Kristian dan Doa: Berapa Kali Sehari dan Untuk Siapa?

6950

Orang Kristian diseru berdoa selalu

Antara salah satu perkara yang sentiasa ditekankan di dalam Alkitab adalah untuk orang Kristian berdoa. Kita diseru untuk “…berdoalah sepanjang masa…” (1 Tesalonika 5:17), dan bukan hanya 5 kali sehari. Sepanjang masa! Cuba bayangkan perintah tersebut.

Adakah perintah ini bermaksud seorang Kristian tidak boleh melakukan apa-apa kecuali berdoa? Pastilah tidak! Dengan mengamalkan sikap berdoa sepanjang masa, orang Kristian hendaklah prihatin terhadap semua yang berlaku di sekeliling kita.

Sewaktu bangun, kita boleh bersyukur kepada Allah untuk rehat yang secukupnya dan menyerahkan hari tersebut ke dalam tangan-Nya. Setiap kali sebelum membuka selera (dan orang Malaysia terkenal dengan selera mereka!), kita berdoa dan berterima kasih kepada Tuhan kerana kebaikan dan berkat-Nya di dalam hidup masing-masing. Sebelum kita turun kerja, kita berdoa untuk perjalanan yang selamat.

Paulus menulis, “Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripadamu dalam Kristus Yesus” (1 Tesalonika 5:18). Dalam segala hal dan situasi, kita boleh berdoa. Inilah kebebasan yang orang Kristian nikmati dalam Yesus Kristus, di mana kita boleh “…tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia…” (Ibrani 4:16) tanpa ketakutan bahawa doa kita akan dibatalkan hanya kerana kita tidak menyucikan badan sebelum itu.

Yesus sendiri mengecam orang Farisi dan menggelar mereka sebagai munafik. Dia berkata, “Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu. Hai orang Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga” (Matius 23:25-26). Yesus pernah mengajar juga bahawa “…apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya” (Matius 15:11). Ketara sekali Allah lebih mementingkan keadaan hati seseorang atas segala yang lain, termasuk cara pemakanan, cara pemakaian, cara pertuturan, serta cara berdoa! Jika hati seseorang murni dan ikhlas, dia tidak akan gelojoh, dia tidak akan berpakaian secara tidak senonoh, dia tidak akan berkata-kata kasar, dan dia tidak perlu menyucikan badan sebelum berdoa menghadap Raja segala Raja!

Orang Kristian berdoa untuk semua orang

Di dalam 1 Timotius 2:1-2, Paulus mendorong Timotius “…supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia – untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat.” Ia adalah tanggungjawab setiap orang Kristian, tidak kira di mana mereka berada, untuk berdoa atas pihak raja-raja dan pemerintah supaya Allah akan membimbing mereka mentadbir dengan adil dan bijaksana dengan penuh hikmat.

Amos, seorang gembala domba yang dipanggil TUHAN untuk menyampaikan khabar kepada umat Allah yang sesat, menyeru mereka supaya “…keadilan bergulung-gulung seperti air dan perbenaran seperti sungai yang selalu mengalir” (Amos 5:24). Tidak kira di mana jua, Allah mementingkan perbenaran, keadilan dan pemerintahan yang saksama. Kesemua itu di dalam kehendak Allah, dan orang Kristian diperintah supaya berdoa sedemikian. Bolehkan Allah memakai mereka yang tidak percaya pada-Nya? Memang boleh, sepertimana Allah melantik raja Kores dari empayar Persia untuk menyediakan jalan bagi umat-Nya sendiri.

Kriteria doa orang Kristian bukan untuk merampas kuasa dan memerintah negara ini. Yang didoakan orang Kristian adalah supaya keamanan, perbenaran dan keadilan membanjiri Malaysia, supaya tanahair tercinta ini boleh terus maju dan makmur. Kita berdoa supaya Malaysia akan dipimpin oleh mereka yang takut akan Allah, yang ingin melihat seluruh negara berkembang dengan pesat tanpa mengorbankan ciri-ciri kemanusiaan.

Nabi Yeremia juga menulis kepada orang buangan di Babilonia, “Ikhtiarkanlah kesejahteraan kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada Tuhan untuk kota itu, kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraanmu” (Yeremia 29:7). Kalau asal kamu dari Johor tetapi berada di Kedah sekarang untuk sebab-sebab tersendiri, berdoalah untuk Johor, tetapi jangan lupakan tentang Kedah pula. 

Jelas sekali bahawa Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru menyeru umat Allah untuk berdoa selalu di mana-mana mereka berada, dengan satu objektif: supaya kemuliaan Tuhan dapat dilihat dengan jelas dan nyata. Ketahuilah bahawa Allah seorang yang adil dan prihatin terhadap setiap orang, jadi pemerintah yang melakukan demikian tanpa mengambil kira bangsa, agama atau parti politik mereka telah melakukan kehendak Allah. Itulah yang menyenangkan hati Allah dan mengikut kehendak-Nya. Itulah yang perlu ditekankan di dalam doa masing-masing.

Selepas berdoa, apa yang harus saya lakukan?

Seringkali kita sendiri menjadi jawapan kepada doa kita. Contohnya kalau saya berdoa, “Ya Tuhan Yesus, berkatilah mereka yang tidak cukup makan hari ini. Dalam nama Yesus saya berdoa, Amin.” Lima minit kemudian, sewaktu saya berjalan, saya terserempak dengan seorang pengemis di kaki lima. Adakah saya tunggu supaya Allah menjawab doa saya secara ajaib, menurunkan roti dari langit, atau saya yang mampu membeli sebuku roti melakukan sedemikian dan memberkati pengemis itu?

Alangkah indahnya di atas gunung-gunung

melihat kaki mereka yang membawa berita baik,

yang mengkhabarkan kedamaian,

yang membawa khabar kesukaan,

yang mengkhabarkan penyelamatan,

yang berkata kepada Sion, “Allahmu bertakhta!”

Yesaya 52:7

Peristiwa tersebut bukan sahaja secara teori, tetapi ia satu pengajaran untuk saya yang saya tidak akan lupakan sepanjang hayatku. Tahun lepas sewaktu saya berdoa sedemikian, Allah menjawab doa saya dan membuka mata saya supaya saya lebih peka terhadap persekitaran saya. Di tengah-tengah persimpangan sibuk, saya melihat beberapa orang pengemis di kawasan yang berlainan. Mereka cuba berteduh daripada matahari yang panas terik di bawah atap zink yang sudah usang. Orang ramai tidak mengendahkan mereka. Terdapat sekumpulan orang yang menjalankan aktiviti dakwah tidak kurang 100 meter dari pengemis itu, turut mengabaikan dia walaupun dia seagama dengan mereka.

Hati aku berdebar-debar kerana inilah peluang yang Allah berikan kepada saya, untuk menjadi jawapan kepada doa diri sendiri! Dengan penuh sukacita, saya berterima kasih kerana Tuhan Yesus telah menjawab doa saya, dan saya membelikan pengemis itu sebungkus mee goreng dan teh ais sambil berkongsi dengan dia bahawa dia disayangi Yesus dan tidak dilupakan. Hakikatnya, ayat Alkitab sedap didengar, tetapi ayat Alkitab tidak dapat memenuhi perut yang mengaum kelaparan. Inilah pelajaran yang Yesus berkati saya pada hari itu.

Ia adalah doa saya supaya kita sebagai umat Allah sentiasa peka terhadap Roh Kudus, dan tidak melepaskan peluang untuk menjadi jawapan kepada doa sendiri.