Pesta Kaamatan & Hari Gawai Untuk Kristian

2870

Setiap akhir bulan Mei dan awal bulan Jun, Orang Asal di Sabah dan Sarawak meraikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan penuh kemeriahan. Sanak saudara dari jauh dan dekat akan pulang ke kampung masing-masing untuk meluangkan masa dengan keluarga yang disayangi.

Untuk Orang Asal yang beragama Kristian, ciri-ciri kebudayaan kaum masing-masing yang tidak bercanggah dengan kepercayaan Kristian masih diikuti. Pokoknya, perayaan Kaamatan dan Hari Gawai untuk orang Kristian adalah petanda bahawa musim menuai padi sudah tamat, dan setiap orang bersyukur kepada Allah atas berkat yang diberi-Nya. Ia juga menandakan permulaan yang baru untuk semua orang.

Bagi saudara-saudari yang meraikan Kaamatan dan Hari Gawai, ambillah peluang ini untuk bersyukur kepada Tuhan atas semua berkat, nikmat serta limpah kurnia-Nya sepanjang tahun ini. Berkat tidak datang hanya dalam bentuk matawang ataupun harta benda. Jauh lebih penting lagi adalah kesihatan, sukacita dan jalinan silaturahim di dalam keluarga. Berterima kasih kepada-Nya yang, di mana Raja Daud bermazmur “…aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan TUHAN, ataupun anak mereka meminta-minta makanan” (Mazmur 37:25).

Pada musim perayaan ini, kita yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus harus bertekad untuk menjadi terang dan garam di mana juga kita berada, terutama sekali dengan keluarga kita. Ambil peluang ini untuk menjadi satu teladan dan contoh yang baik. Cara kita berbelanja dari segi persiapan, pakaian dan pemakanan sangat penting kerana seringkali, kamu dan saya adalah injil yang ke-lima yang orang akan kenal.

Sentiasa ikuti kehendak Allah sepertimana yang disarankan oleh Paulus dalam Efesus 5:1-5 :-

Kerana kamu anak-anak Allah yang dikasihi-Nya, kamu mesti berusaha mengikut teladan-Nya. Hidup kamu harus dijiwai oleh kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah.

Kerana kamu umat Allah, tidak sepatutnya perbuatan yang cabul atau tidak senonoh, ataupun ketamakan berlaku antara kamu, supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mengumpat kamu. Kamu juga tidak patut menggunakan kata-kata yang lucah, cabul, atau tidak senonoh. Sebaliknya kamu harus bersyukur kepada Allah.

– Efesus 5:1-4

Sewaktu perayaan yang meriah ini, salah satu batu sandungan bagi banyak orang mungkin dari segi meminum air arak ataupun minuman keras sehingga mabuk. Untuk menjadi teladan yang menyenangkan hati Allah, elakkan daripada memabukkan diri. Di sebaliknya, mengapa pula merebut peluang untuk menjadikan musim perayaan ini sebagai batu loncatan di mana kalangan keluarga bertemu, berkumpul dan bergembira dalam keadaan yang waras dan penuh sopan santun?

Selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Tuhan memberkati kalian.