Mungkin anda masih berada dalam suasana merayakan Krismas di Malaysia, berserta harapan untuk menyambut tahun 2020 dengan penuh keyakinan dan sukacita. Namun demikian, marilah kita berhenti seketika untuk mengingati saudara-saudari Kristian yang lain di seluruh dunia, terutamanya lebih daripada 200 juta Kristian yang ditindas oleh kerana mereka percaya dalam Yesus Kristus. Golongan yang dianiayai ini dicambuk, dibunuh, dipenjarakan tanpa alasan, ditolak peluang pekerjaan serta pelajaran, serta mengalami kemusnahan gereja-gereja dan rumah-rumah dan penculikan anak-anak mereka. 

Berikut adalah senarai 10 buah negara di mana orang Kristian mengalami penganiayaan yang paling teruk di dunia. 

 

  1. IRAN: HUKUMAN MATI UNTUK MEREKA YANG PERCAYA

Di bawah undang-undang agama di Iran, sesiapa yang ingin mengikuti Yesus Kristus sebagai boleh dijatuhkan hukuman mati. Pengikut Yesus yang baru biasanya menghadiri kebaktian secara rahsia walaupun risikonya amat tinggi jika diketahui: antara akibat menyembah Yesus termasuk kehilangan kerja, warisan keluarga, dan diusir daripada komuniti. Walaupun risiko mengikut Yesus amat tinggi, jumlah penganut Kristian meningkat dengan pesat, termasuk generasi baru para pemimpin dan ahli politik di sana. 

Agama Kristian dikira sebagai pengaruh Barat yang bahaya. Pengguna Internet ditapis, di mana laman web Kristian tidak dapat dilayari. Pembaptisan dan perkongsian Berita Baik diharamkan, dan orang Kristian dilayan sebagai warganegara kelas kedua. Pendaftaran sebagai Kristian untuk anak yang baru dilahirkan dilarang. 

Untuk mereka yang dipenjarakan kerana pengakuan mereka sebagi Kristian, pembayaran boleh dibuat dengan harga yang sangat tinggi sehingga mencecah kos sebuah rumah ataupun perniagaan. Ini ditetapkan untuk memaksa Kristian menjadi miskin fakir serta menggalakkan mereka meninggalkan Iran.

  1. YEMEN: SIKAP EXTREMIS DAN KRISIS PERIKEMANUSIAAN

Seperti rakyat Yemen yang lain, golongan Kristian di Yemen juga mengalami krisis perikemanusiaan yang paling teruk di dunia buat masa ini. Golongan ekstremis mengambil kesempatan suasana huru-hara di sana untuk mencetuskan perang saudara supaya dapat memperluaskan pengaruh mereka. Di dalam suasana ini, Kristian tidak dapat bersekutu dalam kebaktian, dan kepercayaan mereka perlu dirahsiakan. Yemen mempunyai hanya 4 buah gereja dan kesemua 4 buah gereja mengalami kerosakan sepanjang perang saudara ini. Sebelum ini, bangungan-bangunan gereja tersebut dipakai oleh orang asing dan bukan warganegara. 

Kehidupan orang Kristian di seluruh Yemen amat susah, termasuk kawasan yang tidak mengalami peperangan. Undang-undang agama lain yang menjadi perintah. Penyebaran agama lain diharamkan kecuali agama rasmi Yemen, dan penganut agama rasmi negara dilarang daripada menukar agamanya. 

Budaya ikatan persaudaraan adalah sesuatu yang masih diamalkan di Yemen. Kerajaan tidak akan campur tangan dalam pertelingkahan di antara dua buah keluarga, di mana agama yang dianut (biasanya agama rasmi) memainkan peranan yang sangat penting dalam hal kekeluargaan. Sesiapa yang menjadi Kristian biasanya dipenjarakan ataupun dibunuh. 

 

  1. IRAQ: EKTREMISME YANG BERTERUSAN

Sebelum kumpulan pengganas ISIS mengambil kuasa, Kristian di Iraq sudah biasa dengan penculikan dan serangan. Walaupun pengaruh ISIS semakin berkurang sekarang, ini tidak bermaksud suasana untuk orang Kristian bertambah baik. Banyak orang Kristian sudah meninggalkan Iraq, tetapi ada juga yang kembali untuk membina semula rumah-rumah mereka. Gereja di Iraq telah wujud pada permulaan agama Kristian, tetapi bilangan umat Kristian di sana terus menjunam sejak tahun 1990-an.

Walaupun banyak orang Kristian sudah melarikan diri, namun demikian gereja Yesus Kristus masih wujud. Segolongan Kristian di sana bertekad untuk membina semula gereja Yesus Kristus, walaupun tekanan di sekeliling mereka untuk menukar agama amat besar. 

Negara Iraq masih dipisahkan oleh ideologi politik yang berlainan. Angkatan tentera Kurdistan menguasai kawasan utara, dan kerajaan Iraq yang rasmi memerintah kawasan lain. Tidak kira di mana kawasan orang Kristian berada di Iraq, mereka terus ditindas oleh pihak berkuasa. Perempuan Kristian terutamanya dianiaya secara fizikal dan lisan. 

 

  1. LIBYA: ANARKI & PENINDASAN

Libya tidak mempunyai kerajaan yang kukuh sejak Musim Bunga Arab berlaku pada 2011. Orang Kristian di sana sering diserang oleh pelbagai kumpulan ekstremis, termasuk ISIS, apabila golongan-golongan ekstremis ini bertarung untuk kuasa. Bak kata pepatah, “gajah bertarung melawan gajah, pelanduk mati di tengah-tengah.” Malah, penindasan terhadap orang Kristian telah meningkat. Pada tahun 2017, banyak orang Kristian yang berhijrah telah diculik dan dijual sebagai hamba abdi. 

Sebelum tahun 2011, Libya merupakan salah satu negara contoh di benua Afrika dari segi perkembangan. Banyak orang berhijrah ke sana untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih cerah. Mereka juga menggunakan Libya sebagai titik permulaan ke benua Eropah. Di sinilah kumpulan pedagang manusia haram mula menindas orang Kristian. Orang Kristian mengalami diskriminasi dari golongan ekstremis yang seagama dengan ISIS serta kerajaan tempatan. Kebanyakan majikan tidak menerima pekerja Kristian, dan mereka tidak diberi layanan setaraf dengan warganegara lain dari badan-badan kerajaan. 

Kebanyakan orang Kristian di Libya mengalami ugutan keganasan, dan keganasan seks ke atas perempuan Kristian juga seringkali berlaku. 

 

  1. ERITREA: KOREA UTARA BENUA AFRIKA

Eritrea adalah salah satu negara yang terkenal dengan penindasan terhadap orang Kristian. Banyak gereja di sana mengalami diskriminasi. Meskipun gereja ortodoks rasmi di sana mempunyai kebebasan agama yang terhad, pemimpinnya ditahan dalam rumah sejak 2007. Ratusan Kristian dipenjarakan sejak 2017 hanya kerana mereka mengakui diri sebagai Kristian. Terdapat juga Kristian yang dikurung dalam kontena kapal besi. 

Hampir semua sudut kehidupan dipantau oleh kerajaan dan setiap pelanggaran undang-undang akan dihukum. Walaupun kerajaan mengakui agama Kristian, terdapat tahap penindasan yang berbeza bergantung kepada denominasi. Kebanyakan denominasi selain daripada gereja ortodoks tidak dapat beribadah. Ada pula yang ditindas kerana menukar agama mereka kepada agama Kristian. 

Pada tahun 2017, unit penguatkuasa kerajaan mula menyerbu perhimpunan Kristian yang tidak didaftar dengan kerajaan. Bahan-bahan Kristian dirampas dan beberapa tempat orang Kristian tersebut berkumpul mengalami kerosakan, serta ratusan Kristian ditangkap. 

 

  1. PAKISTAN: KEGANASAN TERHADAP KRISTIAN

Pakistan merupakan negara di mana banyak keganasan berlaku kepada Kristian. Ektremis tempatan selalu menyerang bangunan gereja, di mana kekerapan keganasan tersebut meningkat pada waktu Paskah dan Krismas. Kristian juga diculik serta dipaksa berkahwin dengan mereka yang beragama lain. Sudah banyak Kristian menyembunyikan identiti mereka disebabkan suasana anti-Kristian, dan pihak kerajaan tidak akan campur tangan.

Hanya 2% daripada populasi di Pakistan adalah pengikut Yesus, di mana yang lain terdiri daripada agama tradisi. Sesiapa yang ingin menukar agama biasanya menjadi sasaran ekstremis dan dianggap sebagai pengkhianat keluarga. Biasanya, kerja-kerja yang kotor dan kasar dikhususkan untuk Kristian. Orang Kristian dianggap sebagai najis dan boleh dihalang daripada menerima rawatan di hospital dan farmasi.

Terdapat undang-undang tempatan yang menindas mereka yang ingin mengamalkan agama Kristian di sana. Aktiviti gereja biasanya dipantau dengan ketat, dan di sekolah, sistem pelajaran sentiasa mengajar kanak-kanak supaya membenci orang Kristian. Apabila hal agama dibincang di sekolah, sesiapa yang beragama Kristian diberi tekanan yang hebat untuk menafikan Yesus Kristus dan memeluk agama lain. 

 

  1. SUDAN: NEGARA YANG BERBELAH

Pada 1983, negara Sudan ditubuhkan sebagai republik di mana peperangan saudara berlaku tidak lama kemudian. Pada 2011, Sudan terbelah kepada Sudan dan Sudan Selatan. Banyak orang Kristian melarikan diri ke Sudan Selatan, kerana di Sudan, sesiapa yang meninggalkan agama majoriti akan dijatuhkan hukuman mati. Suasana yang tegang ini menyebabkan ramai yang takut berkongsi Berita Baik dengan mereka yang masih belum mengenal Yesus.

Mereka yang menukar agama dan mengikut Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Allah mereka yang mengalami penindasan yang paling hebat. Golongan ini akan diberkas dan dituduh secara palsu, dan bangunan gereja dirobohkan. Pemimpin gereja diugut dan mengalami tekanan untuk menyerahkan gereja kepada kerajaan. Setakat 2018, lebih daripada 20 buah gereja telah ditutup. 

Mereka yang mengambil keputusan untuk mengikut Yesus biasanya akan menyembunyikan identiti mereka sebagai anak Allah, sehingga tahap tidak memberitahu anak-anak sendiri tentang keputusan tersebut. Ini adalah kerana anak-anak mereka mungkin mendedahkan kepercayaan ibubapa mereka secara tidak sengaja kepada pihak penguatkuasa. Anak-anak orang Kristian juga dikacau dan dibuli di sekolah. 

Sudan tidak mempunyai undang-undang yang melindungi orang Kristian. Golongan ekstremis di Sudan semakin menambah, dan orang Kristian di Sudan perlu menyediakan diri untuk menghadapi kadar penindasan yang meningkat. 

 

  1. SOMALIA: TIADA TEMPAT UNTUK KRISTIAN

Somalia merupakan salah satu negara yang membenci orang Kristian, dan ini terkandung dalam ajaran agama rasmi Somalia. Sesiapa yang disyaki menjadi Kristian akan menjadi sasaran golongan ekstremis. Pada tahun 2017, 23 orang yang disyaki menjadi Kristian dibunuh oleh al-Shabaab. Terdapat hanya ratusan Kristian di Somalia, dan ini menunjukkan betapa sukarnya mengikut Yesus di sana. 

Salah satu daripada kesan perang saudara di Somalia adalah komuniti yang ganas dan rosak akhlak. Somalia menjadi salah satu tempat di mana golongan ekstremis boleh bermaharajalela tanpa akibat, dan komuniti di sana semakin agresif terhadap Kristian. Kumpulan militan juga meningkatkan usaha di dalam penindasan Kristian hanya untuk mengukuhkan posisi sendiri sebagai kuasa yang utama di daerah masing-masing. 

Perayaan Krismas tidak dibenarkan, dan sesiapa yang mengambil keputusan untuk percaya pada Yesus Kristus sebagai Penyelamat peribadi dianggap sebagai pengkhianat keluarga dan komuniti. Anda akan dikacau, diugut, malah dibunuh jika disyaki menjadi Kristian. Banyak Kristian juga dipaksa memasuki perkahwinan dengan pasangan yang berlainan agama supaya agama mereka ditukar. 

 

  1. AFGHANISTAN: MENGGADAIKAN SEGALANYA UNTUK YESUS

Afghanistan adalah negara di mana ISIS dan Taliban menguasai lebih daripada 40% kawasan, di mana 60% kawasan lain mengikut ajaran ISIS dan Taliban tetapi dalam bentuk yang tidak begitu ekstrem. Kristian tempatan terdiri daripada mereka yang meninggalkan agama lama mereka, dan golongan ini dianggap sebagai gila atau tidak waras. Jika mereka enggan meninggalkan agama Kristian, mereka mungkin dihantar ke hospital sakit jiwa, dibelasah ataupun melihat rumah mereka dirobohkan. Orang Kristian biasanya dibunuh jika mengamalkan agama mereka secara terbuka. 

Namun demikian, terdapat beberapa yang melihat perubahan ahli keluarga mereka yang mengikut Yesus, dan mereka juga mengambil keputusan untuk meninggalkan kepercayaan yang lama dan mengikut satu-satunya Tuhan dan Allah yang benar. Apabila ini berlaku, seluruh keluarga terpaksa melarikan diri ke negara yang lain. 

Mengikut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, terdapat sekurang-kurangnya 8,000 orang Kristian yang dibunuh pada 2017 hanya kerana mereka mengikut Yesus, dan ini termasuk Kristian dari luar negara. 

 

  1. KOREA UTARA : TEMPAT YANG PALING SUKAR UNTUK MENGIKUT YESUS

Korea Utara merupakan tempat yang paling bahaya untuk orang Kristian di dunia sejak 17 tahun yang lalu. Warganegara Korea Utara diperintah untuk menyembah dinasti Kim sahaja. Sesiapa yang mempunyai kaitan dengan agama Kristian akan diberkas, dianiaya dan juga dibunuh. Walaupun keadaan sangat sukar, gereja di sana semakin berkembang dengan anggaran 300,000 orang Kristian. 

Sejak kecil lagi, warganegara Korea Utara diajar untuk menyembah keluarga Kim. Mereka juga diperintah untuk melaporkan segala aktiviti ibubapa sendiri. Pengikut Yesus biasanya akan merahsiakan kepercayaan mereka daripada anak-anak sendiri untuk mengelakkan penjara ataupun dibunuh. 

Terdapat pepatah Korea Utara yang terkenal antara golongan Kristian, “Apabila dua atau tiga orang berhimpun, seorang daripada mereka adalah pengintip.” Pengikut Kristian biasanya menghafal ayat-ayat Alkitab, kemudian memusnahkan Alkitab tersebut. Ada pula yang menyorok Alkitab di tempat yang selamat dan membacanya hanya apabila mereka berseorangan. 

Jika seorang Kristian ditangkap, dia akan dihantar ke kem buruh. Seluruh keluarga akan diberkas juga kerana mempunyai kaitan dengan Kristian tersebut. Ada juga mereka yang tidak tahu apa-apa tentang agama Kristian ataupun sedar bahawa saudara mereka adalah Kristian, tetapi akan diberkas juga. Walaupun begitu, ramai daripada mereka mengambil risiko untuk mengikut Yesus, dan terdapat laporan tentang kumpulan Kristian yang mengadakan kebaktian walaupun berada di dalam kem buruh.