Kristian, Sami, Pandit, Ustaz Halau Hantu/Iblis/Jin/Roh Jahat: Siapa Takut Siapa?

5752

Terdapat dakwaan palsu bahawa penghalauan jin, roh jahat, hantu ataupun makhluk halus dengan menyebut nama Yesus tidak pernah diajar di dalam Alkitab. Tambahan pula, tuduhan tersebut juga menyatakan bahawa rawatan itu hanya dengan cara mereka tersendiri tanpa ada bimbingan wahyu. Adakah dakwaan-dakwaan tersebut betul, atau ia menunjukkan kecetekan ilmu dan kejahilan di sebaliknya?

 

Semalam saya mengambil Grab dari stesen MRT ke tempat tinggal saya, dan sepanjang perjalanan saya berbual dengan drebar tentang pelbagai hal: cuaca yang panas terik di Malaysia, kos kehidupan yang semakin melambung, serta kejadian di flat saya kebelakangan ini. Beberapa hari yang lalu, seorang penghuni terjatuh dari tingkat atas dan terus mati apabila badannya terhempap ke atas lantai konkrit di bawah. Ini bukannya kali pertama hal macam ini berlaku, dan drebar saya ungkitkan hal tentang kawasan flat itu “kotor”.

 

Saya meyakinkan dia bahawa sebagai seorang Kristian, tiada apa yang perlu saya takut. Walaupun saya berkongsi dengan pemandu Grab saya betapa berkuasanya nama Yesus, di mana kita sebagai pengikut-Nya boleh menyeru nama Yesus untuk mengusir roh-roh jahat, jin dan sebagainya dalam bentuk doa yang senang dan ikhlas, dia nampak teragu-ragu. Mungkin kerana dia belum kenal Yesus lagi sebagai juruselamatnya dan masih bergantung kepada cara yang diajarnya, iaitu membaca ayat-ayat tertentu dari kitabnya seperti melafazkan formula Matematik.

 

Di dalam Alkitab, salah seorang daripada murid Yesus menyatakan bahawa “Tuan, kami telah melihat seorang yang menghalau roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu [Yesus], dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami” (Yohanes 9:49).

 

Situasi-situasi lain di mana nama Yesus digunakan untuk menghalau roh-roh jahat boleh dijumpai di Markus 16:17, di mana Yesus sendiri yang menyatakan bahawa “Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dalam bahasa-bahasa baru.” Murid-murid Yesus yang keluar melayan juga berjaya menghalau roh-roh jahat apabila mereka dengan sukacita melaporkan hal-hal yang telah berlaku, “Ya Tuhan, demi nama-Mu [Yesus] segala roh iblis pun menurut perintah kami” (Lukas 10:17).

 

Boleh dikatakan bahawa cara orang Kristian menghalau roh-roh jahat, iblis, dan jin dengan menyeru pada nama Yesus adalah cara yang betul berdasarkan Alkitabiah! Malah, ia menunjukkan kesetiaan pengikut Yesus dalam menurut perintah-Nya jika terserempak dengan keadaan sedemikian. Orang Kristian yang menyeru nama Yesus semasa mengusir roh-roh jahat tidak bergantung kepada cara sendiri, tetapi diberi bimbingan daripada Alkitab.

“Boleh dikatakan bahawa cara orang Kristian menghalau roh-roh jahat, iblis, dan jin dengan menyeru pada nama Yesus adalah cara yang betul berdasarkan Alkitabiah!”

Sungguh jelas daripada beberapa contoh yang diberi bahawa tuduhan terhadap orang Kristian dalam penggunaan nama Yesus untuk menghalau tidak pernah diajar dalam Alkitab adalah palsu dan tidak bertanggungjawab sekali. Yang lebih sedih adalah apabila tuduhan palsu dan fitnah sedemikian bertopengkan agama dan kealiman.

 

Semoga saudara saudari diberkati dan dilindungi oleh Yesus Kristus selalu. Amen!