Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu.

Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib. Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.
– 2 Timotius 1:6-8

Ini merupakan surat yang dituliskan oleh bapa rohani Timotiu, iaitu rasul Paulus. Paulus berusaha untuk membimbing Timotius sebaik mungkin selama dia memiliki kesempatan untuk membimbingnya. Malah, Paulus juga memberikan amaran kepada Timotius untuk tekun mempraktikkan kurnia-kurnia rohani yang dia miliki sebaik sahaja Roh Kudus mengurniakannya melalui peneguhan penumpangan tangan yang dilakukan oleh Paulus kepadanya. Allah telah memberikan diri-Nya sendiri untuk menyelamatkan manusia dan seluruh jemaah-Nya tidak harus malu untuk bersaksi bagi Allah. Allah memilih untuk menyelamatkan manusia dari api neraka melalui karya kudus-Nya sendiri iaitu Allah memilih untuk turun sendiri ke dunia dengan mengambil rupa wujud sebagai manusia; bayi yang dikandung di dalam seorang anak dara dan memberikan nama kepada dirinya sendiri iaitu Yesus (Lukas 1:31). Oleh kerana Yesus telah melunaskan janji-Nya untuk menyelamatkan manusia, maka Paulus yang dimenangkan jiwanya oleh Yesus dengan berani memberikan peringatan berbentuk amaran kepada Timotius untuk tidak tidak dikuasai oleh roh ketakutan, tetapi seharusnya bersaksi dengan berani dalam kuasa, kasih dan tatatertib ilahi; iaitu melayani Tuhan Yesus dan bersaksi dengan penuh penyerahan diri kepada Tuhan Yesus!

Allah telah memberikan kurnia kepada seluruh umat percaya kepada-Nya, bukan atas kehendak manusia itu sendiri tetapi kerana Allah melihat kemampuan dan kelemahan setiap manusia itu sendiri. Kurnia-kurnia ini diberikan dan digerakkan oleh kuasa Allah sendiri. Kata ‘menggerakkan” dalam bahasa aslinya boleh difahami sebagai dunamis yang difahami sebagai kuasa. Dalam pemahaman Kristian, kuasa umat Tuhan sentiasa digerakkan oleh Roh Kudus yang bertanggungjawab memandu hidup setiap orang percaya. Maka itu, tidak ada satu orang Kristian yang layak memberikan alasan bahawa dia tidak memiliki kuasa dalam dirinya untuk memberitakan nama Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat seluruh dunia! Orang Kristian yang memberikan alasan seperti ini harus sedar bahawa Roh Kudus yang ada dalam dirinya berbanding ketakutan yang mempengaruhi akal, emosi dan tindakan tangannya. Jika roh kemalasan yang mempengaruhi hidupnya, maka mereka harus memohon Roh Kudus untuk membimbing mereka menjadi orang yang taat kepada amanat agung Yesus seperti yang tercatat dalam Matius 28:18-20. Jemaah Tuhan harus sedar bahawa prinsip asas menjadi orang Kristian dan seterusnya menjadi saksi Yesus Kristus adalah kewujudan kuasa Roh Kudus yang hebat dan tidak dapat dikalahkan oleh roh-roh yang lain!

Allah juga telah memberikan kuasa kepada umat-Nya untuk menggerakkan kurnia kasih yang telah dimasukkan dalam diri kita melalui kuasa Roh Kudus. Kasih yang dimaksudkan oleh Paulus untuk Timotius praktikkan adalah agape iaitu kasih yang sanggup berkorban demi Kristus dan kasih yang tidak menghakimi, kasih yang sanggup mengampuni orang yang memusuhi dan kasih yang sedia memohon pengampunan terhadap sesama. Kasih agape harus menjadi kunci untuk mendekati manusia yang belum mengenal Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Paulus dalam suratnya yang lain iaitu kepada jemaah di Kolose (3:14) mengajarkan mengenai kasih sebagai prinsip kesatuan, “Paling utama amalkanlah kasih, ikatan dan penyatu yang sempurna.” Kasih bukan sekadar kata-kata yang indah, tetapi kasih adalah amalkan utama seorang Kristian. Jika ada yang terlalu memberikan alasan “takut” atau “sibuk” daripada melakukan pemberitaan firman Tuhan, gereja tidak akan memaksa anda untuk terlibat secara langsung. Tetapi, dalam setiap amalan hidup kita sebagai orang Kristian, kita harus melakukannya dengan prinsip kasih. Oleh kerana kita mengamalkan prinsip kasih agape dalam kehidupan kita, maka kita tidak akan berusaha mencemarkan diri kita dengan dosa; sengaja jatuh dalam pencubaan iblis, sengaja mencari tindakan jahat, sengaja menentang kebenarna firman Tuhan. Jika kita terus menerus mengamalkan prinsip kasih agape dalam hidup kita maka kita sebenarnya sedang bersaksi bagi Kristus. Adakah anda dan saya masih malu untuk bersaksi bagi Kristus jika kita memiliki kasih agape? Mustahil kita akan rasa malu untuk bersaksi bagi Kristus lagi.

Selain itu, Paulus juga mengingatkan Timotius supaya memiliki ketertiban dalam fikiran, hati, tindakan dan gaya kehidupannya. Demikian juga kita sebagai orang Kristian iaitu perlu memiliki ketertiban dalam kehidupan kita sepenuhnya. Paulus menulis hal ketertiban dalam mempraktikkan kurnia-kurnia rohani kepada jemaah di Korintus (1 Korintus 14:40) dengan membuat kesimpulan bahawa, “Tetapi hendaklah segalanya dilakukan dengan sopan dan teratur.” Ketertiban seorang Kristus ditandai dengan tindakan dan pemikiran yang sihat secara rohani dan psikologi. Jika seorang mengaku Kristian tetapi tidak dapat mengendalikan gaya hidup dan kerohaniannya dengan tertib sesuai kebenaran firman Tuhan, maka orang Kristian seperti ini harus bertaubat dan menyerahkan semula sauh hidupnya agar dikendalikan oleh Roh Kudus!

Melalui praktik-praktik rohani seperti yang diajarkan di atas, maka seorang Kristian tidak harus malu untuk bersaksi bagi Kristus. Gereja sebagai organisasi yang mengumpulkan orang-orang Kristian juga tidak harus bersikap pasif dalam perancangan gereja sehingga mengabaikan pelayanan misi sebagai pelayanan utama gereja. Jika gereja dan jemaah Kristian lebih tertumpu kepada aktiviti dalam gereja sahaja, lalu mengabaikan pelayanan misi di luar gereja maka gereja serta jemaah gereja itu harus bertaubat dan menyelenggara semula gereja mereka untuk mengutamakan Matius 28:18-20. Semoga sempena perayaan Natal di minggu-minggu akan datang membawa terang bahawa kepada gereja dan jemaah Kristus untuk mengingat tujuan kelahiran-Nya, membawa kemenangan jiwa kepada semua manusia. Kita telah dimenangkan oleh Kristus melalui kelahiran, kematian dan kebangkitan-Nya. Jangan malu bersaksi bagi Kristus! Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®