Tentang hal doa, ramai antara kita yang berdoa untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan. Lebih jarang lagi bertemu dengan mereka yang berdoa untuk jiran-jiran, kaum-kaum lain, mahupun negara. Apa yang diperintahkan Alkitab mengenai berdoa untuk negara? Mari kita melihat beberapa ayat Alkitab tentang hal ini.

1 Petrus 2:17 menyatakan, “Hormatilah semua orang, kasihilah sesama saudara seiman, takutlah akan Allah, dan hormatilah Kaisar.

Apabila membaca ayat 1 Petrus 2:17 mengikut konteks, ia boleh dikatakan bahawa orang Kristian perlu menyayangi semua orang (kasih ditunjukkan melalui menghormati orang lain), tidak kira kawan atau lawan. Frasa yang terakhir, “…hormatilah Kaisar” mungkin menimbulkan soalan yang lain. Kaisar di sini melambangkan pihak pemerintah. Dalam konteks Malaysia, ini merujuk kepada sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan. Jadi Kaisar merangkumi Raja, ahli-ahli Parlimen serta badan-badan berkuasa dalam pelbagai hal pentadbiran yang lain.

1 Timotius 2:1-2 menyatakan, “Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang, untuk raja-raja dan semua penguasa. Berdoalah kepada Allah supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram. Kita harus menghormati Allah, dan berlaku sopan terhadap orang lain.

Sebagai orang Kristian, kita perlu bersyukur selalu. 1 Tesalonika 5:17-18 mengajar kita supaya “…berdoalah sentiasa…hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.

Sekali lagi, orang Kristian digesa supaya bersyukur kepada Allah untuk tanah air kita, Malaysia, serta untuk para pemerintah dan penguasa. Keamanan dan ketenteraman merupakan hal-hal yang dirindukan umat Allah. Siapa pula yang suka hidup di dalam keadaan huru-hara? Apabila negara aman dan tenteram, rakyat juga akan makmur dan maju. Ini mencerminkan kehendak Allah untuk manusia sejagat mengasihi sesama sendiri. Kesopanan juga ditekankan oleh Rasul Paulus dalam penulisannya. Apabila seseorang bersopan-santun dengan orang lain, biasanya dia akan dibalas dengan tingkah laku yang sama.

Yeremia 29:7 menyatakan, “Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.

Di sini, orang Kristian diseru supaya berdoa untuk kemakmuran tempat tersebut di mana juga mereka berada. Pemikiran orang Kristian perlu luas, kerana di mana juga Allah menempatkan kita, kita dipanggil menjadi terang dan garam di kawasan tersebut. Lebih-lebih lagi pada zaman ini di mana kos kehidupan melambung, kita perlu mendoakan Malaysia menjadi negara yang maju, makmur, tenteram dan aman damai supaya tidak sesiapa pun yang ditinggalkan dalam nama pembangunan dan pemodenan negara.

Roma 13:1 menyatakan, “Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah.

Siapa tidak suka akan pemerintah yang adil dan saksama? Semua orang Kristian perlu berdoa untuk pemerintah mereka supaya golongan yang ditetapkan oleh Allah tersebut akan takut akan Allah, memerintah dengan adil, menolong golongan yang miskin dan kekurangan, serta mengutamakan kebajikan rakyat supaya Malaysia boleh maju dan makmur di pentas dunia.

Perlu diingatkan bahawa “…taat kepada pemerintah…” di sini bermaksud pemerintah yang bagus dari segi pentadbiran dan pemerintahan. Jikalau pemerintah tersebut zalim dan sentiasa melanggar kehendak Allah, kita perlu doakan supaya pemerintah tersebut bertaubat dan melakukan yang betul. Di dalam keadaan tersebut, orang Kristian perlu bertekad untuk tidak berkompromi dengan ajaran Yesus Kristus supaya mengasihi semua orang. Hanya kasih sayang sahaja mampu mengatasi segala kejahatan dan kezaliman di dunia ini.

Penutup

Orang Kristian tidak pernah berdoa supaya mereka boleh memerintah Malaysia atau merampas kuasa dari segi politik. Perkara tersebut tidak pernah diajar di dalam Alkitab. Sesiapa yang memakai ayat-ayat Alkitab untuk membenarkan penaklukan negara atau kaum lain telah menyalah guna Alkitab.

Pemerintahan Allah (Kerajaan Allah yang diajar oleh Yesus di dalam Alkitab) bukannya sesuatu empayar mahupun kerajaan di bumi, kerana Yesus tidak berminat untuk menjajah mana-mana kawasan atau negara. Yesus Kristus hanya berminat untuk memerintah kehidupan seseorang dan bertakhta di dalam hati kamu dan saya. Jika Yesus berminat terhadap kuasa hal-hal duniawi negara, Dia tidak akan berkata kepada Pilatus, “Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!

Mari kita bersama-sama mendukung Malaysia tanah yang tercinta ini.