Satu waktu seorang sahabat meminta tolong untuk menghantarnya ke lapangan terbang. Semasa dalam perjalanan saya bertanya tentang pelayanannya. Dia menjawab, “Kebanyakkan pemimpin mengatakan pelayanan saya sudah tidak diperlukan sebab mereka sudah tahu.” Saya terkilan dengan jawapannya bahkan saya tidak bersetuju kerana bagi saya ia adalah salah satu pendekatan baik untuk mempelajari Alkitab secara konsisten dalam komuniti iman. Saya terbeban untuk menyampaikan apa yang saya tahu dan pengalaman saya selama dalam pelayanan ini – apologetik. Tahukah anda peristiwa kejatuhan manusia dalam dosa disebabkan oleh sebuah pertanyaan?

…”Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?” (Kejadian 3:1 BM).

Siapa sangka sebuah pertanyaan mampu menjatuhkan ciptaan Allah. Apa yang berlaku setelah Hawa dan Adam memakan buah itu? Mereka tahu tentang baik dan jahat. Lalu, Allah bertanya,

“Di manakah engkau?” (Kejadian 3:9 BM)

Sebuah pertanyaan yang nampak mudah tetapi adakalanya sukar dijawab.

Waktu kecil, orang tua kita tidak pernah mengajar kita mencuri. Kecenderungan terhadap dosa yang selalu mendorong manusia melakukan perkara yang jahat, kerana kita membiarkan dosa menguasai kita (Roma 7:14-20 BM). Semasa di sekolah rendah, saya pernah mencuri wang orang tua untuk membelanja kawan-kawan. Gara-gara mahu dipuji, perbuatan jahat tidak disedari. Bila saya ditanya orang tua tentang perbuatan mencuri, saya gelisah, tergagap-gagap dan menjawab dengan rasa takut. Jika saya meletakkan diri saya di posisi Adam, sudah tentu saya juga gelisah kerana melakukan apa yang sudah diberitahu untuk jangan lakukan bahkan dilarang. Sebab itu sebagai ciptaan Allah, ada batas-batas yang harus kita patuhi.

Alkitab tidak melarang untuk minum wain, mengapa Kristian melarang?
Jika Yesus tidak mati, dimanakah Yesus?

Pertanyaan-pertanyaan ini pernah diajukan kepada saya. Dalam apologetik, pertanyaan seperti inilah yang kita akan hadapi. Dengan pertanyaan sedemikianlah Kristian dapat bertumbuh mengenal Tuhan dengan lebih baik. Tapi sayangnya, ada banyak Kristian membuat pilihan untuk mengabaikan atau tidak melayan pertanyaan-pertanyaan orang bukan kristian, yang mana sebenarnya adalah kesempatan untuk menyebarkan Injil. Apa itu apologetik?

Definisi Apologetik
Kalimat “memberikan jawapan” (Alkitab terjemahan dalam Bahasa Malaysia) atau “make your defense” (Alkitab versi New Revised Standard Version) adalah terjemahan dari bahasa Yunani iaitu apologia (Rujuk: 1 Petrus 3:15). Pada asasnya membawa makna: mempertahankan, jawapan, menjelaskan perihal diri atau/dan membela diri. Oleh itu apologia boleh didefinisikan sebagai pertahanan secara lisan dalam bentuk ucapan atau pernyataan yang beralasan yang dapat dijadikan sebagai sebuah perbincangan (argumentation). Ramai yang tidak tahu bagaimana berapologetika dengan baik, mengapa? Ada banyak sebab. Bagaimana berapolgetik boleh berubah bergantung kepada si apologist. Adakalanya kita terdorong untuk mempertahankan iman Kristian kita kerana ditanya soalan-soalan yang mencabar keKristianan, malah adakalanya kerana dicabar, kita berusaha mengalahkan si penanya. Sehingga kita berusaha mencari kelemahan dalam doktrin agama, idealogi atau pendirian pihak yang bertanya. Ini tidak betul. Bertahun-tahun saya mengkaji Alkitab, berdoa puasa, bertanya para hamba Tuhan, membaca buku-buku dan berdialog dengan Kristian dan bukan Kristian untuk memahami apa, dan bagaimana berapologetik dengan baik. Satu perkara penting yang telah saya temui dan harus kita tahu sebagai Kristian: tanpa Firman Tuhan hidup di dalam kita, kita tidak akan mampu berapologetik.

Tujuan berapologetik bukanlah untuk mempertahankan Tuhan, sebab Tuhan tidak perlu dipertahankan kerana Tuhan itu Allah. Tujuan apologetik adalah untuk kristian memperkenalkan, mengkhabarkan dan menjadi saksi Firman Tuhan. Ini adalah tugas penting setiap Kristian. Apologetik adalah salahsatu pendekatan terbaik untuk mempelajari tentang kekristianan. Malah ianya dapat membantu kita memahami hal-hal dunia dari sudut pandang Alkitab. Salah seorang apologist Kristian, Ravi Zacharias telah menunjukkan bagaimana apologetik mampu membuka minda dan hati seseorang untuk menerima Injil tanpa dipaksa. Apakah rahsianya?

Firman Tuhan. Pernahkah anda berfikir apa yang memampukan Yesus menjawab dengan baik setiap pertanyaan yang diajukan oleh: murid-murid-Nya, ahli-ahli Taurat, para imam, Nikodemus, orang saduki, orang ramai dan Iblis? Sebab Yesus itu Tuhan. Betul tetapi belum cukup jelas. Ingatkah cerita dimana ketika Yesus berumur 12 tahun, selama 3 hari Yesus hilang dari sisi Yusuf dan Maria. Ketika ditemui, Yesus berada di bait Allah sedang mendengar dan mengajukan pertanyaan kepada para alim ulama (Lukas 2:46 BM). Apa yang lagi menarik di ayat 52,

Yesus bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Allah mahupun manusia.

Yesus mampu menjawab dengan baik kerana Dia tahu Firman Tuhan. Walaupun Yesus dengan keilahian-Nya dan kelahiran-Nya dari Roh Kudus, Dia tidak mengabaikan Firman Tuhan (Kitab Taurat). Dia membesar menjadi orang dewasa yang bijaksana oleh kerana Firman Tuhan dan itu menyenangkan hati Allah. Apa yang sangat menarik di ayat ini adalah, Yesus tidak hanya menyenangkan hati Allah tetapi juga manusia. Alkitab tidak mengajar kita untuk menyakitkan hati manusia. Tidak pernah. Sebab itu Alkitab penting dalam kehidupan kita. Menjadi seorang ahli apologist yang baik, Dia haruslah ada pengetahuan, kefahaman dan tahu praktik-praktik mengenai Alkitab di tahap penguasaan yang baik. 18 tahun setelah Yesus menghabiskan banyak waktu di bait Allah, menjawab dan mengajukan pertanyaan kepada orang yang lebih tahu dan membaca Alktab, kearifan-Nya tentang Alkitab pasti yang terbaik. Terlebih lagi, Dialah Tuhan yang kita akui. Paulus juga contoh yang baik untuk kita teladani kerana dia sangat arif tentang Firman Tuhan. Tidak hairanlah mengapa setiap surat yang ditulis oleh Paulus menegur, ada pengharapan, kehidupan dan saya percaya semuanya itu kerana Tuhan yang telah menjadi Firman di dalam hidupnya. Berapologetik mampu mendidik, memuridkan dan membentuk iman Kristian dengan lebih mantap lagi. Yang penting Firman Tuhan harus menjadi dasar utama dalam kita berapologetik. Jadi, pentingkah apologetik?

Perspektif Kognitif. Alkitab harus diteliti dengan perspektif yang benar. Kita harus akui, manusia ada bermacam-macam perspektif. Oleh sebab perspektif, banyak Kristian tidak dapat memahami Alkitab dengan benar. Pernahkah kamu bercakap dengan seseorang tentang satu perkara, dan dia sukar untuk memahami apa yang kamu cuba katakan? Itu disebabkan perspektif kognitifnya tidak sama dengan anda. Perspektif kognitif adalah suatu cara pandang yang menjelaskan perilaku sosial dengan cara memusatkan pada bagaimana kita menyusun mental (fikiran, perasaan) dan memproses informasi yang datangnya dari komuniti, lingkungan dan kecenderungan kita. Ada seorang mahasiswa menceritakan peristiwa dimana dia berdialog dengan rakan sebiliknya yang bukan Kristian, dan dia mengalami kesukaran untuk memberikan jawapan. Saya bertanya kepadanya, “Berapa kali kamu membaca Alkitab dalam seminggu?” Katanya, “Jarang, kadang tidak pernah”. Itu sudah cukup untuk saya mengetahui mengapa dia sukar menjawab. Perspektif kognitifnya tidak dibentuk dalam persekitaran yang dapat memenuhi pertanyaan rakan sebiliknya. Oleh sebab itu amat penting untuk kita menentukan siapa “circle of friends” kita, kerana ianya akan mempengaruhi pemikiran dan justeru itu siapa diri kita. Bahkan kecederungan kita dalam dunia sebagai kristian juga harus dipertimbangkan. Yesus tahu dia memerlukan 3 tahun untuk membentuk perspektif kognitif murid-murid-Nya untuk dapat mengerti Firman Tuhan. Kerana kalau kita perhatikan diawal kehidupan murid-murid-Nya, ada kecederungan yang tidak baik, disuruh berjaga ketika Yesus berdoa, mereka tidur. Paulus menuliskan surat kepada Roma dengan jelas tentang perspektif kognitif dalam Roma 12:2,

Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah – iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya,
serta yang sempurna.

Jika kecenderungan kita adalah mengikuti kebiasaan dunia, maka pemikiran kita pasti serupa dengan dunia. Jika kita mengarahkan kehidupan kita dengan membiasakan diri untuk membaca
Alkitab, maka pasti kita mampu mengetahui kehendak Allah. Perspektif menentukan cara pandang kita terhadap banyak perkara. Jadi, pentingkah apologetik?

Metodologi. Tahu Firman Tuhan dan memiliki perspektif yang benar belum tentu menjadikan seseorang itu dapat menyampaikan Injil dengan baik. Ingat, di awal penulisan ini saya katakan, tujuan apologetik bukan mempertahankan Tuhan tetapi mengkhabarkan Firman Tuhan. Teknik asas dalam berapologetik adalah menjawab pertanyaan dengan pertanyaan. Namun ianya bukan sekadar membalas dengan pertanyaan tetapi menjelaskan pertanyaan lalu mengajukan kembali soalan kepada pihak penanya. Saya ingin jelaskan secara ringkas bahawa dalam menyampaikan Firman Tuhan, ada metodologi tertentu yang kita harus patuhi. Jika tidak, kita akan lari dari prinsip-prinsip asas pelayanan kekristianan. Saya terbaca sebuah post seorang hamba Tuhan di Facebook. Dia mengkongsikan bagaimana dia bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing dan dalam masa yang sama menyebarkan Injil. Dalam post-nya dia menceritakan bagaimana seorang lelaki menyatakan bahawa dia tidak memerlukan Allah kerana cukup hidup dengan sokongan dari rakan-rakan, isteri dan bantuan yang disediakan. Rhema turun pada hamba Tuhan ini dan meresponi pernyataan lelaki itu dengan Firman Tuhan yang sederhana. “Wah, saya tertarik dengan pernyataan anda. Dan itu membuatkan saya teringat ketika Allah melihat Adam keseorangan, Allah mencipta Hawa sebagai penolong kepada Adam. Sebenarnya Allah lebih dahulu melihat keperluan kita sebab itu dia menyediakan sokongan kita, Adam pada masa kini” Kamu tahu juga bah kan, kata ‘Adam’ bermaksud lelaki? Apa yang berlaku setelah itu, lelaki itu terdiam dan setibanya di destinasi, dia memberkati hamba Tuhan itu dengan bayaran khidmat lebih dari yang sepatutnya. Kamu rasa lelaki itu diberkati atau sengaja bagi lebih? Pasti lelaki itu mendapatkan kesedaran dan diberkati. Metodologi dalam menyampaikan Firman Tuhan bukan spotan tetapi dilatih dari awal dengan menghabiskan banyak waktu membaca Alkitab dan berdialog. Tambahan lagi, jika seorang hamba Tuhan mengizinkan Roh Kudus untuk bekerja dalam hidupnya, pasti luar biasa. Untuk bahagian ini saya akan jelaskan lebih lanjut lagi pada minggu depan agar kita dapat fahami dengan baik bagaimana berapologetik dengan teknik atau cara menurut kitab-kitab Injil.


Sahabat sekalian, tidak padan jika seorang pemimpin mengatakan bahawa sesuatu yang baik tidak diperlukan. Mungkin kita tidak sedar dialog agama itu adalah apologetik. Ketika kawan bukan seagama bertanya tentang agama kita di kedai kopi, dipejabat atau sewaktu beraktiviti bersama, ianya menuntut kemahiran berapologetik. Kalau kita mengelak daripada menjawab pertanyaan mereka yang tidak mengenal Yesus, maka adalah kegagalan kita sebagai Kristian untuk melaksanakan mandat dari Yesus (Matius 28:19). Pelayanan apologetik diperlukan dari satu generasi ke satu generasi jika kita ingin memastikan iman kita dapat dipertahankan dan menjadi saluran pengkhabaran Firman Tuhan. Jangan jadi pemimpin sombong dengan mengatakan “saya tahu sudah bah itu”, tetapi jadilah pemimpin yang senantiasa mahu diingatkan dan dikuatkan oleh Firman Tuhan.

Pentingkah apologetik? Ya, penting.

Tuhan memberkati.