Siri Peneguhan Iman Kristian
Kita perlu membaca Alkitab dengan selengkapnya. Maksudnya kita perlu membaca Alkitab baik dalam Perjanjian Lama (Kejadian sampai Maleakhi) dan Perjanjian Baru (Matius sampai Wahyu). Sekiranya kita membaca 5 bab dalam sehari (3 bab dalam PL dan 2 bab dalam PB) maka kita akan berjaya membaca seluruh Alkitab untuk satu kali kurang 9 bulan. Sebelum dan sewaktu membaca Alkitab kita perlu berdoa meminta pertolongan Tuhan untuk mengerti (Mazmur 119:18) dan membuka hati (Amsal 23:26) untuk mendengar suara Tuhan. Catatkan bahagian firman Tuhan yang memberi cahaya pengertian yang baru begitu juga bahagian firman Tuhan yang kurang dimengerti. Apabila kita menemukan perkara-perkara yang sukar dimengerti itu petanda sangat baik kerana itu membuktikan kita sedang membaca dengan penuh perhatian. Banyak pertanyaan kita akan terjawab dalam pembacaan yang kita teruskan dan akan terjawab dalam pengajaran dan khutbah yang kita dengar dalam seminar atau khutbah di gereja atau penulisan yang kita boleh baca secara bercetak mahupun online. Ada juga kemusykilan kita yang terjawab selepas beberapa tahun membaca dab menyelidiki Alkitab. Kita perlu ada sikap seorang murid yang terus ingin belajar dan mendalami kebenaran firman Tuhan yang terdapat dalam Alkitab.

Kita perlu membaca dan mendalami ajaran Alkitab sebab ada pihak tertentu yang memberi pengajaran yang salah dari Alkitab. Sebagai contoh, ada pihak yang mengatakan “Yesus hanya diutus kepada orang Israel”. Tetapi apabila kita membaca Alkitab dan menemukan ayat-ayat Alkitab seperti ayat-ayat rujukan di atas, kita akan dapati bahawa Yesus sebenarnya bukan hanya diutus kepada bangsa Israel. Rujukan dalam Lukas 8:26-38 sangat jelas merekodkan pelayanan Yesus di kalangan bukan orang Yahudi sebab masyarakat yang dikunjungi Yesus di sana menternak babi yang jelas diharamkan Tuhan terhadap bangsa Israel (Yahudi). Dan sekitar lebih 500 tahun sebelum Yesus dilahirkan, pelayanan Kristus (messias/penyelamat) kepada bangsa bukan Yahudi telah dinubuatkan (dijanjikan) dalam Yesaya 49:6.

Saya perlu menulis penegasan yang berikut ini. Sekiranya kita mengaku sebagai seorang yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus tetapi kita tiada selera membaca dan menyelidiki Alkitab, pengakuan kita itu sangatlah diragui. Dan apabila kita tahu kita perlu membaca dan menyelidi Alkitab dan kita ada masa yang luas untuk itu tetapi kita mendahulukan perkara yang kurang berfaedah seperti bermain games online, berchat di media sosial, menonton Netflix dsb dan firman Tuhan hanya dibaca di masa-masa tersisa atau terabai sama sekali, maka kita sebenarnya sedang dibelenggu dengan penyembahan berhala. Ini kerana definisi berhala adalah apa “saja yang lebih kita utamakan dan dahulukan daripada Tuhan dalam hidup kita. Oleh sebab itu memandangkan setiap kita diberikan Tuhan ukuran masa yang sama setiap hari iaitu sehari ada 24 jam, marilah kita mengatur masa peribadi kita setiap hari supaya ada ruangan membaca Firman Tuhan (Alkitab). Kalau kita boleh habiskan masa berjam-jam di sosial media, kenapa masa 30 minit untuk membaca merenung Alkitab dan berdoa tidak ada? Dalam kesibukan mengatur hampir 3 juta orang, Yosua diperintahkan Tuhan untuk tidak lupa merenungkan firman Tuhan siang dan malam (Yosua 1:6-9). Adakah kita lebih sibuk berbanding Yosua? Justeru kerana kesibukan kita sangat memerlukan hikmat dan kekuatan daripada firman Tuhan. Setuju?

Saya menulis berterus terang dan menulis dengan penuh kasih. Sekiranya ada yang tersinggung, maka itu petanda yang sangat baik. Itu petanda baik sebab itu menonjolkan hati pembaca yang masih lembut terhadap firman Tuhan. Itu tandanya Tuhan masih bercakap-cakap kepada kita kerana kasih-Nya kepada kita. Itu tandanya Tuhan dalam kasih kurnia Tuhan tidak akan melepaskan kita melainkan mahu terus memperlengkapi kita. Dia mahu kita menjadi orang-orang percaya yang berteguh dalam kebenaran firman Tuhan agar kesaksian kita tentang kasih kurnia-Nya (His grace) lebih dimantapkan.

Tuhan memberkati kita semua.

© Pena Rajawali