Mengenali Kehendak Allah Di Dalam Kehidupan Kamu

3057

Hidup ini penuh dengan jalan yang berliku-liku, di mana terdapat banyak persoalan dan pelbagai situasi. Untuk orang Kristian, kita selalu berdoa untuk mengenali kehendak Allah dalam hidup masing-masing, kerana menyimpang daripada kehendak-Nya biasanya membawa kemudaratan di dalam hidup. Namun demikian, mengikuti kehendak Allah bukannya senang selalu dan mungkin memerlukan kamu melalui banyak rintangan dan cubaan sebelum kemuliaan-Nya dinyatakan di dalam hidup kamu.

“Saya telah memenuhi semua syarat-syarat di dalam agama saya, tetapi roh saya masih kekosongan. Adakah Yesus seorang sahaja yang mampu melengkapi saya?”

“Saya takut membuat keputusan mengikuti Yesus walaupun saya tahu bahawa Dia adalah Jalan, Kebenaran dan Hidup. Ini kerana nyawa saya mungkin diancam selepas membuat keputusan yang betul.”

“Adakah dia sesuai untuk menjadi teman hidup saya?”

“Universiti manakah yang harus aku mohon untuk melanjutkan pelajaran saya?”

“Saya telah menerima tawaran kerja di mana gajinya sungguh lumayan berbanding dengan sekarang, tetapi saya perlu pindah ke negeri lain. Patutkah saya menyingkir diri daripada semua yang saya sudah biasakan diri hanya semata-mata untuk wang?”

Mungkin kamu dibesarkan di dalam keluarga yang taat kepada Allah dan cuba sedaya upaya untuk memenuhi semua hukum-hukum dan syarat syarat keagamaan. Namun demikian, apabila sampai di persimpangan hidup di mana tiada petunjuk yang jelas daripada kitab suci yang dipakai selama ini, apakah yang patut kamu lakukan?

Kehendak Allah yang telah dinyatakan

Alkitab adalah Firman Allah, dan orang Kristian boleh merujuk kepadanya untuk kebanyakan persoalan di dalam hidup. Kita dinasihati supaya mengelakkan daripada berkahwin dengan orang yang tidak percaya (2 Korintus 6:14), untuk mencari hikmat senantiasa (Yakobus 1:5), berdoa selalu (1 Tesalonika 5:17), dan lain-lain. Pokoknya, jika kamu mematuhi Perintah yang Terutama, banyak masalah

Allah memberi kita semua kebebasan untuk memakan dan meminum apa sahaja, memakai pakaian mengikuti citarasa sendiri, tanpa mengambil kira kalau kita tidur di sebelah kanan atau kiri, mahupun ingin menyimpan janggut atau tidak, asalkan perbuatan kita tidak melanggar Perintah yang Terutama. Inilah kebebasan yang diberi oleh Allah kepada anak-anak-Nya supaya kita menikmati hidup yang berlimpah-limpah di dunia ini dan di akhirat sepertimana yang dijanjikan oleh Yesus Kristus (Yohanes 10:10).

Jadi, rajin membaca Alkitab selalu untuk mengenali apa kehendak Allah yang telah dinyatakan.

Kehendak Allah yang tidak dinyatakan

Bagaimana pula dengan kehendak Allah yang tidak dinyatakan? Berdoa kepada-Nya, dan berpuasa juga jika kamu dipimpin oleh Roh Kudus untuk melakukan demikian. Hal ini berbeza dari satu orang ke orang yang lain. Inilah salah satu sebab Kristianiti sering dikatakan sebagai satu perhubungan peribadi dengan Yesus Kristus dan bukan agama.

Sebagai contoh, kalau kamu ragu-ragu tentang berpindah ke negeri lain untuk kerjaya, berdoalah sambil berpuasa! Allah mungkin menjawab doa kamu di dalam salah satu petikan Alkitab sewaktu kamu melakukan saat teduh. Tetapi ingat! Setiap jawapan dari doa kamu perlu dibandingkan dengan Firman Tuhan. Kalau ia tidak selari (walaupun kamu menerima ‘jawapan’ tersebut secara luarbiasa seperti penglihatan atau wahyu) dengan apa yang dinyatakan di dalam Alkitab, itu bukan jawapan daripada Allah. Allah tidak pernah bercanggah dengan Firman-Nya.

Marilah kita melihat salah satu contoh di dalam Alkitab di mana mengikuti kehendak Allah bukannya sesuatu yang mudah.

Saulus menjadi Paulus

Rasul Paulus adalah salah satu tokoh rohani Kristian yang terkenal, di mana dia menulis kebanyakan kitab-kitab yang terkandung di dalam Perjanjian Baru. Walaupun dia menganiaya serta memenjarakan orang Kristian hanya sebab iman mereka terhadap Yesus Kristus, namun demikian Allah sendiri mempunyai rancangan yang luarbiasa dengan menampakkan diri kepadanya semasa perjalanan ke Damsyik.

Paulus (dipanggil Saulus sebelum dia percaya) ditegur oleh Yesus Kristus sendiri, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?” Ini adalah bukti bahawa setiap penganiayaan terhadap orang Kristian bersamaan dengan penganiayaan terhadap Yesus Kristus sendiri.

Setelah menerima Yesus sebagai Juruselamatnya, Paulus bertaubat daripada dosanya dan terus ke Arabia selama tiga tahun. Kebarangkalian besar pada waktu tersebut, Paulus merenungkan apa yang telah terjadi kepada diri sendiri serta menyelidiki seluruh Perjanjian Lama, dan bagaimana Yesus Kristus telah memenuhi semua nubuatan di dalam Perjanjian Lama tentang-Nya. Selepas tempoh masa tersebut, dia bertemu dengan rasul-rasul yang lain (murid-murid Yesus) dan mula melayan serta menyebarkan Berita Baik.

Mungkin Paulus bertanya kepada diri sendiri bahawa dia telah lama mengikut adat istiadat nenek moyang sendiri, memenuhi semua hukum Taurat (Filipi 3:4-6), tetapi dia masih tidak dapat merasai hadirat Allah. Ini kerana perbuatan baik manusia, sebanyak-banyak juga yang dilakukan, tidak mencukupi untuk memasuki hadirat Allah.

Apakah kehendak-Mu, ya Allah, untukku?

Setelah Roh Kudus memberitahu gereja untuk mengasingkan Paulus serta Barnabas untuk mengerjakan pelayanan di merata tempat, dia mengikut kehendak Allah. Paulus tidak asing lagi dengan penderitaan kerana dia mengikuti kehendak Allah di dalam hidupnya.

Paulus menulis, “Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali. Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam. Aku sering berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura menjadi pengikut Kristus. Aku bekerja mati-matian, kerap kali tidak makan,; tidak minum dan tidak tidur, lapar, kesejukan kerana kurang pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal.” (2 Korintus 11:25-27)

Jauh berbeza kehidupan Paulus dan Yesus Kristus dengan segelintir manusia zaman ini. Ada yang menggelar diri sebagai agamawan dan tokoh pendeta, tetapi dituduh pula melanggar undang-undang seperti menyeleweng wang dan menyebarkan ajaran extremis. Golongan tersebut mengikut hawa nafsu sendiri dan tidak bersandar pada kehendak Allah, jadi mereka mengambil keputusan untuk berlari dari negara sendiri dan tidak berani menyerahkan diri kepada proses undang-undang negara asal yang sewajarnya kerana alasannya “takut akan ketidakadilan”. Mungkin agama orang tersebut tidak begitu mantap seperti yang diajar, atau tuhan yang mereka sembah tidak berkuasa? Atau tiada istilah mencari kehendak Allah di dalam agamanya?

Bandingkan kehidupan manusia seperti itu dengan Yesus dan Paulus. Yesus sendiri tahu bahawa Dia akan disalib, tetapi Dia tetap terus ke Golgotha kerana itu kehendak Allah. Paulus dipermainkan dan dianiaya, tetapi dia rela melalui pengalaman tersebut kerana ia kehendak Allah.

Paulus adalah bukti bahawa seseorang yang mengikuti Yesus dan mematuhi kehendak Allah di dalam hidup tidak semestinya dijauhi daripada kesakitan dan masalah. Yesus adalah contoh yang teragung: kehendak Allah untuk Anak-Nya adalah mengalami kematian di atas kayu salib untuk menebus dosa kamu dan saya, dan ini bukan satu perkara yang mudah. Puji Tuhan, Yesus taat setia kepada Bapa Syurgawi-Nya dan bangkit dari maut tiga hari kemudian supaya kamu dan saya boleh memperoleh hidup yang kekal secara percuma!

Keselamatan kerana kamu percaya dalam Yesus adalah hadiah yang percuma, tetapi bukannya murah kerana ia dibayar dengan nyawa Yesus Kristus sendiri! Tuhan memberkati kamu.