Yesus bertanya, “Bukankah sepuluh orang yang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi?”
– Lukas 17:17

Kisah keseluruhan ayat 17 dapat dibaca dalam ayat 11-19. Ia merupakan sebuah kisah penyembuhan kepada 10 orang berpenyakit kusta. Mereka telah mendengar mengenai Yesus yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dan mereka membuat keputusan untuk bertemu dengan Yesus meskipun mereka dalam keadaan begitu menjijikkan menurut pandangan mata manusia. Mereka berdiri jauh daripada Yesus, lalu berseru untuk mendapatkan kesembuhan (ayat 12-13). Peraturan orang Ibrani untuk orang berpenyakit kusta adalah melarang mereka mendekati sesiapapun kerana penyakit kusta amat mudah berjangkit dengan orang lain. Itulah sebabnya mereka berdiri jauh daripada Yesus. Lalu, Yesus melihat mereka dan meminta mereka untuk segera pergi berjumpa dengan para imam (ayat 14). Mukjizat kemudian terjadi kerana ketika mereka mendengar perintah Yesus untuk pergi berjumpa dengan imam, mereka tanpa bersoal jawab mematuhi perintah Yesus lalu mereka sembuh semasa dalam perjalanan bertemu para imam. Sangat penting untuk memahami tujuan Yesus memerintahkan mereka berjumpa dengan imam iaitu hanya para imam sahaja yang layak mengesahkan mereka telah sembuh dan layak kembali kepada keluarga serta bersama masyarakat umum. Nampun perkara menyedihkan berlaku apabila hanya seorang sahaja yang kembali mengucapkan terima kasih serta memuji Allah, sedangkan sembilan orang lagi tidak kembali kepada Yesus. Yesus sedar akan kejadian ini lalu bertanya, “Di manakah sembilan orang lagi?” Meskipun sembilan orang itu tidak diketahui tujuan mereka menghilangkan diri tetapi kepada seorang yang kembali kepada Yesus, dia diberikan mukjizat kedua iaitu iman yang menyelamatkannya!

Banyak pengajaran yang dapat dikutip daripada peristiwa ini. Pertama, kita semua pernah menjadi orang yang berpenyakit kusta; ‘kusta rohani’. Kita adalah manusia yang terpisah daripada Allah kerana dosa kita. Kita bahkan tidak memiliki hubungan damai dengan Allah kerana dosa telah menjadi darah daging kehidupan kita. Tetapi, ketika kita menyedari bahawa hanya Yesus yang dapat menyembuhkan kita, maka kita berseru kepada-Nya memohon belas kasihan-Nya agar kita disucikan daripada kecemaran dosa. Yesus bukan sahaja melihat kita dengan kecemaran yang kita ada, tetapi Dia sendiri menyucikan kita dengan darah-Nya yang tercurah di kayu salib. Darah-Nya telah menebus kita sehingga akhirnya hubungan terputus kita dengan Allah telah terjalin semula!

Perkara kedua yang kita boleh pelajari adalah respon kita terhadap mukjizat kesembuhan kita daripada ‘kusta rohani’ yang kita miliki. Adakah kita menjadi seperti seorang yang sembuh, kembali kepada Yesus lalu memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya? Atau kita seperti sembilan orang yang masing-masing menghilangkan diri daripada Yesus? Sangat baik kita mendapatkan kesembuhan rohani kita dan mengakui bahawa kita dipulihkan oleh Yesus di hadapan orang lain, tetapi jika kita tidak menjadikan hidup kita benar-benar milik Yesus, jika kita menghilangkan diri selepas mendapat pembelaan daripada Yesus, apakah akhir hidup kita nanti? Ada kemungkinan kita akan menjadi seperti orang yang berseru-seru kepada Yesus tetapi akhirnya diusir oleh Yesus kerana mereka sebenarnya orang yang mengaku Kristian tetapi kehidupan mereka penuh dengan kejahatan (Matius 7:21-23). Akhirnya hidup mereka berakhir di tempat mengerikan iaitu api neraka.

Atau, kita boleh memilih untuk menjadi seperti seorang lagi yang sembuh kerana dia kembali kepada Yesus lalu memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya! Jika kita membuat keputusan untuk menjadi seperti dia, maka kita tergolong dalam kumpulan hamba yang setia dan akan mendapat tempat di rumah Bapa. Seorang yang sembuh kusta telah kembali kepada Yesus lalu memuliakan Allah. Ini adalah sikap seorang Kristian yang benar dan harus diteladani. Kita menerima kesembuhan dari ‘kusta rohani’ lalu kita harus kembali kepada Yesus untuk memberikan diri agar dikuasai oleh-Nya terus menerus dalam kehidupan kita. Bukan sahaja hidup kita akan menikmati iman yang menyelamatkan kita kerana kita setia kepada-Nya, tetapi kita juga akan sentiasa dilindungi oleh-Nya ketika kita berhadapan dengan ‘jangkitan semula kusta rohani’ yang sentiasa menular di dunia luar. Ada banyak agen-agen ‘kusta rohani’ yang menularkan kuman itu kepada kita selama kita hidup di dunia ini. Tetapi, jika kita memberikan diri untuk dilindungi oleh Tuhan maka kita akan dapat menghindari jangkitan-jangkitan tersebut; kita tidak akan mudah terpedaya dengan godaan membuat dosa dan mencemarkan hidup kita dengan cara iblis.

Oleh itu, kita harus membuat keputusan sama ada mahu menjadi seperti sembilan orang yang sembuh tetapi menghilangkan diri dari Yesus atau seorang yang sembuh lalu mengabdikan dirinya kepada Yesus. Seperti Yosua memiliki pendirian berkata (Yosua 24:15),”Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada Tuhan!” maka kita juga seharusnya memiliki pendirian sama mengenai kehidupan kita. Jangan sampai Yesus bertanya, “dimanakah sembilan orang lagi?” atau “dimanakah anda ketika ini?” atau “mengapa engkau bersembunyi daripada-Ku?” Dari sudut pemahaman persoalan ini, ia seolah Yesus menunjukkan kecewa kerana kita hilang daripada pandangan-Nya tetapi sebenarnya hidup kita yang akan sangat menyedihkan kerana kitalah sebenarnya sedang melepaskan diri daripada kasih Allah yang menyelamatkan. Marilah kita menjadi orang yang diselamatkan oleh Tuhan dan tetap mahu berada di dalam penjagaan Tuhan sahaja. Jangan melarikan diri daripada kasih-Nya. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®