Yesus itu hanya sekadar manusia, mengapa orang Kristian ber-Tuhankan Dia?

Bukankah Yesus berkata bahawa Dia Anak Manusia?

Di dalam Bilangan 23:19, Allah berkata bahawa, ‘Allah bukan manusia.’ Kalau Allah bukan manusia, mengapa Kristian menggelar Yesus sebagai Allah?

Allah begitu besar dan mulia, jadi Dia tidak akan wujud di dalam bentuk tubuh seorang manusia.

Mustahil bahawa seseorang boleh menjadi manusia dan Allah serentak.

Pernahkah saudara dalam Kristus ditanya soalan sebegitu di dalam perjalanan iman kamu? Bagaimanakah saudara menjawab pertanyaan tersebut? Sepertimana yang kita selalu tekankan, pembacaan semua teks, termasuk Alkitab, perlu dilakukan mengikut konteks: kepada siapakah petikan tersebut ditujukan sewaktu ia ditulis, bagaimanakah pembaca asal mentafsirkan petikan tersebut, dan bagaimanakan petikan tersebut ditafsirkan mengikut aliran masa sewaktu?

  1. Apa maksud gelaran “Anak Manusia”?

Gelaran “Anak Manusia” dipakai oleh Yesus sebanyak 88 kali dalam Perjanjian Baru. Jika Allah sendiri telah mengumumkan bahawa “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku” (Matius 3:17, Markus 1:11, Lukas 3:22), bagaimana pula Yesus boleh menjadi Anak Manusia jikalau Dia adalah Anak Allah?

Maksud pertama dari frasa “Anak Manusia” diambil daripada ramalan Daniel 7:13-14, ”Dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak sesuatu yang seperti manusia.Dia datang dilitupi awan, lalu menghampiri Dia yang hidup selama-lamanya, dan dihadapkan kepada-Nya. Dia diberikan kuasa, kehormatan dan kedaulatan, agar orang daripada semua bangsa, kaum dan bahasa mengabdikan diri kepada-Nya. Kuasa-Nya akan kekal dan pemerintahanNya tidak akan berakhir.” Di dalam pengertian orang Yahudi pada masa itu, gambaran “Anak Manusia” ini digelarkan Mesiah. Jadi, sepertimana Yesus memakai gelaran Allah sendiri (Akulah AKU), Dia juga memakai gelaran Anak Manusia kerana Allah telah memberi-Nya kekuasaan, kemuliaan dan kerajaan. Penggunaan gelaran ini oleh Yesus menerapkan ramalan “Anak Manusia” pada diri-Nya sendiri. Golongan Yahudi pada zaman itu tidak meragui penggunaan frasa tersebut kerana mereka faham akan maksudnya apabila Yesus mengutarakan diri-Nya sebagai Mesiah.

Maksud kedua frasa “Anak Manusia” adalah maksud yang seringkali difahami orang pada zaman ini, iaitu seorang insan. Memang Allah menyeru Nabi Yehezkiel sebagai “anak manusia” sebanyak 93 kali, iaitu insan. Untuk Yesus yang merupakan Allah yang sempurna (Yohanes 1:1), Dia juga merupakan insan (Yohanes 1:14). Di dalam 1 Yohanes 4:2, “Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah.” 

Jadi, Yesus merupakan Anak Allah sepertimana digelar oleh Allah sendiri, dan Dia juga adalah Allah. Selain daripada itu, Yesus juga merupakan Anak Manusia, iaitu seorang insan seperti kamu dan saya dengan satu pengecualian: Dia tidak pernah berdosa. Secara ringkas, frasa “Anak Manusia” menunjukkan Yesus seorang Mesiah serta seorang insan sejati. Kebanyakan kali di dalam Perjanjian Baru, Yesus merujuk kepada diri sendiri sebagai Anak Manusia berbanding dengan penggunaan perkataan “Aku”.

  1. Allah boleh memilih untuk wujudkan Diri dalam apa-apa bentuk yang dipilih

Untuk mereka yang tegas berpegang pada tohmahan “Allah begitu besar dan mulia, jadi Dia tidak akan wujud di dalam bentuk tubuh seorang manusia”, bukankah Allah memanggil Musa daripada belukar yang menyala (Keluaran 3:4). Adakah belukar sesuatu ciptaan yang jauh lebih berakal dan maju daripada seorang insan? Memang tidak! Jadi, sesiapa yang mengakui bahawa Allah adalah Maha Kuasa dan Maha Tahu, perlu juga akur pada fakta bahawa Dia boleh melakukan apa sahaja yang Dia mahu asalkan perbuatan-Nya tidak bercanggah daripada peribadi dan sifat-sifat Allah. Ini termasuk hidup di kalangan manusia melalui Yesus Kristus sebagai Allah dan manusia serentak. Sesiapa yang menafikan kebolehan Allah melakukan tersebut hanya kerana minda mereka tidak dapat akur kepada kebesaran dan keagungan Allah, berani membataskan had kuasa Allah sendiri. 

  1. Allah sendiri menyatakan Dia “…bukan manusia…”

Di dalam bahasa Inggeris, terdapat satu simpulan bahasa, “Give enough rope.” Sesiapa yang bersandar pada Bilangan 23:19 sepatutnya mentafsirkan ayat tersebut mengikut konteks. Dalam Bilangan 23:16-24, petikan tersebut menceritakan bagaimana Allah memakai Bileam untuk menyampaikan nubuat kepada Raja Balak, dan Allah menunjukkan perbezaan Dia dengan manusia biasa. Jadi, tidak hairan Allah menyatakan Diri sebagai “…bukan manusia, Dia tidak berdusta, Allah bukan insan, Dia tidak mengubah fikiran. Apa yang dijanjikan-Nya akan dipenuhi-Nya; apa yang difirmankan-Nya pasti dilakukan-Nya.

Jadi, inti ayat-ayat tersebut daripada Allah menunjukkan bahawa Allah akan berlaku adil dan memenuhi janji-janji atau Firman-Nya, dan tidak akan mengubah fikiran-Nya seperti manusia yang berdosa. Lihat betapa bahayanya kalau seseorang memetik ayat dari luar konteks dan cuba memberi penjelasan?

Seperti yang dinyatakan di dalam Bilangan 23:19, Allah juga berjanji bahawa Dia akan mengutuskan seorang “…anak lelaki…” di mana “…Dia akan menjadi pemimpin kita [umat Allah]. Dia akan disebut “Penasihat Bijaksana,” “Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,” “Raja Damai” (Yesaya 9:5). Nubuatan tersebut dipenuhi di dalam Yesus Kristus. Jadi bukan sahaja Allah sendiri menggelarkan Yesus sebagai Anak-Nya, tetapi Allah juga memberi gelaran Allah Perkasa kepada Yesus.

Sesiapa yang menafikan kenyataan tersebut disamakan sebagai anak Iblis oleh Yesus sendiri di dalam Yohanes 8:44, “Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kepada kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta.” Yesus mengecam golongan Yahudi yang tidak percaya kepada-Nya sebagai Anak Allah, sama seperti ramai orang yang berfikiran begitu pada hari ini. Golongan ini memanusiakan Tuhan Yesus, tetapi sanggup mentuhankan manusia. 

Kesimpulan

Sewaktu zaman Yesus, Dia merujuk kepada diri sendiri sebagai Anak Manusia supaya orang ramai faham akan implikasi gelaran tersebut sebagai Mesiah. Jikalau Yesus hanya memakai gelaran Mesiah (dan Dia mempunyai hak untuk menggunakan gelaran tersebut), kemungkinan besar Dia akan disalibkan jauh lebih awal. Gelaran Anak Manusia yang seringkali dipakai oleh Yesus memberi Dia peluang yang terbaik untuk bergaul dan berhubung dengan semua orang tanpa mengambil kira status atau darjat.