Orang Belum Percaya Menyatakan Kebenaran Kristian!

1432

Saya terserempak dengan satu komen di dalam laman Facebook yang seringkali menyebarkan berita palsu tentang agama Kristian, dan komen itu dipetik seperti berikut :-

 

Yang masuk Kristian hanya dijanjikan syurga dan dapat keampunan Tuhan Jesus walau sudah buat dosa sebesar gunung kerana mereka mempromosi kasih sayang Tuhan Yesus…itu sahaja modal ke hulu ke hilir si misionaris.

 

Apabila saya renungkan komen tersebut, Roh Kudus mengingatkan saya tentang kata-kata Yesus Kristus kepada seorang Guru Taurat, “Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah” (Markus 12:34).

Walaupun orang yang memberi komen tersebut mungkin menyindir agama Kristian, tetapi komennya tidak jauh daripada kebenaran yang Yesus mengajar. Ini kerana setiap orang Kristian telah dijanjikan syurga oleh Yesus Kristus sendiri di dalam Yohanes 14:1-3, “Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga. Di dalam rumah Bapa-Ku terdapat banyak tempat kediaman, dan Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu. Aku tidak akan berkata demikian kepada kamu, sekiranya hal itu tidak begitu. Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal.

Jadi, Yesus sendiri sudah memberi janji bahawa barangsiapa yang percaya kepada-Nya sebagai Juruselamat, akan memperoleh hidup yang kekal di syurga bersama-sama-Nya.

Lebih-lebih lagi, komen itu menyatakan salah satu kebenaran asas tentang agama Kristian: barangsiapa yang menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat akan diampunkan dosanya. Adakah pengampunan dosa ini sekecil busut ataupun “sebesar gunung” seperti yang didakwa? Tepat sekali komen tersebut bahawa orang Kristian akan mendapat “…keampunan Tuhan Jesus walau sudah buat dosa sebesar gunung…”.

Sewaktu disalib, penjahat di sisi Yesus berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus” (Lukas 23:42-43).

Hanya Tuhan Yesus yang memegang kunci hidup yang kekal, itulah sebab-Nya Dia berani berjanji kepada penjahat yang bertaubat dan mempercayai kepada Yesus pada saat itu. Bolehkah penjahat itu melakukan amalan dan perbuatan baik untuk menyucikan dirinya daripada dosa-dosa seumur hidup sewaktu bergantung di atas salib? Tidak! Tetapi sebesar gunung pun dosanya juga diampuni Yesus dan disertai janji bahawa dia akan bersama-sama Yesus di Firdaus (syurga).

Tidak salah “mempromosi kasih sayang Tuhan Yesus“, kan? Bukankah menggalakkan kasih sayang jauh lebih baik daripada mempromosi pemenggalan kepala, merejam, hukuman mati atas mereka yang keluar agama, keganasan terhadap kaum lain, serta hukum-hukum lapuk yang lain?

Adalah doa saya bahawa orang yang menulis komen tersebut akan mengenali Yesus Kristus sebagai Kebenaran (al-Haqq) dan Kehidupan (al-Hayy), sepertimana yang didakwa Yesus sendiri di dalam Yohanes 14:6. Saudara/saudari tersebut tidak jauh daripada Pemerintahan Allah. Semoga ramai lagi akan mempunyai pandangan yang selari, di mana mereka akan berjumpa dengan Juruselamat peribadi mereka.

Tuhan berkati.