrin iman yang berkaitan dengan kehidupan: keunggulan Allah, Kristus sebagai Imam Agung, perjanjian Roh Kudus, dan harapan untuk hidup yang kekal. 

Dengan memahami dan menumpukan corak pemikiran kita terhadap kebenaran-kebenaran objektif, barulah kita boleh mengharungi manis pahit di dalam kehidupan harian dengan kebenaran Allah. Ini akan menguatkan iman kita. Pertimbangan situasi berlandaskan perasaan peribadi dan bukan berlandaskan pengetahuan tentang Allah merupakan salah satu cara yang pasti untuk  mengalami kekalahan rohani. Kehidupan seorang Kristian memerlukan seseorang untuk lupakan diri supaya “…dapat menikmati kehidupan yang baru” (Roma 6:4). Kehidupan yang baru ini perlu menggambarkan pemikiran tentang Penyelamat kita, Yesus, dan bukan kehidupan lama yang disalibkan bersama Kristus. Apabila kita sentiasa berfikir tentang diri sendiri serta perasaan peribadi, kita sebenarnya terlalu memikirkan mayat yang penuh dengan kematian dan kereputan. 

Allah telah berjanji untuk menyelamatkan kita jika kita mendekati-Nya dalam iman. Dia tidak pernah berjanji kepada kita supaya kita boleh merasai penyelamatan.