“Kasihanilah aku, Ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal;
demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku.
Bersihkan aku dari kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku.
Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku.”
– Mazmur 51:1-3

Lagu yang menyatakan penyesalan oleh Daud kerana dosa yang telah dia lakukan dan dia menyedari bahawa Allah yang telah melantiknya menjadi raja bagi orang Israel mengetahui dosa yang telah dilakukannya. Jika kita menelusuri kata sifat yang digunakan oleh pemazmur ini dalam ayat 1, ‘kasihanilah aku’ merujuk kepada penyesalan tidak terhingga oleh seseorang di atas kesalahannya sehingga bukan sekadar permohonan ‘minta maaf’ yang diungkapkan tetapi permohonan kasih yang dipohon olehnya. Daud menyedari dengan sepenuhnya bahawa dia bukan sahaja telah berzina dengan isteri orang lain, bukan sahaja telah membunuh dengan sengaja suami kepada wanita yang berzina dengannya, tetapi lebih utama lagi Daud sedar bahawa dia telah mencemarkan dirinya dengan kuasa kejahatan iblis dan melanggar perintah Allah, untuk hidup suci! Daud mulai sedar bahawa ketika Allah mengutus Nabi Natan untuk menegur dan memberitahu hukuman yang menimpanya, dia hanyalah seorang manusia kecil yang diadili oleh Raja Agung. Daud terlepas daripada hukuman kerajaannya kerana dia adalah raja bagi bangsanya sendiri, tetapi Allah yang telah melantiknya adalah Raja Agung dan berkuasa menghukum Daud kerana dosa yang dilakukannya.

Kejatuhan Daud menjadikannya seorang yang dipilih oleh Allah kepada seorang pendosa yang dihukum Allah; kehidupan manusia digambarkan melalui Daud yang berfikir bahawa hidup mereka adalah hak mereka untuk menentukannya sendiri. Setiap manusia yang berfikir bahawa dia boleh mengatur hidupnya sendiri merupakan manusia yang sedang berusaha keluar dari pemeliharaan kasih Allah. Nescaya manusia seperti itu akan jatuh lebih dalam lagi di dalam dosa. Kejatuhan ke dalam dosa ini dapat difahami dengan mudah; apabila kita tidak lagi bersandar penuh kepada Allah dalam hidup kita, maka kita sedang menawarkan diri kita untuk digoda dan dikuasai oleh iblis. Kehidupan seperti ini hanya akan membawa kita lebih dalam jatuh dalam dosa! Lihat sahaja kisah Daud. Dia memulai hidup dengan penuh hormat kepada Allah, kerana dia sedar bahawa apa yang dia miliki adalah pemberian daripada Allah, bukan kerana usahanya sendiri. Raja bagi umat Israel bukan dipilih melalui pungutan undi tetapi melalui pemilihan Allah sahaja. Tetapi dari masa ke masa, Daud mulai memberontak dan akhirnya iblis berjaya menyusup masuk ke dalam hatinya ketika melihat Betsyeba lalu mereka berzina dan ketika dosa pertama ini terjadi, Daud tidak berhenti (tidak bertaubat) malahan terjadi dosa kedua iaitu membunuh suami Betsyeba kerana mahu memilikinya sebagai pemuas nafsu (2 Samuel 11:1-12:25). Satu dosa yang tidak diakui akhirnya membawa kepada dosa yang lebih banyak dan itulah bukti bahawa manusia yang mulai bersandar pada kekuatannya sendiri akan mendapat akibat buruk daripada Allah.

Namun, siapakah manusia seperti anda dan saya yang berhak menghukum seorang pendosa? Setiap negara mempunyai undang-undang yang mengawal penduduknya daripada melakukan kesalahan. Ada yang tersangka didapati bersalah lalu dihukum, bahkan tidak sedikit yang terlepas hukuman meskipun telah bersalah. Sama ada dihukum atau terlepas hukuman secara sivil, setiap yang berdosa masih perlu menghadap Allah untuk mendapatkan penghakiman yang seadilnya! Tidak ada yang kebal daripada penghakiman Allah, bahkan Allah tidak perlu memanggil saksi untuk membuktikan kita bersalah atau benar. Allah Maha Tahu dan setiap saat hidup kita diketahui oleh Allah sepenuhnya. Tetapi Allah yang penuh kasih telah berjanji bahawa, (1 Yohanes 1:9) “jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan.” Untuk itulah Allah mengutus Anak-Nya ke dalam dunia supaya setiap manusia datang kepada-Nya dan menerima-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat bagi hidup mereka. Tidak dinafikan bahawa kesalahan yang dilakukan di dunia ini pasti akan berakibat hukuman secara sivil bahkan hukuman gantung sampai mati; tetapi ingatlah bahawa Allah menunggu setiap yang berdosa untuk datang kepada-Nya termasuk yang dihukum secara sivil dan berseru memohon pengampunan kepada-Nya, “kasihanilah aku, ya Allah” kerana belas kasihan Allah sahaja yang akan membawa kita kepada kehidupan yang benar dan kekal iaitu syurga!

Saudara-saudari terkasih, janganlah kita menganggap diri kita setara dengan Allah hanya kerana kita lebih berjaya dalam banyak perkara di dunia ini berbanding manusia lain. Allah membenci orang yang sombong dan tidak memiliki kasih terhadap sesama! Jangan kita menganggap bahawa hanya kita yang berhak dipelihara oleh Allah kerana kepercayaan agama sendiri mengajarkannya, kerana motif daripada pemeliharaan Allah kepada umat-Nya adalah agar anda dan saya menunjukkan cahaya kasih-Nya kepada orang lain, seperti yang diperintahkan-Nya dalam Matius 28:19-20. Jangan hanya pentingkan diri memohon belas kasihan daripada Allah untuk diri sendiri tetapi menuntup mata melihat orang lain jatuh dalam dosa dan tidak mengenal Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat. Perkenalkanlah Yesus Kristus kepada mereka kerana itulah tujuan kita mendapat kasih daripada-Nya. Semoga kita terus menjadi pembawa kasih Allah kepada manusia yang memerlukan-Nya; saya perlukan kasih Allah, anda perlukan kasih Allah, mereka perlukan kasih Allah, seluruh manusia di dunia ini perlukan kasih Allah; bukan sekali tetapi untuk selamanya dalam hidup kita di dunia ini. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®