Adakah Yesus Melanggar Hukum Taurat?

3563

“Bukankah orang Kristian melanggar hukum Taurat kerana mereka makan babi, minum arak, dan tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka yang berzina atau melakukan hubungan sejenis?”

Yesus menyatakan bahawa Perintah yang Terutama adalah “‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.”

Mengapakah Yesus menjawab begitu? Bukankah Perjanjian Lama mempunyai banyak larangan dan perintah serta hukum di dalam hal pemakanan, hubungan dengan orang lain, cara dan jenis penyembahan, dan lain-lain? Bagaimanakah Yesus boleh merumuskan semua hukum-hukum yang terkandung di dalam Taurat kepada Perintah yang Terutama?

Yesus menyentuh mereka yang ada penyakit kulit yang mengerikan

Di dalam Imamat 13, sesiapa yang menghadap penyakit kulit (termasuk pesakit kusta) yang mengerikan harus memakai pakaian yang koyak dan membiarkan rambutnya kusut. Orang tersebut juga harus menutup bahagian bawah mukanya dan berseru, “Najis! Najis!”, di mana dia akan tetap najis dan mesti tinggal terasing daripada orang lain. Sesiapa yang menyentuhnya akan dinajiskan juga.

Kalau saudara memerhatikan Yesus di dalam Matius 8:1-4, Dia bukan sahaja tidak melarikan Diri daripada orang yang berpenyakit kulit (pesakit kusta) tersebut, tetapi menghulurkan tangan-Nya dan menjamah pesakit kusta untuk menyembuhkan dia. Hal ini sepatutnya menajiskan Yesus, tetapi disebaliknya, pesakit kusta itu disembuhkan dengan sempurna oleh Yesus! Yesus juga tidak perlu menyucikan Diri selepas itu.

Yesus menyembuhkan wanita yang najis

Imamat 15 mengandung senarai tentang kenajisan pada manusia, dan ini termasuk perempuan yang haid. Perempuan yang haid akan najis selama tujuh hari, dan sesiapa yang menyentuh dia, menyentuh katil dia atau apa sahaja yang diduduki atau ditiduri perempuan tersebut menjadi najis sehingga matahari terbenam (Imamat 15:19-23).

Di dalam Lukas 8:42-48, seorang wanita yang mempunyai penyakit pendarahan selama 12 tahun menyentuh jubah Yesus. Ini bermaksud bahawa wanita itu sudah najis selama 12 tahun. Kalau manusia mengikut hukum Taurat secara harfiah, Yesus sudah menjadi najis. Apa yang berlaku di sebaliknya selepas jubah Yesus disentuh oleh wanita itu? Dia sembuh dengan serta-merta! Lebih daripada penyembuhan fizikal, Yesus memuji wanita tersebut dan berkata kepadanya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.”

Yesus dengan wanita yang berzina

Di dalam Yohanes 8:1-11, Yesus tidak mengikut hukum Taurat dan menjatuhkan hukuman mati (secara merejam) ke atas wanita yang berzina walaupun dihasut untuk melakukan demikian oleh para imam dan Farisi. Adakah ini menunjukkan bahawa Yesus tidak taat kepada Allah dan melanggar hukum Taurat, atau Yesus tahu intipati hukum Taurat dan menyenangkan hati Allah dengan menghulurkan rahmat kepada wanita itu?

Yesus menyentuh mayat anak perempuan Yairus

Di dalam Bilangan 19:11-22 terkandung hukum tentang orang yang menyentuh mayat. Sesiapa yang menyentuh mayat akan menjadi najis selama tujuh hari. Namun demikian, Yesus memegang tangan anak Yairus yang sudah mati dan berkata, “Bangunlah, nak!” Pada saat itu juga, nyawa anak Yairus dikembalikan. Yesus tidak menjadi najis, tetapi di sebaliknya, suatu mukjizat yang besar telah berlaku.

Yesus minum arak

Adakah Yesus minum arak? Petikan di dalam Matius 26:27-29 menandakan bahawa Dia juga meminum wain sewaktu Dia bersama-sama murid-murid-Nya pada malam Dia dikhianati Yudas. Bukankah arak akan menajiskan Yesus dan Dia sendiri yang melanggar hukum Taurat?

Kesimpulan

Jelas sangat bahawa hal-hal yang menajiskan manusia biasa seperti menyentuh pesakit kusta, menyentuh mayat, atau disentuh oleh wanita yang berpenyakit pendarahan tidak menajiskan Yesus. Sebaliknya, mereka yang najis disucikan, sembuh atau bangkit daripada kematian! Ini menunjukkan keilahian Yesus sebagai Allah dan Tuhan, kerana hanya Allah mempunyai kuasa melakukan perkara-perkara tersebut. Yesus tidak melanggar hukum Taurat, tetapi Dia telah memenuhinya seperti yang dikatakan (Matius 5:17).

Jadi, apakah fungsi hukum Taurat? Ia seperti cermin untuk menunjukkan bahawa ‘kebaikan’ manusia tidak cukup untuk menebus dosa diri sendiri. Ini menunjukkan keperluan manusia sejagat memerlukan seorang Juruselamat, dan Juruselamat itu adalah Yesus Kristus, “…Firman yang sudah menjadi manusia…” (Yohanes 1:14). Sama seperti cermin menunjukkan kekotoran yang sedia ada atas muka, kita tidak gunakan cermin yang sama untuk membersihkan kekotoran tersebut! Di sebaliknya, kita akan memakai sabun untuk mencucikan semua kotoran tersebut. Hukum Taurat mencerminkan dosa manusia masing-masing, dan menjadi petunjuk bahawa hanya Yesus Kristus sahaja yang mampu menebuskan dosa kamu dan saya buat selama-lamanya.

Semoga saudara diberkati oleh penjelasan yang diberikan dan tumpukan pandangan kita kepada Yesus Kristus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir!