Mengapa Kristian Tidak Mematuhi Hukum-Hukum/Taurat Dalam Perjanjian Lama?

7050

Orang Kristian tidak tahu kitab sendiri, bahawa mereka perlu mengikut hukum-hukum/Taurat di dalam Perjanjian Lama.

Yesus juga mengikuti adat istiadat di dalam Perjanjian Lama!

Kristian itu munafik (hipokrit). Mereka mengikut nafsu hati masing-masing tanpa mengambil kira perintah Allah di dalam hidup mereka.

 

Pernahkah saudara mendengar tuduhan-tuduhan palsu di atas ditujukan kepada kamu? Bagaimanakah respon kamu? Mungkin kamu berasa malu kerana tiada jawapan untuk membalas tohmahan tersebut, atau kamu ketawa sahaja kerana kekurangan ilmu boleh dirawat, dan ini satu kesempatan untuk kamu menyampaikan kebenaran kepada mereka yang masih berjalan dalam kegelapan rohani. Inilah sebab mengapa orang Kristian yang tahu dan faham isi kandungan Alkitab, tidak merejam orang sampai mati. Hanya orang yang bodoh bendul akan memetik ayat Alkitab di luar konteks dan menulis omong kosong.


“Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa.”

Roma 10:4

Untuk pihak yang masih berkeras bahawa orang Kristian perlu mematuhi hukum-hukum di dalam Perjanjian Lama, berhenti sejenak. Adakah mereka sudah habis membaca Alkitab, iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, untuk mendapat konteks petikan tersebut? Contohnya, kalau pihak yang membuat tuduhan tersebut, apakah yang akan dikatakan mereka dengan deklarasi di dalam Roma 10:4, di mana “Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa”?

Inilah konteksnya. Sewaktu Sepuluh Hukum Allah diberi kepada orang Israel (seperti yang terkandung di dalam Keluaran 20), jelas nyata sekali bahawa hukum tersebut adalah khas untuk negara Israel, dan bukan kepada Kristian. Terdapat pelbagai hukum yang menyusuli juga, iaitu hukum-hukum, larangan dan perintah yang dapat menolong dalam pentadbiran negara Israel yang baru sahaja dilepaskan daripada belenggu Firaun selepas 430 tahun bekerja sebagai hamba abdi di Mesir.

Antara objektif hukum-hukum tersebut adalah untuk memuaskan syarat-syarat Tuhan (seperti Sepuluh Hukum Allah); dan terdapat juga hukum yang mengajar orang Israel cara-cara menyembah Tuhan (sistem penyembahan); hukum yang membezakan Israel daripada bangsa-bangsa lain (peraturan makanan dan baju). Kesemua hukum-hukum tersebut tidak perlu lagi diikuti semasa Yesus mati di atas salib. Ini kerana Dia telah menamatkan keberkesanan undang-undang dalam Perjanjian Lama.

 

Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa.” – Roma 10:4

Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan. Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus. Sekarang, kerana sudah tiba masanya manusia dapat percaya kepada Kristus, Taurat tidak perlu mengawasi kita.” – Galatia 3:23-25

Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu, Kristus mendatangkan kedamaian.” – Efesus 2:15

 

Ayat-ayat di atas jelas menyatakan bahawa Taurat atau hukum-hukum lama sudah dimansuhkan dan tidak lagi berkuatkuasa ke atas kehidupan orang Kristian. Oleh kerana Yesus menjadi ganti kepada undang-undang dalam Perjanjian Lama, orang Kristian sekarang berada di bawah undang-undang Kristus, sepertimana yang dinyatakan di dalam Galatia 6:2, “Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian kamu akan mentaati perintah Kristus.

Apakah perintah Kristus? Yesus, apabila ditanya apakah Perintah yang Terutama, menjawab, “Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu. Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.” (Matius 22:37-40).

Apabila seorang Kristian mematuhi Perintah yang Terutama, ini bermaksud bahawa kamu telah melaksanakan segala yang diminta oleh Kristus. Perlu diingati bahawa secara teknikal, walaupun Sepuluh Hukum Allah tidak lagi dikenakan ke atas Kristian, tetapi sembilan hukum tersebut diulangi di dalam Perjanjian Baru. Pengecualiannya adalah mematuhi Hari Sabat. Memang ketara bahawa seseorang yang mengasihi Tuhan tidak akan menyembah tuhan atau allah lain yang palsu. Sama seperti seseorang yang mengasihi jirannya, dia tidak akan membunuhnya, berbohong kepadanya, berzina dengan isterinya, atau menginginkan harta bendanya.

Setiap Kristian yang mengasihi Allah serta jirannya dengan sepenuh hati dan keikhlasan sudah memenuhi kehendak Allah serta mematuhi perintah-Nya, di mana keperluan moral lain juga akan dipenuhi. Jadi, memang tidak munasabah untuk seseorang berkata bahawa orang Kristian tidak mengetahui kandungan kitab sendiri kerana tidak mematuhi hukum-hukum di dalam Perjanjian Lama.

Sekali lagi, perlu diingatkan bahawa membaca dan mentafsir ayat-ayat Alkitab dengan cara yang betul memerlukan seseorang yang bersikap rendah hati, di mana dia bersedia menerima apa sahaja yang Allah ingin sampaikan. Pembacaan Alkitab bukannya memetik ayat-ayat tertentu secara sesuka hati, tetapi mengambil kira konteks yang sesuai secara keseluruhan dan kesinambungan dengan kitab-kitab lain di dalam Alkitab.

Semoga saudara saudari diberkati dengan penjelasan di atas. Tuhan memberkati serta menyertai kamu.