Mengapa Orang Kristian Berpuasa?

11286

Adakah puasa itu sesuatu yang wajib atau secara sukarela?

Yesus berpuasa sewaktu Dia berada di bumi. Raja Daud berpuasa dengan harapan bahawa Allah akan menyembuhkan anaknya yang berada di ambang kematian. Musa berpuasa selama 40 hari dan malam di atas Gunung Sinai sebelum menerima 10 Hukum Allah. Nehemia berpuasa sebelum supaya Allah membuka jalan baginya pulang membina semula tembok di Yerusalem. Disiplin berpuasa bukan sesuatu yang wajib diamalkan oleh orang Kristian, tetapi mengapa orang Kristian digalakkan berpuasa?

Berpuasa di dalam Alkitab

Selama ribuan tahun, umat Kristian tetap berpuasa walaupun di dalam semua surat rasul Paulus, dia tidak pernah mengarahkan pembacanya berpuasa. Sama juga dengan rasul Petrus serta Yohanes. Malah, seluruh Perjanjian Baru tidak mengandungi arahan bahawa berpuasa itu wajib. Salah satu tanda seorang Kristian yang bersemangat adalah seorang yang berpuasa.

Mengapa umat Kristian terus berpuasa walaupun tidak diwajibkan berlaku sedemikian seperti umat Islam? Pertama, pengajaran Tuhan Yesus di dalam Injil, terutamanya Matius, jelas menunjukkan gaya hidup Yesus sendiri yang berpuasa. Di dalam Matius 4:2, Yesus berpuasa sebelum Dia memulakan pelayanan-Nya di kalangan orang ramai.

Yesus juga mengajar para murid-Nya “…Apabila kamu berpuasa…” (Matius 6:16-17) dan bukan “…jika kamu berpuasa”. Ini menunjukkan bahawa Yesus tidak memberi ruang kepada seseorang pertimbangkan jikalau puasa itu satu pilihan atau tidak. Selain daripada itu, Yesus menyatakan bahawa pengikut-Nya akan berpuasa selepas Dia diangkat ke syurga (Matius 9:15, Markus 2:20, Lukas 5:35). Sekali lagi ini menampilkan amalan berpuasa itu bukan satu perintah, tetapi janji yang penuh dengan makna daripada kata-kata Yesus sendiri. Seorang Kristian yang mengabaikan nasihat tersebut bertindak seperti orang yang bodoh.


Umat Kristian generasi pertama berpuasa

Selain daripada kepentingan kata-kata Yesus sendiri, kita boleh membuat kesimpulan daripada cara gereja berkembang pada abad pertama Selepas Masihi. Boleh dikatakan bahawa gaya hidup orang Kristian pada waktu tersebut melibatkan amalan puasa dan doa. Di dalam salah satu detik yang penting sejarah gereja di Antiokha, kalangan jemaah “…beribadat kepada Tuhan dan berpuasa…” (KPR 13:2) untuk mengenal kehendak Allah dalam kehidupan mereka. Sewaktu itu, Roh Allah berkata kepada mereka, “Pilihlah Barnabas dan Saulus (juga disebut Paulus) khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka” (KPR 13:2). Setelah berpuasa [sekali lagi] dan berdoa, gereja mengutus mereka berdua.

Di dalam Kisah Para Rasul bab 14, amalan berdoa dan berpuasa boleh dijumpai di setiap gereja. Paulus dan Barnabas melawat semua kota-kota yang mereka memberitakan Injil terdahulu dalam Perjalanan Paulus yang pertama, di mana mereka “…melantik pemimpin-pemimpin bagi setiap jemaah, lalu dengan berdoa dan berpuasa mereka menyerahkan jemaah kepada pemeliharaan Tuhan yang dipercayai oleh mereka” (KPR 14:23).


Mengapa orang Kristian berpuasa?

Secara am, Perjanjian Baru tidak menekankan disiplin berpuasa tetapi apa yang dinyatakan tidak kurang pentingnya. Perjanjian Lama juga menyentuh hal-ehwal berpuasa sekurang-kurangnya 25 kali, dan ia sangat penting untuk merujuk kepada 3 kumpulan petikan yang dikaitkan dengan satu tema am.


Menyelidiki diri: Menyatakan Pertaubatan melalui Puasa

Puasa yang seringkali diamalkan dan paling asas adalah untuk menyatakan sikap bertaubat di dalam kehidupan seseorang. Apabila umat Allah menyedari betapa banyaknya dosa mereka, mereka mengambil langkah bertaubat supaya dosa mereka diampunkan.

Di dalam 1 Samuel 7, umat Allah ingin menyerahkan diri dengan sepenuhnya kepada Allah setelah mengambil keputusan untuk berpaling tadah daripada menyembah berhala. Sewaktu mereka berkumpul di bawah pimpinan Samuel, mereka berpuasa sebagai tanda bertaubat dan mengakui bahawa mereka “…sudah berdosa terhadap TUHAN” (1 Samuel 7:6). Sama seperti 1 Raja-Raja 21, di mana tiada raja Israel yang pernah berbuat jahat di sisi TUHAN lebih daripada raja Ahab, dia tetap “merendahkan diri” dengan berpuasa dan berpakaian kain guni. Allah melihat raja Ahab berbuat demikian dan memilih untuk mendatangkan bencana pada masa hidup anaknya sebagai tanda belas kasihan (1 Raja-Raja 21:29).

Di dalam Nehemia 9, umat Allah berkumpul dan “…berpuasa untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka” (Nehemia 9:1-2). Sebagai tanda bersedih, mereka memakai kain guni serta menaruh debu di atas kepala masing-masing. Di dalam kitab Daniel, nabi Daniel sedar bahawa sudah tiba masa waktu pembuangan berakhir. Daniel menulis dalam Daniel 9:3, “Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu.” Dia berdoa kepada TUHAN dan mengaku dosa bangsanya di hadapan TUHAN, penuh dengan harapan untuk pemulihan bagi bangsa Israel. Kitab Yoel 1:14 serta 2:12 mengandungi seruan daripada Allah untuk berpuasa dan bertaubat dengan sungguh-sungguh, dan kembali kepada Allah dengan tangisan dan ratapan. Perkara yang sama juga berlaku di kota Niniwe, di mana penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Allah yang dibawa oleh Yunus, lalu segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa dan memakai kain guni sambil menyesali dosa mereka. (Yunus 3:5)

Perjanjian Lama menunjukkan bahawa amalan berpuasa dan pertaubatan tidak boleh dipisahkan. Pertaubatan dan penyesalan dosa bukan semata-mata pengakuan daripada mulut, tetapi dibuktikan dengan berpuasa. Berpuasa tidak menjaminkan pengampunan dosa tetapi ia memaparkan keikhlasan serta hati yang betul-betul kesal.


Secara Luaran: Berdukacita Di Dalam Situasi Yang Mencabar

Berpuasa bukan sahaja menunjukkan keikhlasan hati semasa bertaubat, tetapi ia juga memberi peluang kepada seseorang untuk meratap atau berdukacita di dalam keadaan yang mencabar. Tema am di dalam 1 dan 2 Samuel adalah kematian Raja Saul serta ratapan bangsa Israel lanjut daripada peristiwa tersebut. Samuel mengakhiri waktu perkabungan untuk Saul yang mengambil masa 7 hari (1 Samuel 31:13; 1 Tawarikh 10:12). Di permulaan kitab 2 Samuel, sewaktu Daud dan pengikutnya menerima khabar tentang kematian raja Saul , mereka “…meratap, berkabung dan berpuasa sepanjang hari…” (2 Samuel 1:12). Puasa di dalam keadaan tersebut bukan kerana mereka berasa kesal pada dosa sendiri, tetapi kematian raja mereka.

Sewaktu titah raja Ahasyweros disampaikan ke semua wilayah, “…orang Yahudi meratap dengan pilu. Mereka berpuasa, menangis dan meraung; dan banyak di kalangan mereka yang memakai kain guni dan berbaring di atas abu” (Ester 4:3). Di Mazmur 69:10, Daud “…membersihkan jiwanya dengan berpuasa…” bukan kerana dosa peribadi, tetapi kerana dia dicela.

Berpuasa memberi peluang kepada seseorang menampakkan betapa sakit dan pilu hati mereka dengan perkara yang telah menimpa mereka, serta hati yang terus tulus dan taat setia terhadap Allah walaupun berada di tengah-tengah situasi yang amat mencabar.

Memandang ke hadapan: Untuk mencari berkat Allah

Seseorang juga boleh berpuasa untuk masa depan dan bukan untuk pertaubatan sahaja. Secara proaktif, seseorang boleh berpuasa dan berdoa supaya Allah menunjukkan langkah yang seterusnya. Peristiwa pertama yang muncul dalam Alkitab tentang puasa jenis ini boleh didapati dalam Hakim-Hakim 20:26, apabila umat Allah meratap di Betel di ambang perang saudara untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih aman tanpa menumpahkan setitik darah. Mereka berpuasa sehingga Allah menjawab doa mereka. Satu lagi contoh dalam 2 Tawarikh 20:3 menunjukkan raja Yosafat takut pada tentera Moab, Edom dan Meunim berkumpul untuk menawan Israel. Raja Yosafat memerintah penduduk Yerusalem supaya berpuasa, dan menyeru kepada Allah bahawa “kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong” (2 Tawarikh 20:12).

Di dalam doa Raja Daud, “…lututnya gementar kerana berpuasa…” (Mazmur 109:24). Dia juga berdoa dan berpuasa supaya anaknya yang baru dilahir boleh dipulihkan dengan harapan bahawa “…TUHAN akan mengasihani beta [Daud] dan membolehkan anak itu hidup” (2 Samuel 12:22).

Berpuasa sambil memandang ke hadapan untuk diberkati Allah memainkan peranan yang penting sewaktu umat Allah dibuang negara. Sebelum ratu Ester menghadap dengan raja Ahasyweros meminta hajat daripadanya, ratu Ester mengirimkan pesan kepada semua orang Yahudi supaya berkumpul, berpuasa dan berdoa untuknya. Ratu Ester sendiri juga berbuat demikian bersama-sama dayang-dayangnya selama tiga hari dan tiga malam (Ester 4:16).

Justeru itu, Allah menjawab doa Ester dan menyelamatkan umat-Nya.

Raja Darius yang memerintah buangan orang Israel pada tahap terakhir juga berpuasa untuk keselamatan Daniel sewaktu Daniel dibuang ke dalam gua singa (Daniel 6:18). Sebelum Ezra memimpin orang bekas buangan keluar dari Babilonia, dia mengisytiharkan bahawa semua orang “…harus berpuasa dan merendahkan diri di hadapan Allah…” agar Allah memimpin mereka “…dalam perjalanan dan melindungi…” (Ezra 8:21, 23) meraka, anak-anak serta segala harta benda mereka. Nehemia juga mencari berkat Allah di dalam doanya (Nehemia 1:4) melalui puasa dan doa sebelum menghadapi raja.

Amalan berpuasa seringkali berfungsi sebagai salah satu tiang iman apabila kamu dan saya berdoa kepada Allah dan meminta bimbingan serta nasihat daripada Allah.


Tema am: Berpaling kepada Allah

Daripada 3 kategori yang disarankan tersebut (menyelidiki diri, secara luaran, dan berpandang ke hadapan), amalan berpuasa mengandungi satu tema am, iaitu berpaling kepada Allah. Akar umbi puasa berdasarkan kekurangan dan kebatasan manusia fana, di mana kamu dan saya memerlukan Allah. Kami memerlukan pertolongan-Nya, berkat-Nya, dan bimbingan Allah. Kami memerlukan Dia untuk menyelamatkan kami daripada dosa. Allah adalah penyebut sepunya setiap kali seseorang berpuasa. Untuk keperluan harian, berdoa sudah mencukupi. Apabila tiba waktu untuk Allah bercampur tangan secara istimewa, seseorang harus berpuasa sambil berdoa.

Ingat! Berpuasa bukan sesuatu amalan yang wajib dilakukan oleh orang Kristian, dan berpuasa tidak boleh menolong kamu mengutip pahala atau ganjaran, serta ia juga bukan cara seseorang memaksa Allah menjawab doanya. Sebalik itu, berpuasa adalah disiplin rohani yang perlu diamalkan dengan penuh rendah hati serta ikhlas, sambil menyerahkan jawapan Allah ke dalam tangan-Nya.