Siapakah yang bersalah: Adam atau Hawa?

2051
Alkitab Gutenberg

Salah satu peristiwa di dalam Alkitab yang seringkali digunakan oleh pihak yang kurang berpengetahuan atau bertauliah untuk menginjak status wanita adalah peristiwa di Taman Eden. Syaitan (yang tampil dalam bentuk ular) menggoda Hawa untuk mengingkari perintah Allah dengan memakan buah terlarang, dan Hawa terjerumus ke dalam dosa mengikuti nafsunya. Namun begitu, siapakah yang bersalah di dalam situasi tersebut?

Adam sebagai lelaki dan suami Hawa bersalah kerana dia tidak menunai tanggungjawabnya untuk mendidik dan membimbing isterinya tentang hal ehwal perintah Allah. Itu sebabnya Allah tidak bertanya Hawa dahulu walaupun Hawa yang pertama memakan buah terlarang tersebut. Allah berdepan dengan Adam, malangnya Adam tidak berani bertanggungjawab atas dosanya dan mengakui kesalahannya, malah menyalahkan Allah secara tidak langsung dengan jawapan, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.”

Ada pula pihak yang mengambil petikan 1 Timotius 2:11-14 tanpa menyelidikinya dengan lebih mendalam selaku penyelidik yang bertanggungjawab dari segi akademik untuk mengukuhkan posisi mereka. Di dalam surat yang ditulis oleh rasul Paulus kepada muridnya, Timotius, dia menyatakan bahawa “Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan rendah hati. Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri. Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa. Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Tuhan.” Adakah ini bermaksud bahawa Adam tidak berdosa kerana wanita yang tertipu?

TIDAK! Adam diciptakan lebih awal daripada Hawa. Jelas daripada ayat-ayat (Kejadian 2:7, 2:21–22, serta Kejadian 1-3) bahawa dia adalah ketua keluarga, dan isterinya diciptakan sebagai penolongnya (Kejadian 2:18). Sebagai pemimpin, Adam diberi tanggungjawab untuk melindungi dan menyara keluarganya. Peranan sebagai ketua keluarga jelas dilihat apabila Allah berhadapan dengan Adam dan Hawa selepas mereka berdosa. Walaupun Hawa adalah orang pertama yang berdosa, Allah berpaling kepada Adam dahulu (Kejadian 3:9). Ini memberi gambaran bahawa lelaki memainkan peranan sebagai ketua di dalam rumahtangga mereka. Bukan sahaja Adam dipertanggungjawabkan berdosa kerana termakan buah terlarang, tetapi dia juga tidak melindungi isterinya daripada hakikat tersebut walaupun dia yang menerima arahan daripada Allah dari awal lagi di Taman Eden tentang apa yang boleh dimakan serta apa yang terlarang.

Di dalam Perjanjian Baru, Adam dipersembahkan sebagai wakil manusia. Ayat-ayat Alkitab menyatakan, “Oleh sebab satu orang, kematian berlaku; dan oleh sebab satu orang juga, kebangkitan orang mati berlaku; kerana sebagaimana dalam Adam semua manusia mati, demikian juga dalam Kristus semua manusia akan dihidupkan semula…sebagaimana telah tersurat, “Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,” manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan” (1 Korintus 15:21-22, 45). Ini menunjukkan dengan jelas sekali bahawa Adam adalah manusia yang menyebabkan dosa dan kematian berlaku di dalam dunia ini. Jadi melalui manusia pertama yang berdosa, dosa dan kematian merebak ke semua orang kerana tiada seorangpun yang tidak berdosa.

Orang yang naif sahaja akan berfikir bahawa ajaran Kristian menyalahkan wanita. Hakikatnya, kebenaran jauh berbeza daripada pemikiran yang begitu sempit. Lebih daripada itu, apabila seseorang membaca petikan 1 Timotius 2:11-14 mengikut konteksnya, tiada masalah tentang penindasan status wanita di dalam kehidupan harian. Larangan rasul Paulus kepada muridnya Timotius tentang hal-ehwal kedudukan wanita di dalam gereja Efesus pada waktu itu berkaitan dengan sesuatu kejadian yang tertentu. Perkataan rasul Paulus bukannya perintah daripada Allah, dan ia juga bukan cadangan daripada Paulus untuk dijadikan teladan bagi umat-umat Kristian untuk sepanjang masa. Padahal cadangan Paulus ini adalah untuk menangani ajaran sesat yang diberitahu dalam 1 Timotius 1:3-4. Hanya pihak yang tidak bertanggungjawab dan kurang berpengetahuan akan mengambil petikan Alkitab dan menyelewengkan maksud sebenar.

Mana-mana pihak yang menyampaikan pandangan bahawa fahaman menyalahkan wanita berasal dari Alkitab, malah disokong oleh ayat-ayat dari Perjanjian Lama dan Baru memang tidak bertanggungjawab dan berwibawa kerana dasar pemahaman mereka sudah jauh terpesong dari kebenaran. Kejahilan sebegini jelas dilihat pada mereka yang memetik sesuka hati teks Alkitab untuk disesuaikan dengan agenda mereka.

Di dalam agama Kristian, tiada konsep menyalahkan kaum wanita serta merendahkan wanita kerana Adam adalah ketua keluarga, dan dia sepatutnya mempertahankan Hawa sewaktu isterinya dicuba oleh Syaitan. Malang sekali, Adam gagal di dalam tanggungjawabnya dan membawa bangsa manusia terjerumus ke dalam dosa. Ini sebabnya “…semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Roma 3:23).

Oleh itu, Allah perlu mengutus Anak Tunggal-Nya (Yohanes 3:16), Yesus untuk mati di atas salib menebus dosa manusia. Hanya korban yang sempurna sahaja dapat memenuhi syarat Allah di dalam pengampunan dosa, dan tiada sesiapa lain yang layak menjadi korban tersebut kecuali Yesus Kristus kerana Dia tidak berdosa. Segala puji dan syukur diberi kepada Tuhan supaya kamu dan saya mempunyai peluang untuk menjadi anak-anak-Nya!