“Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia – untuk raja-raja dan semua yang ,memegang kuasa, supaya kita hidup aman dan tenteram, salih dan penuh hormat.”
– 1 Timotius 2:1-2

Dalam hukum penulisan sastera Yunani, apabila ungakapan dimulai dengan kata peringatan ‘pertama-tama’ maka ia memberi erti bahawa pernyataan seterusnya adalah nombor satu atau sangat penting. Dalam ayat yang dinyatakan oleh Timotius (1 Tim 2:1-2), konteks ungkapan ‘pertama-tama’ ini berhubungkait dengan amaran agar berhati-hati dengan guru-guru palsu. Dalam usaha memerangi pengaruh guru-guru palsu, Timotius mencadangkan agar jemaah memiliki sikap-sikap berdoa iaitu memohon dalam doa, bersyafaat dalam doa dan menaikkan kesyukuran dalam doa. Timotius menggalakkan cara doa seperti ini khususnya untuk memelihara kehidupan masyarakat agar aman tenteram, penuh dengan ketaatan terhadap agama dan saling menghormati antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, firman Tuhan mengajar kita sebagai orang Kristian untuk mendoakan semua orang tanpa mengira agama, budaya, bangsa dan latarbelakang mereka.

Sempena Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun, kita sebagai masyarakat Malaysia harus mengingati peranan kita sebagai Kristian di tengah-tengah kepelbagaian manusia di negara ini. Kita mungkin tidak akan menjadi pemimpin politik atau pempengaruh di media sosial seperti segelintir kelompok masyarakat di negara ini, tetapi sebagai seorang Kristian yang memiliki Tuhan yang benar dan mulia, maka kita memiliki kuasa ilahi yang diberikan kepada kita iaitu kuasa doa! Kuasa doa yang kita sampaikan kepada Tuhan tidak dapat ditandingi oleh pengaruh kuasa roh-roh pemecahbelah di negara ini, maka doakanlah kemakmuran di antara sesama bangsa di negara kita. Kuasa doa yang kita sampaikan kepada Tuhan tidak dapat ditandingi oleh manifesto semua ahli politik, maka doakanlah mereka agar diadili oleh Tuhan sehingga mereka tahu mereka dipilih untuk memajukan negara dan rakyat Malaysia dengan adil dan saksama.

Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke-59. Marilah kita bersama-sama berdoa bagi kerukunan rakyat yang ada dalam Persekutuan Malaysia. Semoga kita menjadi seorang jemaah yang mendoakan pemimpin negara atas dasar rindukan keamanan dan sikap saling menghormati antara kaum terpancar indah di negara kita. Pemimpin-pemimpin di seluruh peringat dalam negara Malaysia merupakan pemimpin yang telah dibenarkan Tuhan untuk memegang pemerintahan dengan kapasiti mereka masing-masing. Tidak bermakna bahawa Tuhan tidak tahu karakter dan tujuan peribadi mereka, tetapi kerana Tuhan mahatahu dan Dia akan menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia sesungguhnya yang perlu diharapkan oleh pemimpin-pemimpin ini adalah kekuasaan Tuhan dan bukannya kekuasaan mereka.

Dibenarkan oleh Tuhan belum tentu kerana mereka ini hidup benar di mata Tuhan tetapi Tuhan membenarkan mereka kerana mahu mereka belajar untuk menjaga keamanan rakyat di seluruh Persekutuan Malaysia. Kerana itu, sangat penting untuk kita membawa mereka semua dalam doa supaya mereka lebih memiliki hikmat yang dari Tuhan dan bukan hikmat duniawi, apatah lagi hikmat dari roh-roh kegelapan. Tanggungjawab kita adalah membawa mereka dalam doa syafaat kita kepada Tuhan dan bukan mengutuki mereka, kerana Tuhan menentang manusia (termasuk orang Kristian) yang saling membenci sesama manusia. Tuhan mengajarkan agar kita hidup saling mengasihi tanpa mengira jenis kulit dan latarbelakang. Untuk itu, marilah kita membawa terang Yesus di dalam Persekutuan Malaysia. SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA ke-59! Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®