Mengapa Kristian Mempunyai Banyak Versi Alkitab (Bible) Yang Berlainan?

3805

“Kandungan Alkitab sudah ditukar banyak kali. Itulah sebabnya terdapat banyak versi.”

“Lihat betapa banyak versi Alkitab yang ada di pasaran, bagaimanakan seseorang tahu kalau versi yang mereka baca itu adalah yang betul?”

“Kamu tidak tahu siapapun yang menulis Alkitab, bagaimanakah kamu boleh mempercayainya?”

“Penterjemahan daripada bahasa asal telah mengubah kandungan Alkitab, lebih-lebih lagi dengan pelbagai versi Alkitab yang sedia ada.”

 

Orang Kristian percaya bahawa Alkitab itu adalah satu naskhah buku yang sangat istimewa. Malah, ia jauh lebih daripada hanya sebuah buku, tetapi Alkitab itu Firman Allah yang ditulis oleh banyak orang di bawah pimpinan Roh Allah (Roh Kudus). Apabila kamu mendengar tuduhan bahawa Alkitab tidak boleh dipercayai kerana banyak kandungan di dalam sudah berubah, tambahan pula terdapat pelbagai jenis versi di dalam pasaran, apakah respon kamu?

Apakah tujuan terdapat pelbagai versi Alkitab? Sebabnya sangat mudah dan praktikal sekali: supaya semua orang, tidak kira bangsa, suku, negara dan bahasa boleh memahami surat cinta yang teragung daripada Allah kepada umat manusia. Kalau para paderi dan imam tetap menekankan bahawa Allah hanya boleh difahami dan didekati melalui bahasa Ibrani dan Yunani sahaja, umat Kristian akan terdiri daripada mereka yang menampakkan sifat-sifat keagamaan secara luaran, tetapi jauh di dalam sudut hati masing-masing, mereka masih tidak mengenal Allah yang mereka sembah.

Apa yang para paderi menyatakan akan diterima secara bulat-bulat tanpa apa-apa persoalan kalau ia betul atau tidak. Ini juga menunjukkan keterbatasan Allah yang tidak mampu menyampaikan pesanan-Nya kepada umat manusia di dalam bahasa ibunda masing-masing. Allah yang Maha Mengasihi tidak akan memaksa seorang dari pedalaman hutan di Borneo yang tidak pernah belajar bahasa Ibrani mahupun Yunani untuk mengetahui bahawa “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16).

Bak kata pepatah, “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.” Memandangkan populasi dunia ini sudah mencecah 7.7 billion pada 2019, terdapat pelbagai versi untuk memenuhi tahap pemahaman dan penghayatan setiap individu. Budak kecil yang membaca cerita Sepuluh Hukum Allah di dalam Alkitab Kanak-Kanak tidak akan kekurangan berbanding dengan seseorang Kristian dewasa yang membaca Alkitab Berita Baik. Malah, budak kecil tersebut dapat tangkap apa yang ingin disampaikan oleh Allah kerana bahasa yang digunakan di dalam Alkitab Kanak-Kanak jauh lebih sesuai untuk tahap pemahaman ia. Allah tidak mahu robot yang menyembah-Nya tanpa memakai otak, tetapi Dia mahu orang “…menyembah Bapa sebagai Allah yang benar…” (Yohanes 4:23-24) seperti yang dikehendaki oleh-Nya.

 

Penterjemahan daripada bahasa asal telah mengubah kandungan Alkitab, lebih-lebih lagi dengan pelbagai versi Alkitab yang sedia ada.” Betulkah apabila penterjemahan berlaku, maksud asal sudah berubah? Kalau saya menterjemahkan perkataan “sun” daripada bahasa Inggeris ke “matahari” dalam bahasa Malaysia, adakah seseorang akan melemparkan tuduhan yang sama? Tidak sekali!

Kalau saudara berasa bahawa contoh tersebut kurang memuaskan, tidak salahnya berbandingkan dua ayat Alkitab yang sama daripada versi yang berlainan. Ayat Alkitab tersebut adalah salah satu yang paling disayangi oleh banyak orang Kristian di seluruh dunia, tidak kira bangsa, suku dan bahasa mereka, iaitu Mazmur 23:1.

TUHAN ialah gembalaku; aku tidak kekurangan apa-apa.” dengan “Tuhan ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun.” Terdapat perbezaan di antara kedua-dua ayat Alkitab yang sama, tetapi maksud yang disampaikan adalah sama.

 

“Lihat betapa banyak versi Alkitab yang ada di pasaran, bagaimanakan seseorang tahu kalau versi yang mereka baca itu adalah yang betul?” Kekurangan ilmu itu ada rawatan, yakni seseorang mengambil inisiatif untuk menimba ilmu dan membasmi kejahilan yang ada pada diri sendiri. Malangnya, kebodohan itu tiada ubatnya. Kalau seseorang yang berfikir sedemikian tidak mengambil masa serta usaha untuk mencari kebenaran, malah membaca pelbagai versi Alkitab untuk mencari kesalahan di antara versi-versi tersebut, sampai akhir hayat pun orang tersebut tidak akan mengubahkan fikirannya.


“Jangan berikan apa-apa yang suci kepada anjing; anjing hanya akan berbalik lalu menerkam kamu. Jangan berikan mutiara kepada babi; babi hanya akan memijak-mijak mutiara.”

– Matius 7:6

Kata-kata Yesus dari Matius 7:6 yang tertera di atas mungkin menyebabkan telinga para pendengar panas, tetapi Dia mengatakan begitu kerana bukan semua orang yang layak ditegur. Yesus pernah mengajar para murid-Nya supaya menjauhi diri daripada mereka yang jahat dan kufur. Situasi ini berlaku apabila Berita Baik telah disampaikan kepada mereka, tetapi mereka tidak menerimanya malah menganiaya pembawa Berita Baik tersebut. Jadi, dengan pimpinan Roh Kudus di dalam hidupmu, kamu akan mengenal siapa yang sedia menerima Berita Baik dan siapa yang ingin mengambil kesempatan untuk memaki hamun kamu hanya kerana kamu cukup menyayangi mereka untuk menyampaikan Berita Baik serta kebenaran Alkitab.

 

“Kamu tidak tahu siapapun yang menulis Alkitab, bagaimanakah kamu boleh mempercayainya?” Perlukah kamu ketahui siapa yang menulis Alkitab, barulah kamu boleh menerima kesahihan dan kebenaran daripada Allah? Pemikiran begini amat bahaya. Contohnya, kalau seseorang menulis senaskhah buku yang menyatakan bahawa negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 16 September, 1963. Namun demikian, tiada orang tahu identiti penulis tersebut. Tiga ratus, lima ratus, malah seribu tahun dari sekarang, buku tersebut masih dicetak dan tidak pernah berubah. Adakah orang di masa hadapan akan menafikan bahawa fakta di dalam buku tersebut adalah salah hanya kerana mereka tidak tahu identiti penulis?

Identiti penulis tidak penting jika apa yang ditulis adalah kebenaran. Lebih-lebih lagi, sejarah mengandungi identiti sekurang-kurang 35 daripada 40 orang penulis di dalam Alkitab, jadi tuduhan ini sememangnya omong kosong sahaja. Kalau seseorang masih menekankan bahawa kandungan Alkitab tidak boleh dipercayai, dia sebenarnya menuduh Allah sebagai pembohong kerana Roh Allah yang mengilhamkan para penulis Alkitab untuk menghasilkan karya teragung ini.

 

Kesimpulan

Puji Tuhan atas titik peluh semua penterjermah bertauliah selama ini yang tidak pernah mengenal istilah letih dan putus asa untuk menghasilkan pelbagai penterjemahan Alkitab supaya seluruh umat manusia boleh membaca untuk diri sendiri “…betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus…” (Efesus 3:18-19). Setiap orang Kristian yang benar sangat bersyukur kepada Allah Bapa kerana Dia telah membuka jalan untuk kamu dan saya mengenali Dia secara peribadi melalui Firman-Nya.

Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah.