Bolehkah Seorang Kristian Tukar Agamanya?

3044

Manusia selalu berdepan dengan pilihan. Hampir setiap detik di dalam hidup kita, kita perlu memilih. Memilih pakaian untuk hari tersebut, memilih kata-kata yang sesuai, memilih jalan mana yang harus diambil, dan pelbagai situasi lagi. Apabila ia datang ke hal ehwal rohani, bagaimana pula dengan mereka yang menggelar diri sendiri sebagai Kristian? Bolehkah seorang Kristian tukar agamanya atau menjadi ateis, dan adakah hukuman yang disarankan oleh Alkitab untuk situasi begitu? 

 

“Orang Kristian yang tidak percaya lagi harus dijatuhkan hukuman mati mengikut Alkitab!”

Boleh dikatakan semua orang yang melempar tuduhan tersebut biasanya merujuk kepada Ulangan 13:1-18, di mana TUHAN Allah orang Israel memberi perintah kepada umat-Nya supaya membunuh orang yang cuba menarik Israel menyembah tuhan-tuhan yang lain.

Omong-omong kosong yang menyusuli akan merujuk kepada Perjanjian Baru, di mana mereka memutar-belit maksud kata-kata Yesus apabila Dia berkata di dalam Matius 5:17-20, “Jangan menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku.

Kalau tuduhan ini menunjukkan bahawa orang Kristian tidak mengikuti kitab sendiri dalam hal ehwal perintah Allah walaupun disarankan oleh Yesus Sendiri, sanggupkah pihak tersebut turut menuduh Yesus sebagai munafik juga? Ini kerana Yesus tidak menyeru para Farisi supaya merejam perempuan yang berzina sampai mati walaupun ini sebahagian daripada perintah Allah di dalam Perjanjian Lama (Imamat 20:10), iaitu, “Jika seorang Israel berzina dengan isteri orang sebangsanya, orang itu dan perempuan itu mesti dihukum mati.

Saya rasa tidak! Ini kerana Alkitab menyatakan bahawa Yesus tidak berdosa (1 Petrus 2:22, 1 Yohanes 3:5, Ibrani 4:15, 2 Korintus 5:21). Terdapat juga kitab agama lain yang jelas menyatakan bahawa Yesus tidak berdosa. Jadi apabila Yesus tidak melaksanakan hukuman mati ke atas perempuan yang berzina tersebut, tetapi menunjukkan kasih karunia Allah, Dia tidak berdosa. Malah, Dia menunjukkan cara memenuhi perintah Allah di dalam Perjanjian Lama dengan cara yang betul!

Untuk memahami mengapa orang Kristian tidak perlu lagi mengikuti hukum-hukum Taurat atau perintah di dalam Perjanjian Lama, sila rujuk kepada penjelasan yang berikut :-

“KRISTUS SUDAH MENYEBABKAN TAURAT TIDAK LAGI BERKUATKUASA…”

Roma 10:4

“Saya pernah meninggalkan agama Kristian. Sanggupkah Yesus menerima saya sekali lagi?”

Saudara yang dikasihi, Yesus menanti-nantikan saat begini, dan Dia tidak sabar menerima kamu kembali kepada keluarga Allah! Allah masih taat setia kepada janji-Nya bahawa “…mereka yang menyambut Dia [Yesus] dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah” (Yohanes 1:12).

Alkitab telah dikatakan sebagai surat cinta daripada Allah kepada umat manusia, dari Kejadian ke Wahyu, karya yang teragung ini menceritakan bagaimana Allah melaksanakan rencana-Nya untuk menebus manusia yang berdosa sambil menyelamatkan mereka daripada binasa. 

Petrus menyangkal Yesus TIGA KALI , tetapi Yesus tidak berpaling tadah daripada Petrus selepas bangkit dari maut. Malah, Yesus memberi dorongan kepada Petrus untuk memimpin gereja-Nya. Walaupun Yesus juga memberitahu Petrus bahawa dia akan mati demi Yesus pada waktu depan, Petrus berani menghadapi penganiayaan yang akan datang kerana itu selari dengan kehendak Allah.

Yunus rela melihat orang di kota Niniwe binasa kerana mereka adalah bangsa yang sangat kejam walaupun Yunus diarahkan oleh Allah untuk menyampaikan Firman-Nya kepada mereka. Akhirnya, apabila Yunus sedar akan kebodohan sendiri di dalam perut ikan yang besar, dia menyeru kepada Allah dan Allah menyelamatkannya. 

Alkitab penuh dengan kisah-kisah tokoh-tokoh iman yang pernah berpaling tadah daripada Allah atau sesat di dalam kehidupan mereka, tetapi apabila mereka sedar dan bertaubat, Allah sanggup menerima mereka kembali malah memakai kehidupan mereka sebagai alat-Nya untuk membawa pesanan yang penuh dengan harapan kepada satu dunia yang sesat.

Pusat Pemulihan Akidah Kristian

Kalau saudara membuat pemerhatian, tidak wujudnya pusat pemulihan akidah untuk orang Kristian di mana-mana negara pun. Ini kerana Yesus telah memberi kamu dan saya kuasa untuk memilih. Inilah sebabnya apabila Adam dan Hawa dicipta, mereka juga diberi kebebasan dan kuasa yang sama. Malangnya, mereka membuat pilihan yang salah dan terjerumus ke dalam dosa.  

Adakah keluarga seorang Kristian yang ingin menukar agamanya atau menjadi ateis berasa sedih? Memang juga! Tetapi mereka tidak akan mengugut pihak yang tidak mahu percaya kepada Yesus lagi dengan kematian. Di sebaliknya, kebanyakan daripada mereka akan berdoa dan menunjukkan kasih sayang terhadap pihak tersebut dengan harapan bahawa pada suatu hari nanti, dia akan pulang ke pangkuan Yesus Kristus.

Pusat pemulihan Kristian yang ada hanya untuk merawati mereka yang ketagih dadah, ketagih alkohol, ketagih seks, dan pelbagai jenis kesakitan lagi. Di sinilah tempat di mana kebanyakan orang akan bertemu dengan Yesus Kristus sendiri, kerana Dia ingin membebaskan semua orang daripada belenggu dosa masing-masing.

Kesimpulan

Keputusan terakhir terletak di dalam tanganmu. Allah bukan seseorang yang akan marah dan menyuruh pengikut-Nya memenggal kepala kamu , membakar kamu hidup-hidup ataupun menjatuhkan hukuman mati kalau kamu mahu ikut agama lain ataupun menjadi ateis. Di sebaliknya, Dia akan berasa sangat sedih dan akan senantiasa menanti-nantikan kepulanganmu seperti bapa di dalam perumpamaan Anak yang Sesat (Lukas 15:11-32).

Yesus Kristus adalah seorang yang berbudi bahasa, itulah sebabnya Dia berkata, “Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan bersama-sama dia dan dia makan bersama Aku” (Wahyu 3:20). Yesus tidak akan merempuh pintu hati kamu untuk bermaharajalela di sana; di sebaliknya, Dia menunggu dengan penuh kasih sayang dan kesabaran untuk jemputan yang hanya boleh datang daripada kamu.

Itulah kebesaran Allah dan Tuhan yang orang Kristian sembah. Sesiapa yang mengambil langkah untuk percaya kepada Yesus sebagai Juruselamat mereka telah membuat pilihan yang paling penting dan bijak di dalam hidup mereka. Semoga kamu diberkati selalu dan dipimpini Roh Kudus dalam hidupmu.