Tidak, Krismas bukan cuti orang pagan. Krismas adalah perayaan di mana orang Kristian mengingati dan meraikan kelahiran Tuhan Yesus Kristus. Orang Kristian percaya bahawa Allah telah menjelma sebagai manusia di dunia ini, oleh itu Yesus diberi gelaran Immanuel atau “Allah menyertai kita” (Matius 1:23). 

Namun demikian, terdapat golongan yang mendakwa bahawa pelbagai tradisi Krismas mengandungi asal-usul pagan, jadi soalan “Adakah Krismas cuti orang pagan?” adalah soalan yang sah. 

Pertama, asal-usul pagan Krismas agak sukar dipastikan. Solstis musim sejuk yang biasa dikaitkan dengan Krismas, tidak pernah jatuh pada Disember 25. Sama seperti Saturnalia yang telah dicadangkan sebagai permulaan Krismas, tidak pernah dirayakan pada Disember 25. Lambang-lambang Krismas yang lain seperti pokok dan lilin mungkin mengandungi konotasi pagan, tetapi pokok serta lilin adalah perkara biasa dalam kehidupan harian, untuk mendakwa bahawa objek tersebut dipakai secara eksklusif dalam upacara pagan seperti menegakkan benang yang basah. 

Kedua, makna mana-mana perkataan, simbol atau adat ditentukan oleh penggunaan dan bukan asal-usul. Kebanyakan daripada perkataan dan adat telah berpisah dari asal-usulnya, dan tidak lagi membawa bermakna yang sama seperti dahulu. Ambil simbol swastika yang telah wujud untuk ribuan tahun sebelum ini sebagai simbol tuah. Parti Nazi di negara Jerman mengambil simbol swastika sebagai lambang parti mereka sambil menekankan bahawa hidupan yang bertuah akan kembali ke negara Jerman selepas Perang Dunia Pertama. Namun demikian, ia boleh dikatakan sebagai kegilaan jika seseorang menghiaskan rumah dengan swastika berdasarkan “maksud sebenar/asal.” Swastika pada zaman ini dikaitkan dengan kekejaman pada masa Holocaust, dan adalah simbol anti-Yahudi dan semua yang jahat. Makna sebenar swastika sudah jauh berbeza daripada makna hari ini. 

Sama seperti ‘Nike’, kebanyakan orang akan memberitahu anda bahawa ‘Nike’ itu adalah jenama peralatan sukan (termasuk kasut dan pakaian). Namun demikian, makna asal perkataan ‘Nike’ adalah dewi Yunani yang melambangkan kemenangan. Kalau anda membuat carian di Google untuk ‘Nike’, kebarangkalian besar anda perlu menyaring beberapa halaman sebelum berjumpa dengan maklumat tentang dewi Yunani Nike. Jadi, apabila anda melihat simbol jenama Nike, anda akan berfikir tentang jenama peralatan sukan dan bukan dewi Yunani. Lebih daripada itu, tidak seorang pun akan membuat andaian bahawa anda menyembah dewi Yunani kemenangan. 

Tidak kira apa makna asal simbol-simbol yang digunakan untuk merayakan Krismas, tetapi kegunaan simbol-simbol tersebut pada hari ini adalah sesuai dengan pengertiannya. Untuk mengaitkan lilin, lampu berwarna ataupun pokok yang dihias dengan kepercayaan pagan tidak wajar. 

Jika terdapat amalan yang tidak mengikut alkitabiah semasa merayakan Krismas, amalan tersebut harus dihentikan. Menghadiri perjamuan bukan salah, tetapi kegelojohan adalah dosa, jadi hal ini perlu dipertimbangkan oleh umat Kristian semasa merayakan Krismas untuk memastikan bahawa hidangan yang ada tidak memupuk sikap gelojoh di antara mereka yang diundang. 

Sama seperti bergembira dengan arak: Alkitab tidak melarang seseorang daripada minum arak, namun demikian kemabukan adalah dosa. Pemberian hadiah adalah sesuatu yang baik mengikut Alkitab, tetapi jika anda berbelanja tanpa terkawal sehingga berhutang, itu adalah dosa. Pastikan bahawa pembelian hadiah Krismas berada di dalam bajet anda. Adalah disyorkan supaya umat Kristian meneliti cara mereka meraikan perayaan dengan cara yang memuliakan Allah. 

Ketiga, apabila budaya dan adat bertentangan, memang terdapat cabaran untuk mengubah atau memakai jenis bahasa atau corak pertuturan serta simbol budaya. Rasul Paulus tidak salah untuk memakai mezbah pagan untuk menyebarkan Berita Baik. Semasa berucap di Areopagus, Paulus berkata, “Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara. Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia” (Kisah Para Rasul 17:23-24).

Jika pengetahuan kita tentang perayaan Krismas menunjukkan bahawa terdapat asal-usul perayaan pagan, apakah implikasinya? Yang pentingnya adalah umat Kristian telah berjaya merayakan Krismas selama ini sehingga perayaan pagan yang asal dihapuskan, dan mana-mana pagan yang berpegang kepada kepercayaan asal mereka pasti akan mengungkitkan hal ini. Namun demikian, anda tidak membaca ataupun mendengar apa-apa tentangan terhadap perayaan Krismas oleh golongan pagan, kerana perayaan Krismas bercanggah dengan upacara pagan sehingga apa-apa kaitan antara pagan dan Kristian boleh diendahkan. 

Umat Kristian yang merayakan Kristian sama seperti gereja yang mengadakan kebaktian setiap hari Ahad (dalam bahasa Inggeris, hari Ahad dikenal sebagai ‘Sunday’ iaitu ‘Hari Matahari’, satu hari peringatan untuk pagan), atau mereka yang mengadakan persekutuan doa pada hari Rabu (hari Rabu, atau ‘Wednesday’ dalam bahasa Inggeris, dinamakan begitu untuk memperingati dewa Woden). Nama-nama hari yang kita gunakan sekarang mempunyai asal-usul pagan, tetapi tiada kaitan dengan perjumpaan mingguan di gereja, dan perayaan musim sejuk pagan kuno tidak ada kaitan dengan perayaan Krismas. 

Cuba bayangkan seorang Kristian yang hidup pada abad ke-2 atau -3 sewaktu kampungnya meraikan perayaan Saturnalia. Dia mungkin berfikir kepada diri sendiri, “Seluruh kampung ini sedang berpesta dengan jamuan dan pemberian hadiah. Mereka berbincang tentang hal ‘membebaskan roh dan menikmati hidup yang kekal’ serta ‘kedatangan zaman baru.’ Saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk menjemput kawan-kawan dan keluarga saya untuk satu jamuan sambil memberitahu mereka cara bagaimana roh mereka boleh memperoleh kehidupan kekal, termasuk kedatangan Kerajaan Allah. Saya juga rasa bahawa ini juga masa yang sesuai untuk memberi mereka hadiah sewaktu saya memperingati pemberian hadiah yang agung daripada Allah, iaitu Yesus Kristus.” Melalui corak pemikiran begini, satu perayaan pagan telah ditebus untuk kemuliaan Allah, dan umat Kristian mempunyai alternatif kepada perayaan pagan. 

Sama juga dengan setiap amalan budaya, orang Kristian boleh dibahagikan ke dalam tiga kumpulan. Ada yang menerima amalan budaya dengan menyeluruh tanpa memikir dengan lebih mendalam lagi. Perbuatan begitu tidak bijak. Ada pula Kristian yang menolaknya dari awal. Terdapat pula mereka yang mempertimbangkan situasi serta konteks amalan budaya tersebut, mengikuti apa yang dibenarkan, menolak apa yang diharamkan, dan menebus apa yang berbaloi diselamatkan. 

Sebenarnya, umat Kristian telah berjaya menebus pelbagai amalan pagan sehingga tiada seorang pun yang masih boleh ingat asal-usul amalan tersebut. Jika asal-usul perayaan Krismas adalah amalan pagan, bermaksudnya Allah telah menebus amalan pagan, segala puji dan kemuliaan kepada-Nya! Semoga Allah akan melakukan yang sama kepada amalan sosial dan budaya zaman ini. 

Walaupun Roma 14:5-6 tidak mengandungi apa-apa hubungan dengan perayaan Krismas, ia masih berkait: “Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya. Mereka yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Mereka yang makan semua jenis makanan melakukannya untuk menghormati Tuhan, kerana mereka mengucap syukur kepada Allah; manakala mereka yang tidak makan beberapa jenis makanan juga melakukannya untuk menghormati Tuhan, dan mengucap syukur kepada Allah.”

Jika seorang Kristian tidak berasa selesa dengan sesetengah ataupun semua aspek perayaan Krismas, orang tersebut harus lakukan apa yang dia percaya. Sepertimana dia tidak harus menghukumi mereka yang mempunyai pendirian yang berlainan, dia juga tidak harus dihukum sebagai balasan, apabila tiada hukum atau pendirian yang jelas di dalam Alkitab. 

Semoga kalian menyambut Hari Krismas tahun ini dengan penuh kasih dan kegembiraan. Tuhan berkati.