Apakah definisi seorang “Kristian”?

Lewat ini, agama Kristian dipersendakan oleh pelbagai pihak yang digelar sebagai tokoh agama ataupun tokoh perbandingan agama di Malaysia. Pihak-pihak tersebut tidak pernah menampilkan definisi seorang ‘Kristian’ mengikut pemahaman mereka, tetapi pandai pula menerbit artikel-artikel yang mengandungi pemahaman palsu tentang Kristian. Tambahan pula, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut suka mengambil ayat-ayat Alkitab dari luar konteksnya.

Bagaimanakah orang Kristian menangani penyerangan terhadap agama Kristian dalam media sosial dan Internet secara terang-terangan? Dengan penuh kasih seperti yang diajar dalam Alkitab, “…kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih…” (Efesus 4:15).

Jawapan kepada soalan “Apa itu Kristian?” akan menjana pelbagai jawapan. Terdapat tiga pandangan secara am: pertama, golongan yang menyatakan bahawa sesiapa yang dilahirkan di dalam keluarga “Kristian” atau negara yang sudah lama berakar umbi agama Kristian adalah “Kristian”. Yang kedua melibatkan mereka yang percaya kepada Yesus Kristus atau agama yang berdasarkan Alkitab. Yang ketiga adalah mereka yang telah menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka dan mempunyai satu hubungan peribadi dengan Dia.

Memahami istilah “Kristian” secara Alkitabiah

Menurut Alkitab, perkataan “Kristian” hanya dipakai tiga kali sahaja di dalam Perjanjian Baru dan setiap contoh merujuk kepada “Kristian” di dalam gereja awal.

“...dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokha, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian” (Kisah Rasul-Rasul 11:26).

Raja Agripa bertitah kepada Paulus, ‘Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?’” (Kisah Rasul-Rasul 26:28).

Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus” (1 Petrus 4:16).

Mereka digelar “Kristian” kerana kelakuan, perwatakan serta pertuturan yang mirip dengan Yesus Kristus. Istilah “Kristian” bermaksud, “pengikut Yesus Kristus” ataupun “golongan mereka yang kepunyaan Yesus.” Justeru itu, apakah ciri-ciri mereka yang digelar “Kristian”?

Alkitab mengajar bahawa amalan, perbuatan baik dan mengumpul pahala tidak membenarkan diri di hadapan Allah. Walaupun seseorang mempunyai akhlak yang tinggi ataupun berfikir bahawa dia adalah rahmat bagi sekalian alam, itu tidak mencukupi untuk diterima Allah kerana semua orang telah berdosa. Kamu boleh memberi makanan kepada yang miskin, menyalurkan duit kepada anak-anak yatim piatu dan kaum balu, sembahyang selalu, membaca 10 bab Alkitab setiap hari, melayan di dalam gereja, dan memberi persepuluhan, tetapi masih bukan seorang pengikut Yesus atau “Kristian.”

Titus 3:3-7 menyatakan, “Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci. Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita. Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh Kudus yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita. Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita, supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan.”

Efesus 2:8-9 menerapkan pandangan tersebut, “Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oeh itu, kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu.

Ayat-ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa penyelamatan (dilahirkan semula) adalah kurnia Allah. Tiada seorang pun yang mampu memperoleh penyelamatan dengan hasil titik peluh sendiri. Kristian yang benar adalah seorang yang menerima hadiah kehidupan kekal (penyelamatan) daripada Allah melalui kepercayaan terhadap Yesus Kristus. Kepercayaan terhadap Yesus tidak bermaksud percaya bahawa Dia adalah guru yang berakhlak tinggi, sekadar seorang nabi, ataupun manusia yang baik. Seorang Kristian perlu percaya pada kematian Yesus, Anak Allah yang tunggal, di atas salib sebagai pembayaran untuk menebus dosa manusia sejagat, serta kebangkitan-Nya dari maut tiga hari kemudian sebagai bukti bahawa Yesus berkuasa atas maut juga.

Apakah kepercayaan seorang Kristian?

Memandangkan kita telah menubuhkan maksud Kristian sebagai seorang yang telah menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka dan mempunyai satu hubungan peribadi dengan Dia, mari kita melihat soalan yang penting: “Apakah kepercayaan seorang Kristian?”

Untuk berkurun-kurun lamanya, Pengakuan Iman Rasuli dipakai oleh orang Kristian yang benar. Walaupun ini bukan teks daripada Alkitab, Pengakuan Iman Rasuli cukup padat dan dalam maknanya, serta merangkumi asas-asas kepercayaan Kristian.

Saya percayakan pada Tuhan Bapa Yang Maha Esa

Pencipta Agung syurga dan alam semesta,

Dan kepada Yesus Kristus, Putera-Nya yang tunggal, Tuhan kita.

Dikurniakan oleh kuasaan Roh Kudus,

Dihamilkan oleh Mariam Yang Dara,

Terseksa di bawah perintah Pontius Pilate,

Disalibkan, mati maut dan dikebumikan,

Baginda naik takhta ke syurga,

Dan menduduki tempat yang unggul di-sebelah kanan Tuhan Bapa Yang Maha Esa,

Dari situ, Baginda akan kembali untuk menghakimi

umat manusia yang hidup mahupun yang telah mati;

Saya percayakan Roh Kudus (sebagai Tuhan),

Di dalam satu Ummah yang suci dan sedunia,

Di dalam silaturahim masyarakat suci yang erat,

Di dalam pengampunan dosa,

Di dalam kebangkitan badan jasmani,

Dan akhirnya di dalam kehidupan yang kekal abadi

(iaitu untuk selama-lamanya),  Amin.

Di sini, orang Kristian percaya bahawa Allah adalah Tritungal, terdiri daripada Allah Bapa, Allah Anak dan Roh Kudus. Orang Kristian juga percaya bahawa Yesus Kristus mati di atas salib untuk menebus dosa manusia sejagat dan bangkit dari maut tiga hari kemudian, dan akan menghakimi dunia ini di akhirat.

Jadi, sesiapa yang menggelar diri sebagai Kristian tetapi menokok tambah perkara lain seperti Tuhan Ibu ataupun perubahan doktrin mengikut zaman, BUKAN Kristian.

Lebih pelik lagi apabila para tokoh perbandingan agama menyamakan kultus seperti Saksi Yehuwa dan World Mission Society Church of God (WMSCOG) sebagai Kristian. Pihak-pihak tersebut menampilkan perawakan yang bertauliah, tetapi terdapat bahaya di belakang cubaan perbandingan agama yang cuai. Sebagai Kristian, kita sangka baik kerana mereka mungkin mengambil dakwaan dari Saksi Yehuwa dan WMSCOG bahawa mereka adalah Kristian secara bulat-bulat tanpa menyelidik dengan lebih mendalam lagi. Bukankah seseorang perlu selidiki sesuatu untuk menentukan kebenarannya supaya tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini atas sebab kejahilan pihak yang menyelidik?

Seorang Kristian mempunyai hidup yang baru

Sesiapa yang menerima hadiah penyelamatan daripada Allah akan mengalami perubahan hidup sebagai seorang Kristian. Hidup yang baru ini akan menggambarkan ciri-ciri seperti kasih sayang untuk orang lain (termasuk musuh) serta patuh kepada Alkitab.

1 Yohanes 2:4-6 menyatakan, “Jika seseorang berkata, ‘Aku mengenal Allah,’ tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang seperti itu pendusta. Allah tidak ada di dalam hatinya. Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Allah dengan sempurna. Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Allah. Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Allah, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus.

Kami berharap bahawa penjelasan ini boleh menolong saudara memahami siapa sebenarnya seorang Kristian supaya saudara tidak akan keliru di lautan alam maya yang penuh dengan fitnah serta pemahaman terpesong terhadap orang Kristian. Kalau saudara-saudari betul-betul mencari kebenaran, Yesus Kristus menjemput kamu mendalami Alkitab dan bertemu dengan-Nya secara peribadi.

Tuhan berkati.