Kristian di seluruh dunia merayakan Krismas untuk memperingati kelahiran Yesus Kristus di Bethlehem. Pelbagai tradisi Krismas biasanya dikaitkan dengan perayaan Krismas, dan budaya yang berlainan meraikan dengan cara tersendiri. Faktor yang menyatukan semua ini adalah kelahiran Yesus yang telah menjadi fakta sejarah. Malaikat yang menampakkan diri kepada penggembala pada malam kelahiran Yesus berkata, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10–11).

Orang Kristian menyambut Hari Krismas kerana sepertimana yang dinyatakan oleh malaikat tersebut, kelahiran Yesus Kristus adalah “berita baik.” Berita baik memang patut diraikan. Perlu ditekankan bahawa malaikat tersebut berkata berita kelahiran Yesus akan memberi sukacita besar kepada seluruh umat—yakni perayaan sejagat. Semua orang akan bergembira kerana peristiwa ini. 

Kita meraikan Krismas kerana sepertimana yang malaikat menyatakan, “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan.” Tiga gelaran yang dipakai malaikat tersebut untuk Yesus sangat penting. Yesus adalah Penyelamat yang menyelamatkan kita dari dosa dan kematian (Matius 1:21). Dia adalah Mesias (ataupun Kristus) yang menunaikan Taurat dan ajaran nabi-nabi, menunjukkan kesetiaan Allah (Matius 5:17). Yesus juga adalah Tuhan yang menjelma sebagai manusia; Allah menyertai manusia (Matius 1:23). 

Dengan merayakan Krismas, kita meraikan Penyelamat kerana setiap orang telah berdosa. Kita merayakan Kristus di mana semua perjanjian Allah adalah “Ya” dan “Amin” (2 Korintus 1:20). Kita merayakan Tuhan yang sanggup merendahkan Diri dan mengambil “bentuk seorang hamba” demi kita (Filipi 2:6–8).

Orang Kristian meraikan Krismas dengan pemberian hadiah oleh kerana Allah sendiri telah memberi kepada kita “kurnia-Nya yang tidak terperikan” (2 Korintus 9:15). Kita meraikan Krismas dengan lampu kerana Cahaya Dunia telah datang (Yohanes 1:4; Yesaya 9:2). Kita meraikan Krismas dengan nyanyian lagu kerana ia melambangkan perasaan gembira seperti yang ditunjukkan oleh Miriam, Zakaria, Simeon dan semua malaikat, di mana mereka semua memberi pujian melangit terhadap Tuhan dalam bentuk puisi (Lukas 1-2). Kita meraikan Krismas dengan menghiaskan pohon-pohon hijau dengan bintang-bintang serta malaikat-malaikat kerana kehidupan kekal yang diberi oleh Yesus (Yohanes 4:14). Bintang-bintang dan para malaikat semuanya ada kaitan dengan kelahiran Yesus.

Dengan meraikan Krismas, kita merayakan kasih sayang Allah. Di dalam Taman Eden, Adam dan Hawa berdosa, mengakibatkan manusia sejagat tersungkur ke dalam lumrah dosa dan kematian. Apa yang dilakukan oleh Allah? Dia tidak memberi arahan supaya kita mencari jalan keluar sendiri, Dia tidak memberi kata-kata dorongan dari syurga. Tidak! Dia menjelma sebagai manusia, turun ke bumi di mana kita berada dan menyambut kita. Ini adalah makna Krismas yang sebenar, di mana Allah datang menyelamatkan kita daripada maut. 

Apabila seorang berada dalam keadaan yang tenat, kita tahu apa tindakan yang seterusnya. Apabila Allah melihat dunia yang berdosa ini, Dia terharu dengan keadaan setiap insan yang sedang menuju ke alam maut bersama-sama dosa mereka. Kita meraikan Krismas kerana Penyelamat manusia sejagat datang untuk menyelamatkan kita daripada dosa. Allah tidak tinggal di syurga sahaja; Dia turun kepada kita untuk melaksanakan misi penyelamatan ini.