Syurga Dan Kristian

4800

Boleh dikatakan setiap orang mempunyai alamat di dunia ini, tetapi di manakah alamat kamu selepas kamu menghembus nafas terakhir di bumi? Adakah kamu akan berada di syurga atau di neraka? Untuk orang Kristian, barangsiapa yang percaya kepada Yesus Kristus “…tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16). Jadi dari sudut pandangan Kristian, apakah syurga dan bagaimanakah keadaan di sana?

Yesus pemandu pelancong syurga

Masih ingat tak waktu kamu tidak bersabar-sabar hendak melancong ke negara lain? Sudah tentu kamu telah menyelidik keadaan di sana, jenis matawang, tempat penginapan, sistem pengangkutan, masakan tempatan yang popular, dan lain-lain. Hanya orang yang pernah ke sana ataupun tinggal di sana yang dapat memberi maklumat yang tepat dan terperinci.

Bagaimana pula dengan syurga?

Yesus berkata, “Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga.

Di sini Yesus secara terus terang menyatakan keilahian-Nya, bahawa Dia berasal dari syurga. Jadi, Dia mempunyai penuh kewibawaan untuk berkongsi dengan umat manusia apa yang ada di syurga. Dia tidak perlu menunggang seekor haiwan untuk diangkat ke syurga. Yesus sebagai Allah dan Tuhan juga tidak perlu sesiapa untuk menyucikan hatinya serta dipenuhi iman, kerana hanya manusia yang berdosa sahaja perlu disucikan Allah.

Kenyataan siapa yang lebih munasabah dan senang diterima? Yesus yang berasal dari syurga dan mendakwa diri-Nya sebagai “…yang pertama dan yang terakhir…” (Wahyu 21”6), ataupun orang lain yang mendakwa bahawa dia melawat syurga hanya untuk semalam?

Apakah syurga?

Secara ringkas, syurga adalah tempat di mana Allah berada dan semua umat Allah akan bersama-Nya untuk selama-lamanya.

Di syurga, Yesus akan “…menyapu air mata…” dan “kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan” (Wahyu 21:4). Janji Tuhan Yesus amat menenangkan hati untuk orang Kristian yang percaya kepada-Nya sebagai Juruselamat mereka.

Meluangkan masa yang abadi dengan Allah dan di dalam hadirat-Nya adalah perasaan yang paling agung untuk kamu dan saya. Apabila seseorang berada di syurga, dia juga tidak akan lagi berkahwin sepertimana di bumi. Yesus mengajar dalam Lukas 20:36, “Mereka (orang percaya mati yang dibangkitkan semula) akan menjadi seperti malaikat; mereka tidak mati lagi. Mereka menjadi anak-anak Allah, kerana mereka sudah dibangkitkan daripada kematian.

Yesus juga berjanji kepada sesiapa yang percaya kepada-Nya bahawa dia akan mempunyai tempat kediaman sendiri. Ini kerana Yesus sendiri telah “…pergi menyediakan tempat…” (Yohanes 14:2) untuk kamu dan saya. Tidak seorang pun daripada agama lain yang berani mendakwa sedemikian, kerana hak penempatan manusia di syurga terletak di dalam tangan Allah. Secara terus terang, Yesus sekali lagi menyatakan bahawa Dia adalah Allah dengan ciri-ciri keilahian-Nya sebagai bukti.

Apa yang akan orang Kristian buat di syurga?

Orang yang percaya akan bersama-sama Allah untuk selama-lamanya di syurga. Kitab Wahyu dalam Alkitab mengandungi banyak petunjuk tentang syurga.

Anak Domba (Yesus Kristus) akan menerima penyembahan daripada manusia sejagat yang percaya kepada-Nya. Tiada istilah malam di syurga kerana Tuhan Allah sendiri akan menerangi syurga. Kita yang percaya akan bersama-sama dengan Allah, memuji Dia tanpa berhenti tanpa dibelenggui kesakitan, kesedihan, kemurungan, dan semua jenis ikatan dosa semasa hidup di dunia.

Jelas nyata sekali bahawa gambaran syurga yang diilhamkan oleh manusia fana yang berdosa biasanya mempamerkan ciri-ciri kemanusiaan seperti meminum daripada sungai yang mengalir dengan arak/wain tanpa perasaan mabuk, bersantap buah delima dan kurma, memperisteri makhluk yang berada dalam keadaan dara senantiasa dan lain-lain. Ini menunjukkan kebatasan pemikiran seorang yang duniawi dari kawasan tertentu kerana ia merangkumi nafsu asas manusia: makanan, minuman, dan seks. Tepuk dada, tanya selera: di manakah penyembahan Allah di dalam “syurga” sedemikian?

Di dalam konteks Kristian, syurga bukan satu tempat di mana nafsu manusia boleh dilepaskan begitu sahaja. Ia jauh berbeza dengan pemikiran duniawi. Syurga berfokus pada penyembahan abadi terhadap Allah serta berada dalam hadirat-Nya. Bukankah ini matlamat hidup kita sewaktu berada di bumi ini, untuk mengetahui siapakah Allah dan melakukan kehendak-Nya di dalam hidup masing-masing?

Bayangkan kenikmatan rohani yang kamu bakal alami apabila berada di dalam hadirat Allah. Pada saat tersebut, jenis makanan, minuman serta hal-hal duniawi seperti pasangan hidup atau nafsu tidak lagi bermakna apabila dibandingkan dengan peluang untuk menyembah dan meluangkan masa bersama-sama Allah untuk selama-lamanya.

Tuhan berkati kamu selalu.