Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.”

Di dalam dunia ini, kita menikmati cahaya yang berasal dari dua sumber; pertama adalah cahaya yang bersumber dari manusia iaitu apabila manusia menciptakan benda yang menghasilkan cahaya seperti mentol lampu yang dikuasakan oleh bateri atau tenaga solar, dan kedua adalah cahaya yang bersumber semulajadi iaitu matahari dan bulan. Matahari bercahaya tanpa perlu dikawal oleh kebijaksanaan manusia, seperti itu juga bulan yang bercahaya tanpa dapat dikawal oleh manusia. Meskipun keduanya adalah berbeza dari sumber penciptaannya, tetapi satu persamaan yang harus diakui adalah apabila keduanya bermula dari TUHAN. Kitab Kejadian 1 menjelaskan bahawa Allah menciptakan segala isi langit dan bumi bahkan sesungguhnya Allah juga yang telah menciptakan langit dan bumi ini. Oleh itu, jika mentol lampu diciptakan oleh manusia, maka manusia sebagai ciptaan Allah tidak patut sombong dan riak untuk menuntut bahawa semua ciptaan mereka adalah dari mereka sendiri sedangkan mereka diciptakan oleh Allah.

Ketika Yohanes menuliskan ayat ini (Yohanes 8:12), Yesus dicatatkan sedang disoal selidik oleh Farisi mengenai Peribadi-Nya sebagai Mesias yang diutus oleh Bapa. Yesus sebelum ayat 12 menghadapi kes seorang wanita yang didapati berzina dan ditangkap, tetapi Yesus sebaliknya mengampuni perempuan tersebut. Penyelesaian kes ini membuatkan orang Farisi yang menyaksikannya sangat tidak berpuas hati terhadap Yesus dan cara-Nya memberikan penyelesaian. Sehingga akhirnya Yesus menyatakan bahawa Dia adalah cahaya bagi dunia. Cahaya yang dapat kita fahami sebagai satu kuasa yang menerangi dunia dan dapat memberikan tenaga kepada seluruh isi dunia bahkan menuntun jalan-jalan yang ada di dunia ini. Tanpa cahaya, pasti banyak kecelakaan di jalan raya, udara dan laut. Tanpa cahaya, manusia tidak akan memiliki peluang untuk bekerja dan menikmati keindahan alam sekitar. Tanpa cahaya, alam semulajadi juga tidak akan dapat berkembang dengan subur. Semuanya itu adalah berpunca dari cahaya. Tetapi, YESUS sebagai Cahaya jauh berkuasa melebihi matahari dan bulan. Yesus sebagai cahaya memberikan terang kehidupan yang baharu kepada manusia yang hidup dalam kegelapan. Jika terang sinonim dengan kehidupan yang baharu dalam Yesus, maka kegelapan dapat kita sinonimkan dengan dosa dan kehidupan ke jalan maut neraka untuk manusia. Yesus sebagai Cahaya memimpin manusia memiliki terang hidup yang baharu sehingga manusia tidak lagi masuk ke jurang kegelapan maut.

Kuasa Yesus jauh melebihi semua ciptaan yang ada di dunia dan alam semesta. Yesus adalah Tuhan. Seperti yang Yesus akui mengenai diri-Nya dalam Yohanes 8:24 bahawa, “Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU” iaitu boleh kita terima sebagai pengakuan-Nya bahawa Dia adalah Allah seperti yang diungkapkan oleh Allah dalam Keluaran 3:14. Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka. Dia yang menyebut diri-Nya AKu sudah mengutus saya kepada kamu.” Yesus bukan sahaja Penyelamat bagi seluruh manusia dengan memberikan diri-Nya mati disalib semata-mata untuk memberikan terang kepada manusia, tetapi Yesus sendiri adalah Allah. Siapakah kita sebagai manusia yang mahu bertanding dengan Allah? Kita tidak layak walau sekelumit kuman pun untuk sombong dan bongkak dengan diri kita terutama bila kita memiliki pencapaian yang membanggakan. Semuanya itu kerana Allah yang memberikan kepada kita. Allah memberikan terang-Nya kepada kita sehingga kita memiliki hikmat dan pengertian dalam segala sesuatu. Maka, wajarlah untuk kita melangkah terus dalam tahun 2020 ini dalam prinsip hidup penyembahan hidup sepenuhnya untuk memuliakan Allah. Kita tidak akan rugi jika kita hidup memuliakan Allah kerana Allah dalam segala kekayaan-Nya melalui Yesus Kristus akan memenuhi keperluan kita (Filipi 4:19). Hanya melalui Yesus Kristus sahaja Allah akan memberkati kita. Maka, sangat tepat renungan kita pada hari ini untuk mempelajari bahawa Yesus adalah cahaya kepada manusia; cahaya yang memberikan berkat yang Allah alamatkan kepada kita. Bukan kerana hebat dan bijaknya kita tetapi kerana cahaya yang Yesus berikan kepada kita memicu kepada berkat Allah masuk dalam hidup kita. Haleluyah!

Yesus Kristus, Cahaya pemberi hidup.
Hidup ini tiada ertinya jika tidak memuliakan-Mu.
Ajarilah aku melangkah dengan penuh penyerahan kepada Mu di tahun 2020.
Semoga penyembahan ku berkenan bagi kemuliaan-Mu.
Semoga penyembahan ku memuliakan nama-Mu.
Semoga penyembahan ku memancarkan cahaya-Mu dalam hidup ku.
Semoga cahaya-Mu dalam ku bersinar dan menjadi suluh bagi manusia di sekitar ku.
Amin.