Dalam kehidupan, pilihan merupakan perkara besar yang kita perlu fikirkan setiap hari. Ketika kita menetapkan masa penggera untuk bangun pagi, kita berfikir dan menilai masa yang sesuai dengan keperluan keesokan hari. Lalu membuat pilihan, mungkin, penggera ditetapkan
jam5.00 pagi. Samada bangun atau tidak, itu pun adalah pilihan. Saya teringat tidak berapa lama dulu sewaktu dalam pelayanan, saya dapati ada seorang wanita yang dalam kebingungan. Apa yang dia dengar sepanjang mengikuti wadah pelayanan itu membuatkan dia dilemma untuk memilih samada: ikut Yesus atau kekal dengan kehidupannya sekarang. Terlihat
kekalutan di wajahnya. Bukan mudah untuk membuat pilihan, kerana ianya bukan sekadar pilihan. Ketika saya imbas kembali situasi itu, saya teringat apa yang penulis kepada surat Ibrani katakan

“Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya.” – Surat Ibrani 11:6 BM

…dalam ayat ini, penulis sebenarnya menyatakan suatu kenyataan tentang iman bagi mereka untuk membuat pilihan.

Penulis surat kepada Ibrani ini telah menulis pasal kesebelas dengan teliti. Penulis telah memberikan definisi beriman dengan jelas kepada Kristian dikalangan orang-orang Ibrani, “Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat“, dan ianya ternyata benar! Surat Ibrani ini dituliskan khusus bagi Kristian dikalangan orang Ibrani kerana ketika itu mereka menerima cabaran yang amat sukar sehingga membuatkan mereka terdesak untuk meninggalkan iman kepada Kristus – sebuah pilihan iman. Siapakah orang-orang Ibrani ini? Mereka adalah keturunan Abraham, orang Ibrani pertama; bangsa Yahudi yang kita kenal pada masa kini. Dalam pasal ini, penulis dengan teliti dan cermat,  menyusun ayat demi ayat tentang hal beriman. Kefahamannya tentang orang Ibrani sangat jelas. Penulis menyatakan bagaimana iman orang Ibrani dibangun diatas dasar pengalaman kehidupan kerohanian iman nenek moyang mereka, yang telah melalui cabaran lebih sukar daripada apa yang mereka alami ketika itu. Ini bukan sekadar pilihan tetapi perjanjian yang Allah meteraikan dengan Abraham, orang Ibrani, bapa kepada bangsa Yahudi, demi masa depan mereka di mata Tuhan.

Namun apakah yang menyebabkan termeterainya perjanjian ini?

Respon Abram. Ketika Allah datang kepada Abram sebagai Firman dalam penglihatan, Abram mendengar Allah bercakap dengannya (Kejadian 15:1-21 BM). Menariknya, Abram meresponi Allah dengan dua pertanyaan yang relevan: Pertama, “Ya TUHAN Raja, apakah gunanya pahala itu bagiku kerana aku tidak mempunyai anak?” (a.2); kedua, “Ya TUHAN Raja, bagaimana aku dapat mengetahui bahawa tanah ini akan menjadi milikku?” (a.8) Pertanyaanpertanyaan ini sebenarnya memperlihatkan isihati Abram: pertama, Abram ada satu keingingan yang kuat iaitu memiliki keturunan; kedua, Abram ingin tahu bagaimana caranya menerima berkat dari Allah. Saudara dan saudari yang saya kasihi, ketika kita mendengar Firman Tuhan, adakah kita ada keinginan yang kuat? Ketika Firman Tuhan semakin jelas dan nyata difikiran dan hati kita, adakah kita bertanya pada Allah bagaimana untuk menjadikannya nyata dalam kehidupan kita? Kristian masa kini tidak memahami untuk mendapatkan mahkota harus memikul salib. Seorang pemuda yang kaya pernah bertanya kepada Yesus bagaimana untuk memperolehi hidup sejati dan kekal. Dalam beberapa siri dialog, Yesus menyatakan bagaimana caranya dan pemuda dengan yakin menjawab sudah melakukan kesemuanya itu, namun perintah Yesus yang terakhir membuatkan pemuda itu meninggal Yesus, “Jika kamu hendak
menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” (Matius 19:21 BM). Jika pada saat ini Allah berkata hal yang sama kepada anda, apakah respon anda? Mentaati atau mengingkari? Memilih hidup kekal atau kematian selamanya?

Pilihan Abram. Setelah Abram mengalami pengalaman bercakap dengan Allah dalam penglihatannya, tidak lama kemudian, sesuatu yang tidak diduga telah berlaku. Sarai, isterinya memintanya untuk dia meniduri Hagar, hamba isterinya (Kejadian 16:1-16 BM). Kalau kita menganalisis pasal ini, sebenarnya Abram memiliki hak untuk menolak permintaan Sarai. Namun apakah yang menyebabkan Abram menuruti kemahuan Sarai? Adakah kerana Sarai menyatakan bahawa Tuhanlah yang membuatkan dia mandul? (a.2), atau kerana keinginan kuat Abram untuk memiliki zuriat membuatkan dia menuruti permintaan Sarai? Semuanya ini ditentukan oleh pilihan Abram. Allah telah menyatakan berkat-Nya kepada Abram jika dia mentaati perintah Allah. Saudara dan saudari, kita seringkali melakukan pilihan yang salah. Tetapi Allah tetap mengasihi kita dengan memberkati, mengasihi dan mengadili kita lewat pilihan dan akibat dari pilihan kita yang salah. Kerana Abram menuruti dan memilih untuk melakukan apa yang Sarai ingini, Hagar mengandung dan bongkak lalu menghina Sarai. Sarai mengadu kepada Abram dan mengizinkan Sarai membuatkan Hagar sengsara dan Hagar melarikan diri. Pilihan yang salah, tidak mendatangkan kebaikan. Dalam kehidupan, membuat pilihan yang salah, itu normal. Tetapi jika kita tidak belajar dan memperbaiki kesilapan kita, itu kerana fikiran dan hati tidak mahu menerima teguran dan didikan rohani. Walaupun Abram telah membuat pilihan yang salah, Allah tetap berpegang pada janji – memeteraikan janji-Nya bagi Abram. Semuannya kerana iman. “Kerana beriman, nenek moyang kita diperkenankan oleh Allah.” (Ibrani 11:2 BM), oleh itu, bangsa Yahudi, dan kita yang menerima dan percaya pada Yesus Kristus, meraih janji-janji Allah. Apakah pilihan penting yang anda ingin buat ketika ini? Adakah Yesus sebahagian besar dari pilihan itu, atau kehidupan di dunia semata-mata?

Pilihan kita ditentukan oleh iman kita. Iman kita ditentukan oleh pengetahuan dan juga pemgalaman kita tentang Tuhan. Sebab itu Alkitab jelas menyatakan kepada untuk merenungkan Firman Tuhan siang dan malam dan berdoalah senantiasa, bahkan melakukan kehendak-kehendak Allah. Mungkin orang Ibrani pada waktu itu tidak sanggup bertahan dalam iman kepada Kristus kerana selesa dengan zon kehidupan mereka, mungkin. Mungkin wanita yang saya katakan diawal tadi juga dilemma membuat pilihan kerana selesa dan tidak mahu menghadapi kesusahan kerana pilihannya, mungkin. Namun Alkitab sangat jelas tertulis, jika kita ingin memilih hidup, tidak ada yang mudah. Sebelum meninggalkan wanita itu, saya sempat memberitahunya – memilih untuk menerima dan ikut Yesus tidak pernah mudah, kerana iblis pasti takut kerana kau memilih untuk hidup dan bukan mati, saya berkata kepadanya,

“Iman bukan sekadar pilihan, tetapi kehidupan. Bila kita memilih hidup, kita harus berusaha memiliki hidup yang sejahtera dan ada damai – dan semuanya hanya ada di dalam Yesus Kristus.”

Ada sebuah lagu yang mengungkapkan frasa ini, hidup ini adalah kesempatan. Selama kita hidup pilihlah hidup kerana Yesus, oleh Yesus dan demi Yesus.

Salam damai dan Tuhan memberkati.