Adakah anda sayang pada Yesus? Apabila anda sayang pada seseorang, sudah pasti anda akan peka terhadap kata-kata orang yang dikasihi, menerima nasihat serta setia kepadanya. Untuk mereka yang mendakwa bahawa anda menyayangi Yesus, ingatlah pesan Yesus, “Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku” (Yohanes 14:15).

Cuba perhatikan corak hidup Yesus, satu-satunya insan yang tidak pernah berdosa berbanding dengan semua manusia lain. Di dalam Perjanjian Lama serta Perjanjian Baru, ayat-ayat Alkitab menyatakan bahawa semua manusia telah berdosa. Pengkhutbah 7:20 menyatakan, “Sesungguhnya, di bumi ini tiada orang benar yang sentiasa berbuat baik dan tidak pernah berdosa” dan Roma 3:23 menyatakan, “Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah.

Di dalam Ibrani 4:15, kita mengetahui bahawa “…dalam segala hal Dia (Yesus) telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa.” Ayat-ayat lain dalam Alkitab yang memberitahu kita bahawa Yesus tidak melakukan dosa termasuk 1 Petrus 2:22, 2 Korintus 5:21, 1 Yohanes 3:5, Matius 27:24 dan 1 Petrus 1:18-19.

  • Yesus berdoa dalam pelbagai posisi

Jadi kalau anda memakai baju kemeja yang menggelarkan bahawa anda sayang pada Yesus, adakah anda mengikut cara Yesus berdoa?

Pertama, doa untuk orang Kristian berbeza daripada agama-agama lain. Doa itu bukan terdiri daripada mengulangi perkataan dalam bahasa yang anda tidak faham seperti yang Yesus nyatakan dalam Matius 6:7, “Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang.” Yesus juga memberi amaran supaya kita jangan berdoa “…seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang” (Matius 6:5).

Doa itu satu corak kehidupan. 1 Tesalonika 5:17 menyatakan, “Berdoalah sepanjang masa.” Lakukan segala sesuatu dengan hati yang prihatin terhadap Tuhan. Yesus berdoa dalam pelbagai situasi dan posisi. 

Yesus pernah bersujud sewaktu Dia berdoa (Matius 26:39), berdoa sambil mendongak ke langit (Yohanes 11:41-42, 17:1), sewaktu Yesus bergantung di atas salib untuk menebus dosa manusia sejagat, Dia juga berdoa, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” (Matius 27:46).

Adakah Yesus seorang Muslim?

Jelas nyata cara Yesus berdoa bertukar mengikut situasi, kerana doa itu corak kehidupan yang berlandaskan hubungan peribadi dengan Allah Bapa. Barangsiapa yang memberitahu anda bahawa Yesus berdoa hanya mengikut SATU CARA SAHAJA adalah pembohong dan menunjukkan kebebalan dalam pemahaman serta pentafsiran Alkitab. 

Kalau anda sayang pada Yesus, anda tidak mengikut hanya satu posisi doa. Anda juga berdoa untuk musuhmu, supaya Allah mengampuni mereka.

  • Yesus mengajar tentang monogami dan bukan poligami

Jangan diperdaya oleh golongan yang memberitahu anda bahawa poligami dibenarkan di dalam Alkitab. Walaupun poligami diamalkan oleh beberapa watak di dalam Alkitab, amalan poligami TIDAK PERNAH DILULUSKAN ataupun DIPERINTAH oleh Allah. 

Kejadian 2:24-25 menyatakan, “Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu. Kedua-dua manusia dan isterinya itu bertelanjang bulat tetapi mereka tidak berasa malu.

Perhatikan ayat-ayat tersebut. Lelaki diperintah untuk bersatu dengan isterinya, dan bukan isteri-isterinya. Yesus sendiri di dalam pengajaran-Nya tentang hal-ehwal penceraian berkata, “Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan? Setelah itu, Allah berfirman, ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.’ Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.” (Matius 19:4-6). 

Poligami Dalam Kristian: Pernahkah Allah Memperkenalkan Poligami?

Rasul Paulus yang dipimpin Roh Kudus menulis tentang hal monogami di dalam surat Efesus 5:21–33 dan Kolose 3:18–19. Rasul Peter juga menyatakan pendiriannya tentang perkahwinan monogami untuk orang Kristian di dalam 1 Petrus 3:1–7.

Kalau anda sayang pada Yesus, anda bersetuju bahawa perkahwinan monogami sahaja yang diterima Allah, dan berpoligami adalah dosa.

  • Yesus tidak mengharamkan pengikut-Nya daripada minum alkohol/arak/wain

Salah satu pengajaran terpesong yang menular di alam maya termasuk dakwaan bahawa Kristian sepatutnya tidak boleh minum alkohol/wain/arak/minuman keras. Ajaran tersebut adalah salah kerana hujah-hujahnya terdiri daripada omong kosong serta salah tafsir ayat Alkitab. 

Kalau orang Kristian tidak dibenarkan minum alkohol, mengapakah Yesus menukar air kepada wain untuk orang minum (Yohanes 2:1-11)? Mengapakah Yesus memberi murid-murid-Nya minum wain malam Dia diberkas (Matius 26:27-29)?

Bolehkah orang Kristian meminum arak atau wain?

Mengapakah Alkitab mengajar kita supaya kita tidak menjadi mabuk (Amsal 23:20, Efesus 5:18) tetapi tidak melarang kita daripada minum arak? Prinsipnya adalah ini: kelakuan yang sederhana dan tidak melampaui batas. Jika anda tahu bahawa anda adalah seorang kaki botol, jangan pula minum bila diundang. Jika anda tahu batas anda, silalah minum arak dan berhenti sebelum anda mabuk. 

Kalau anda sayang pada Yesus, anda juga akan berkelakuan sederhana dan tidak menjadi batu sandungan, tetapi di sebaliknya, berusaha menjadi batu loncatan. 

  • Yesus mahu kesetiaan penuh daripada anda

Barangsiapa yang mendakwa bahawa dia sayang pada Yesus, dia perlu taat setia 100% kepada-Nya. Dia tidak boleh mengikut manusia berdosa yang lain yang tidak pasti tentang kehidupan kekal kelak. Dia tidak boleh mengikut ajaran yang membenarkan poligami, ajaran yang membenarkan hukuman rejam sampai mati, ajaran yang menghukum anda kalau anda tidak hadir di tempat beribadah, ajaran yang menghukum anda kalau anda tidak berpuasa: secara pendek, ajaran lain yang bertentangan dengan perintah yang terutama Yesus: sayang pada Allah dan sayang sesama sendiri. 

Yesus sendiri mengajar demikian, “Seseorang tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan” (Matius 6:24). 

Gantikan ‘kekayaan’ dengan apa-apa yang lain, dan itulah ‘allah’ anda. Yesus inginkan kesetiaan penuh daripada anda, jadi orang yang betul-betul mendakwa dirinya sayang kepada Yesus tidak akan mengikut ajaran yang lain selepas Dia, tetapi berusaha memenuhi Imamat Agung yang diutus oleh Yesus, “Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (Matius 28:18-20)

Hanya Yesus sebagai Anak Allah yang tunggal layak menyatakan begitu, kerana Dia adalah Tuhan dan Allah. Semua tokoh agama yang lain sudah mati dan mayat mereka telah mereput, tetapi Yesus masih hidup dan sedang berdoa syafaat untuk kita kepada Allah, seperti yang dinyatakan dalam Roma 8:34, “Kristus Yesus, yang telah mati, bahkan lebih daripada itu, yang telah dibangkitkan, berada di sebelah kanan Allah dan juga berdoa syafaat bagi pihak kita.

Kalau anda sayang pada Yesus, anda akan cuba sedaya upaya dalam segala hal untuk menjadikan semua bangsa sebagai murid-Nya, serta baptis mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Anda juga akan menyeru kepada Allah sebagai Bapa Syurgawi, kerana anda sudah memperoleh hubungan peribadi dengan-Nya melalui Yesus Kristus.

Krismas ini, saya berharap bahawa anda diberkati Allah dengan sukacita dan kedamaian dalam segala hal. Jika anda ingin tahu bagaimana menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat peribadi anda dan dijaminkan hidup yang kekal, jangan malu untuk hubungi kami