Mengejar Pahala Di Dunia Akhirat

1486

Perlukah orang Kristian khuatir dengan jumlah bilangan amalan atau perbuatan baik supaya menerima pahala yang berlipat ganda di akhirat? Jawapan yang pendek, “Tidak.”

Yesus Kristus telah berjanji kepada semua yang percaya kepada-Nya bahawa mereka akan berada di syurga untuk selama-lamanya. Yesus sendiri telah menyediakan tempat di syurga untuk sesiapa yang percaya, dan Dia yang akan kembali untuk menjemput kita (Yohanes 14:3). Memandangkan Yesus adalah Tuhan dan Allah, Dia yang tidak berdosa tidak akan menyatakan sesuatu yang tidak benar.

 

Jalan ke syurga hanya melalui Yesus Kristus

Sistem pahala atau ganjaran akhirat yang berkait dengan kemasukan seseorang ke syurga tidak wujud untuk seorang Kristian. Tiada jalan belakang, jalan tikus, atau cara yang lain untuk seseorang layak ke syurga kecuali melalui Yesus Kristus sahaja. Allah tidak akan mengambil kira jumlah perbuatan baik yang kamu lakukan pada hidup ini dan menimbangkannya dengan dosa-dosa kamu untuk melihat jumlah mana yang lebih besar. Tidak!

Di sebaliknya, Allah memberi keyakinan kepada semua orang yang percaya pada Anak Tunggal-Nya, iaitu Yesus Kristus, untuk menjadi anak Allah (Yohanes 1:12). Ini menunjukkan kebesaran Allah yang orang Kristian sembah: bahawa Dia tidak membiarkan anak-anak-Nya ragu-ragu jika mereka telah melakukan secukupnya atau tidak. Allah yang orang Kristian sembah bukan seorang sadis akan membiarkan pengikut-Nya terkatung-katung tanpa sebarang kepastian kalau perbuatan baik/pahala mereka mencukupi untuk memasuki syurga.

Salah satu contoh yang paling ketara dalam Alkitab terkandung di Lukas 23:38-43.

Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!”

Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!”

Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.”

Di sini terbuktilah keilahian Yesus sepertimana Yohanes menyatakan bahawa “Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah” (Yohanes 1:1), bahawa Dia adalah Allah dan Tuhan. Hanya Allah yang mampu mengampuni dosa, dan hanya Allah yang berkuasa untuk menerima orang ke syurga. Kalau Allah memerlukan kamu dan saya untuk melakukan lebih banyak amalan dan mengutip pahala melalui perbuatan baik supaya melebihi dosa-dosa kita, penjahat yang disalibkan pada sebelah Yesus tidak mempunyai peluang langsung untuk memasuki syurga.

Namun demikian, oleh kerana penjahat tersebut percaya kepada Yesus sebagai Juruselamat dia dengan hati yang insaf, kedatangannya dialu-alukan ke syurga pada hari itu juga. Pada saat yang sama, penjahat tersebut bebas daripada belenggu dosa, walaupun tubuhnya bergantung di atas salib dan dia tidak mampu menggerakkan badannya untuk melakukan satu amalan atau perbuatan baik pun.

Hanya seorang yang sekadar manusia fana sahaja mampu menjanakan idea-idea dan pemikiran secara duniawi. Salah daripada itu adalah sistem di mana kita perlu bekerja untuk memperoleh sesuatu. Kalau kamu mahu menjadi kaya, kamu perlu bekerja keras. Kalau kamu mahu menjadi pandai, kamu mesti tekun belajar. Kalau kamu mahu memasuki syurga, kamu mesti mengejar pahala melalui amalan dan perbuatan baik sambil berharap tanpa sebarang jaminan bahawa amalan kamu melebihi dosa kamu. Kalau kamu mahu berdoa kepada Allah, kamu perlu mengikuti upacara penyucian diri terdahulu, mengulangi doa-doa tanpa memahami kandungan apa yang didoakan, dan sebagainya. Yesus tidak mengajar kita demikian, tetapi menekankan perubahan hati yang memimpin seseorang kepada kepercayaan kepada-Nya sebagai Jalan, Kebenaran dan Hidup.

“Hal itu demikian, kerana dengan Rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu.”

– Efesus 2:8-9

Barangsiapa yang memasuki syurga selepas mati bukan kerana jumlah amalan yang dilakukan atau pahala yang dikumpul semasa hidup, tetapi segalanya tergantung kepada kepercayaan kepada Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Allah, Juruselamat manusia sejagat.

Segala puij dan syukur kepada Tuhan kita, Yesus Kristus, yang menjadi jalan untuk kamu dan saya menikmati kehidupan yang kekal di hadirat Allah hanya dengan kepercayaan yang total kepada-Nya! Kalau saudara ingin tahu dengan lebih lanjut lagi bagaimana kamu boleh bertumbuh di dalam Kristus, sila berhubung dengan kami di apakhabar@sabdaharian.com.