Ramai orang yang belum percaya mempunyai pelbagai soalan tentang agama Kristian. Mungkin kamu berada di dalam pengembaraan iman dan mencari kebenaran, ataupun perasaan ingin tahu membara-bara di dalam hatimu. Lewat ini, terdapat pihak yang mendakwa bahawa World Mission Society Church of God (WMSCOG) adalah Kristian.

Untuk mereka yang malas membaca, jawapannya adalah “WMSCOG bukan Kristian kerana pengakuan iman mereka bercanggah dengan pengajaran Yesus Kristus dan asas-asas doktrin mereka sudah menyeleweng.

Sesiapa yang mencari kebenaran dan ingin mengetahui dalil-dalil mengapa WMSCOG bukan Kristian, sila teruskan.

Pokoknya, siapakah seorang Kristian? Persoalan ini sudah dijawab dalam penulisan “Sejarah Istilah ‘Kristian’”.

Mari kita bandingkan WMSCOG dengan kepercayaan orang Kristian yang benar secara ringkas.

Kristian: Orang Kristian adalah pengikut Yesus Kristus yang percaya bahawa Allah adalah Tritungal, terdiri daripada Allah Bapa, Allah Anak dan Roh Kudus. Orang Kristian juga percaya bahawa Yesus Kristus mati di atas salib untuk menebus dosa manusia sejagat dan bangkit dari maut tiga hari kemudian, dan akan menghakimi dunia ini di akhirat.


WMSCOG: Di laman rasmi WMSCOG, mereka mendakwa bahawa Allah Bapa dan Allah Ibu telah bersama-sama dari awalnya, dan terus bekerja untuk menyelamatkan manusia sejagat. Mereka juga percaya bahawa Yesus adalah Anak Tunggal Allah.

Walaupun begitu, WMSCOG percaya bahawa Allah menjelma sebagai manusia kedua kali, dalam bentuk Kristus Ahnsahnghong. Tambahan pula, sesiapa yang ingin penyelamatan perlu berjumpa dengan Allah Ibu.

Jelas nyata bahawa konsep Tritunggal di dalam Alkitab terdiri daripada Allah Bapa, Allah Anak dan Roh Kudus, sepertimana yang dipaparkan dalam Pengakuan Iman Rasuli untuk berkurun-kurun. 

Selain daripada itu, Yesus Kristus telah menggelarkan Diri-Nya sebagai “…Jalan, Kebenaran dan Hidup…tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku” (Yohanes 14:6). Kalau seseorang perlu percaya kepada Allah Ibu untuk diselamatkan, ini bermaksud bahawa Yesus Kristus telah membohong dan menipu semua orang. Yesus tidak membiarkan ruang atau peluang untuk sesiapa pun datang selepas Dia, jadi konsep Allah Ibu yang diperjuangkan WMSCOG adalah hasil membaca Alkitab di luar konteks.

Yesus sebagai Allah sudah tahu bahawa hal seperti ini akan berlaku pada waktu yang akan datang. Dalam Matius 7:15-20, Yesus menasihati murid-murid-Nya, “Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara….Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.

Amaran tentang nabi-nabi palsu

Terdapat banyak lagi amaran terkandung dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru tentang nabi-nabi palsu yang membawa ajaran palsu untuk menyesatkan anak-anak Allah. Antaranya ialah :-

Yeremia 23:16: TUHAN Yang Maha Kusasa berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku.”

Yehezekiel 13:9:Aku (Allah) akan menghukum kamu, nabi-nabi yang melihat penglihatan palsu serta menyampaikan ramalan yang menyesatkan. Kamu tidak akan bersama-sama umat-Ku apabila mereka bersidang; nama kamu tidak akan tercatat dalam daftar warga Israel, dan kamu tidak akan pulang ke tanah air kamu. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.

2 Timotius 4:3-4: Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka. Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng.

1 Yohanes 4:1-2: Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerana banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat. Inilah caranya kamu boleh mengetahui roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah.

Kesimpulan: WMSCOG BUKAN Kristian tetapi satu ajaran palsu ataupun kultus! Berwaspadalah terhadap mereka seperti yang dinasihati Yesus. Ini adalah salah satu lagi peluang untuk orang Kristian berdoa dan menjangkau mereka supaya penganut WMSCOG dibebaskan daripada kebutaan iman dan mengenal rancangan Allah yang sebenar untuk kehidupan masing-masing.

Sila email kami di apakhabar@sabdaharian.com kalau terdapat sebarang pertanyaan. Tuhan berkati kalian.