Poligami Dalam Kristian: Pernahkah Allah Memperkenalkan Poligami?

4763

Pernahkah kamu didekati dengan kenyataan begini, “Agama Kristian memperkenalkan poligami, dan bukan agama tertentu sahaja. Contohnya, di dalam Perjanjian Lama, Abraham memiliki 3 orang isteri (Sara, Hagar, dan Ketura). Raja Daud juga memperisterikan ramai wanita. Yakub sendiri mempunyai lebih daripada seorang isteri. Raja Salomo pula memiliki 700 orang isteri dan 300 gundik” (1 Raja-Raja 11:3). Bagaimanakah respon kamu?

Allah TIDAK PERNAH menyarankan amalan poligami

Alkitab adalah buku yang diilhamkan oleh Roh Allah (Roh Kudus) dengan memakai manusia biasa sebagai penulis. Jadi, Alkitab menyatakan apa yang berlaku, tetapi TIDAK PERNAH mencadangkan atau memerintah orang Kristian supaya mengamalkan poligami.

Sesiapa yang mencadangkan bahawa agama Kristian juga bersetuju dengan amalan poligami berdasarkan contoh-contoh di dalam Alkitab memang tidak bertauliah dan cuai di dalam penyelidikannya. Pihak tersebut memetik beberapa ayat dari Alkitab tanpa mengambil konteks dan maksud sebenar yang dipaparkan. Ini menunjukkan kerja kajian yang lalai dan tidak bertanggungjawab, malah akan ditolak di kalangan akademik. Kalau kita mengikut logik atau corak pemikiran tersebut, petikan Alkitab yang menceritakan pasal pembunuhan Habel oleh Kain di dalam Kejadian 4:1-16, adakah ‘cendekiawan’ tersebut juga mengemukakan cadangan bahawa orang Kristian bebas membunuh orang kerana rasa cemburu? Bagaimana pula dengan peristiwa di mana Raja Daud berzina dengan Batsyeba (2 Samuel 11)? Adakah perbuatan berzina dihalalkan untuk semua orang hanya kerana peristiwa tersebut dicatat di dalam Alkitab? Saya rasa tidak!

Sungguh jelas dari mulanya bahawa rancangan Allah untuk manusia adalah menyatukan mereka sebagai sepasang suami isteri. Demikianlah dinyatakan di dalam Kejadian 2:24, “Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.” Bukan bertiga, berempat, atau berbelasan, tetapi berdua.

Kejadian 2:18 menunjukkan bahawa Allah berfirman, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” Ini adalah bukti bahawa fitrah asal manusia adalah bermonogami, iaitu seorang suami dan seorang isteri sahaja. Kalau fitrah asal lelaki adalah untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri, Allah sudah tentu menjadikan dua, tiga, ataupun empat isteri untuk Adam dari permulaan.

Di dalam kitab Maleakhi, Allah amat murka terhadap umat-Nya kerana mereka sering bercanggah dengan perintah Allah. Dalam hal kekeluargaan, Allah menegur umat-Nya, “Wanita itu teman hidup dan isteri kamu…” (Maleakhi 2:14).  Sekali lagi, jelas nyata bahawa rancangan Allah adalah untuk seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan sahaja, dan tidak lebih daripada itu.

Dosa asal yang diwarisi manusia sudah menonjolkan kehadirannya di dalam generasi ketujuh dari Adam, di mana Lamekh mengambil dua orang isteri, Ada dan Zila. Musa, nabi yang dihormati di kalangan orang Israel, juga mempunyai dua isteri. Hukum Taurat mengandungi peruntukkan untuk amalan poligami seperti mengahwini tawanan perang dan meneruskan zuriat keluarga dengan mengahwini balu.

Seperti yang dikatakan tadi, amalan poligami, walaupun dicatat di dalam Alkitab, bukannya sesuatu yang disarankan atau diperintah oleh Allah kerana itu bukan rancangan asal Allah untuk bangsa manusia. Kebanyakan kali, sesiapa yang berpoligami di dalam Alkitab akan mengalami masalah keluarga. Di dalam kitab Maleakhi, Allah murka dengan bangsa Israel kerana mereka mengamalkan poligami serta bercerai tanpa alasan yang munasabah (Maleakhi 2:13-16). Sangat jelas bahawa perhubungan monogami adalah rancangan Allah untuk setiap pasangan suami isteri dan bukan poligami.

Di dalam Perjanjian Lama, Allah juga memberi amaran yang tegas kepada umat-Nya, “Raja itu tidak boleh mempunyai banyak isteri, kerana hal itu akan menyebabkan baginda berpaling daripada TUHAN…” (Ulangan 17:17). Mengapa Allah memakai raja sebagai contoh? Kerana kalau pemimpin tertinggi di dalam sebuah negara atau bangsa terlanjur, maka rakyat pun akan berkecenderungan mengikutinya. Jadi, tidak perlu menyatakan secara terperinci bahawa semua orang hanya perlu memperisteri seorang sahaja.

Ada pula orang yang kata, “Allah tidak menegur Raja Salomo pun, walaupun dia seorang nabi dan mengambil banyak isteri.” Tomahan tersebut senang dibalas, kerana amaran Allah yang tidak diendahkan oleh Raja Salomo berakhir dalam dosa. 1 Raja-Raja 11:3 menceritakan, “Raja Salomo berkahwin dengan tujuh ratus orang puteri raja dan mempunyai tiga ratus orang gundik. Mereka menyebabkan Raja Salomo meninggalkan Allah…” Pokoknya, rancangan asal Allah untuk manusia adalah perkahwinan bercorak monogami.

Lebih-lebih lagi semasa Yesus melayan di bumi, Dia mekankan bahawa “…seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu” (Matius 19:5 , Markus 10:8). Rasul Paulus juga merujuk silang Kejadian 2:24 di dalam suratnya kepada jemaah di Efesus, “Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu” (Efesus 5:31).

Sangat jelas sekali Allah mengetahui bangsa manusia yang terjerumus ke dalam dosa tidak mampu bernikah dengan dua, tiga, atau empat isteri sambil berlaku adil terhadap semua. Di sebaliknya, perkahwinan antara satu suami dengan satu isteri menyeru kepada suami supaya mengasihi isteri “…sebagaimana Kristus mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah” serta “…memelihara dan menyayanginya…” (Efesus 5:25-30) seperti yang dilakukan oleh Kristus kepada jemaah. Allah TIDAK PERNAH memberi pesanan kepada nabi-nabi-Nya untuk memperkenalkan amalan poligami, tetapi daripada contoh-contoh yang diberi, selalu menyeru manusia untuk kembali kepada rancangan asal-Nya, iaitu perkahwinan monogami.

Semoga saudara-saudari bermanfaat daripada penerangan ini. Orang Kristian TIDAK PERCAYA dengan amalan poligami kerana poligami bukan rancangan Allah untuk manusia. Hanya di dalam perkahwinan monogami sepasang suami isteri sahaja boleh mempamerkan kemuliaan Allah kepada dunia yang berdosa, di mana mereka saling mengasihi sepertimana Yesus menyayangi gereja-Nya sehingga Dia sanggup mengorbankan nyawa-Nya.