Merejam Sampai Mati: Mengapa Kristian Tidak Mempraktikkan Hukum Tersebut?

2893

Kerelaan Mendengar

Di dalam proses pembelajaran, seseorang harus rela meneliti pelbagai aspek dan mendengar. Sudah kian kerap berlaku di mana seseorang yang kurang berilmu atau memetik ayat-ayat daripada Alkitab secara harfiah tanpa memahami konteksnya dan mempersembahkannya sebagai “bukti” untuk menyokong pendiriannya. Lewat ini, negara Brunei yang ingin melaksanakan pemerintahan syariah yang merangkumi pelbagai jenis hukuman seperti hukuman merejam sampai mati telah mencetus perbincangan yang hangat di saluran media massa serta media sosial. Ada pula pihak yang menyatakan bahawa agama Kristian juga mengesyorkan hukuman ‘hudud’ seperti yang tertera di dalam Alkitab. Persoalannya, adakah wajib orang Kristian zaman ini mengikuti hukum-hukum yang terkandung di dalam Taurat, termasuk merejam orang yang berdosa sampai mati?

Jawapan kepada soalan tersebut agak mudah, tetapi ia memerlukan penyoal supaya membuka hatinya dan mendengar apakah yang terkandung di dalam Alkitab.

“Bukan semua yang Allah sarankan bangsa Israel lakukan di dalam Perjanjian Lama adalah sama seperti apa yang Dia rancangkan untuk umat-Nya di zaman ini.”

Mungkin analogi ini dapat memberi gambaran yang lebih tepat. Terdapat senaskhah buku panduan yang ditulis untuk para angkatan tentera. Di dalam Bab 1, ia berkait dengan cara soldadu bergaul sesama sendiri di Malaysia. Bab 2 menyentuh cara soldadu bergaul antara sesama sendiri serta tawanan di medan peperangan. Di dalam Bab 3 pula, ia menyatakan cara soldadu berhubung sesama sendiri sebagai tawanan musuh. Akhirnya, Bab 4 memberi panduan tentang hubungan soldadu antara sesama sendiri dan dengan musuh jika mereka menyusup masuk ke kawasan musuh.

Mengambil kira situasi tersebut, adakah seorang soldadu akan dituduh sebagai pengkhianat apabila dia dijadikan tawanan pihak musuh dan mengikuti arahan yang diberi dalam Bab 3 dan bukan Bab 1? Memang tidak! Ini kerana buku panduan tersebut dipakai dengan betul.

Alkitab boleh dikatakan sebagai buku yang memasuki golongan tersebut. Alkitab ditulis oleh Allah yang menggunakan manusia fana melalui ilham Roh Allah merentasi 1,500 tahun dan lebih kurang 40 orang penulis. Bukan semua yang Allah rancangkan untuk umat-Nya di bawah pemerintahan zaman hakim-hakim atau raja-raja kekal tanpa sebarang perubahan. Sama seperti rancangan Allah untuk orang Kristian di bawah pengajaran rasul-rasul di dalam Perjanjian Baru.

Merejam sampai mati penzina, sesiapa yang terlibat di dalam perhubungan jenis yang dilarang, serta anak-anak yang mengutuk ibubapa — semua hukuman tersebut berkuatkuasa pada zaman yang tertentu di antara Allah dengan umat-Nya. Penguatkuasaan hukuman tersebut telah dibubarkan dengan kedatangan Anak Allah, iaitu Yesus Kristus, di dalam dunia. Ini adalah hakikat sebenar apabila Alkitab menceritakan penebusan dosa bangsa manusia oleh Tuhan Yesus.

Perubahan Merentasi Perjanjian-Perjanjian

Terdapat pelbagai bahagian di dalam Alkitab yang jelas menyatakan bahawa perjanjian di antara Allah dengan umat-Nya telah dibubarkan dan diganti dengan perjanjian yang baru. Ini sangat penting untuk pihak-pihak yang keras mengatakan, “Orang Kristian tidak konsisten dengan pendirian mereka kerana sekarang mereka berpaling tadah dan bercakap bahawa hukuman rejam sampai mati tidak bertamadun dan kejam. Kan kitab Imamat menyatakan dengan jelas bahawa kamu harus merejam peliwat sampai mati?”

Hukum Taurat sudah dipenuhi

Di dalam Matius 5:17, Yesus menyatakan, “Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya.

Yakni seluruh Perjanjian Lama sudah dipenuhi dan ditunaikan di dalam Yesus. Inilah kebenaran asas yang perlu difahami oleh setiap orang. Perjanjian Lama memainkan peranan sebagai saksi kepada Yesus. Yesus sendiri menyatakan bahawa “…Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku…” (Yohanes 5:39) “...kerana Musa menulis tentang Aku” (Yohanes 5:46). Sesiapa yang bercadang bahawa ayat-ayat tersebut adalah nubuatan tentang orang selain daripada Yesus bermaksud dia menuduh Yesus sebagai seorang pendusta secara tidak langsung. Alangkah sedihnya apabila sesetengah pihak cuba memutarbelit pengakuan Yesus untuk agenda sendiri tanpa menyelidiki teks tersebut dengan teliti.

Yesus telah memenuhi Hukum Taurat sebagai Anak Allah yang Tunggal, disalibkan untuk dosa bangsa manusia dan bangkit semula sebagai tanda kuasa-Nya ke atas maut. Jadi, di dalam peribadi Yesus dan pelayanan Dia, seluruh Perjanjian Lama telah dipenuhi seperti yang dirancang oleh Allah.

Fasa Yang Baru Di Dalam Sejarah

Lanjut daripada itu, Alkitab memberi penerangan yang jelas tentang bagaimana Hukum Taurat telah dimansuhkan dengan kedatangan Yesus. Kitab Ibrani adalah contoh yang bagus untuk menunjukkan bagaimana Hukum Taurat sudah lapuk dengan kedatangan perjanjian baru. Ibrani 8:13 menyatakan bahawa “Dengan menyebut “perjanjian baru,” Tuhan telah menjadikan perjanjian pertama dahulu tidak terpakai lagi. Sesuatu yang kian tidak terpakai dan usang sudah sampai masanya untuk lenyap.”

Contoh yang bagus adalah kematian Yesus di atas salib sebagai korban untuk selama-lamanya, supaya sistem pengorbanan di dalam Perjanjian Lama yang memerlukan haiwan-haiwan tidak lagi digunakan. Ibrani 7:27 dan 9:12 menyatakan bahawa Yesus adalah “…penebusan yang kekal”.  Yesus juga diambil sebagai contoh di dalam kitab Ibrani bahawa Dia mengorbankan Diri, jadi Yesus adalah Imam yang Terakhir. Umat Israel tidak memerlukan imam lagi untuk mempersembahkan korban bagi penebusan dosa mereka, kerana Yesus adalah “…Imam Besar yang agung…” (Ibrani 4:14) untuk selamanya.

Yesus juga memberi gambaran bahawa Dia adalah Bait Allah yang baru. Dia berani menyatakan, “Robohkanlah Bait Suci ini, akan Kubina semula dalam tiga hari” (Yohanes 2:19), dengan bermaksud bahawa Dia akan bangkit dari maut tiga hari selepas disalib. Jadi, walaupun Bait Allah dimusnahkan di 70 A.D., tempat penyembahan untuk orang Kristian masih kekal tanpa mengambil kira geografi kerana orang Kristian mempunyai Yesus. Di mana Yesus berada (dan Dia berada di mana-mana sahaja), di situlah orang Kristian boleh menyembah, beribadat dan berdoa.

Jadi, kesemuanya menunjukkan bahawa ratusan perintah di dalam Hukum Taurat tidak lagi dikaitkan dengan orang Kristian, semua kerana pengorbanan Yesus di atas salib dan kebangkitan-Nya yang memansuhkan Hukum Taurat sambil membawa satu zaman penyembahan yang baru.

Dibebaskan Daripada Hukum Taurat

Usul ketiga di dalam perubahan yang ketara antara Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru adalah cara kehidupan Kristian bertapakkan Yesus. Roma 7:6 menyatakan, “Tetapi sekarang, kita telah mati kepada apa yang membelenggu kita dahulu, maka kita telah dibebaskan daripada hukum untuk berkhidmat dalam cara baru Roh, tidak lagi dalam cara lama yang berasaskan peraturan bersurat.

Pendatang Di Dunia

Keempat, Yesus mengajar orang Israel di Matius 21:43 bahawa “Sesungguhnya, hak untuk memasuki kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada bangsa yang memberikan hasil yang dikehendaki Allah.” Dari segi politik dan etnik, kepercayaan di dalam Yesus tidak terhad kepada orang Yahudi sahaja, tetapi untuk semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.  

Orang Kristian bukan kumpulan etnik yang dipimpin oleh sebuah kerajaan, tetapi terdiri daripada pelbagai orang seperti pembuangan atau bermusafir, di mana rumah sebenar mereka berada di syurga, dan mereka melayan seorang Raja Syurgawi. Ini sebabnya Yesus menjawab Pilatus, “Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para murid-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini” (Yohanes 18:36).

Jadi, gereja atau umat Kristian tidak lagi berfungsi seperti dahulu kala, sebagai satu negara atau kerajaan duniawi, jadi umat Kristian tidak memegang kepada kepercayaan yang selari dengan Hukum Taurat.

Semua Makanan Adalah Halal

Lebih daripada itu, orang Kristian bebas daripada pemerintahan teokratik yang berdasarkan budaya Yahudi. Di dalam Markus 7:19, Yesus telah mengajar bahawa semua makanan adalah halal dan tiada yang haram. Jadi, seluruh sistem pemakanan yang halal dan haram di dalam Perjanjian Lama sudah dimansuhkan, kerana orang Kristian tidak perlu lagi membezakan mereka daripada bangsa-bangsa lain di dunia. Ini kerana rancangan Allah adalah untuk menyelamatkan seluruh dunia dengan Berita Baik, jadi merobohkan dinding perbezaan di antara kaum dan bangsa adalah langkah yang wajar diambil. Sama seperti amalan bersunat, orang Kristian tidak lagi dibelenggu seperti yang diajar dalam Galatia 5:6.

Piawai Moral Berubah

Salah satu perbezaan yang paling ketara di antara Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru boleh didapati dalam Matius 5:38-39: “Kamu telah mendengar ajaran begini: ‘Mata diganti mata, gigi diganti gigi.’ Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya.

Yesus juga menyentuh topik yang sangat relevan pada hari ini: penceraian. Apabila golongan Farisi mendengar bahawa Yesus mengajar bahawa perkahwinan adalah antara seorang lelaki dan seorang perempuan sahaja (poligami bukan ajaran Kristian), mereka bertanya mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai? Jawapan Yesus tepat dan ringkas, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu begitu tegar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu.” Maksud Yesus, walaupun Musa memberi kebenaran untuk bercerai, tetapi Saya mengatasi dan menolak kebenaran tersebut. Jadi, ini salah satu contoh bagaimana Yesus mengubah piawai moral umat Allah pada zaman itu.

Homoseksual Hari Ini

Akhirnya, tentang cara mengendalikan cara homoseksual (atau kesalahan lain yang dijatuhkan hukuman rejam sampai mati) dihukum di dalam Hukum Taurat. Di dalam Perjanjian Baru, Yesus diberi peluang untuk menghakimi seorang wanita yang ditangkap basah (Yohanes 8:1-11). Golongan Farisi memberitahu Yesus bahawa untuk memenuhi Hukum Taurat, penzina tersebut perlu direjam sampai mati. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.” Akhirnya, hanya tinggal wanita tersebut dengan Yesus sahaja. Dengan penuh kasih sayang, Yesus berkata kepadanya, “Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan jangan berdosa lagi.

Itulah sebabnya orang Kristian pada hari ini tidak menyokong hukuman rejam sampai mati bukan kerana kita tidak tahu apa yang terkandung di dalam Alkitab (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru), tetapi kerana kita telah diberi tunjuk ajar oleh Yesus cara yang lebih bagus: cara pemulihan secara pengampunan dan kasih sayang.

Cuba bayangkan kritik hari ini yang menuduh Yesus sebagai seorang yang tidak tahu apa yang terkandung dalam kitab suci sendiri. Mereka sama seperti golongan Farisi pada zaman Yesus: bersifat keundangan tanpa seurat belas kasihan serta tidak peka terhadap hati Allah Bapa. Hukum Taurat diberi supaya manusia boleh mengetahui walaupun betapa banyak amalan dan doa yang dibuat, itu tidak mencukupi untuk menebus dosa mereka. Hukum Taurat berfungsi sebagai satu cermin, di mana kamu dan saya boleh melihat betapa ‘kotornya’ muka kita, tetapi kamu tidak akan membersihkan muka kamu dengan cermin. Sebaliknya, kamu akan menggunakan air serta sabun untuk membuang kotoran tersebut. Dengan menerima Yesus sebagai Juruselamat peribadi kamu, kotoran (dosa) kamu akan diampunkan, dan kamu diterima sebagai anak Allah (Yohanes 1:12).

Baca dengan lebih lanjut: Adakah Yesus Melanggar Hukum Taurat?