Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku, sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.” – Matius 15:9 AVB

 

Ketika orang Farisi dan ahli Taurat datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa murid-Mu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!” Yesus kemudiannya menjawab mereka dengan menegaskan perintah Allah dan mengingatkan  kemunafikkan “bangsa ini” dengan merujuk kepada kata-kata nubuatan Yesaya kerana ajaran mereka bukanlah ajaran Allah tetapi peraturan manusia. Mereka telah menyesatkan bangsa mereka sendiri. Tanpa kita sedari, yang mengecewakan bangsa Israel adalah dari golongan Farisi dan ahli Taurat, golongan dari bangsa Israel sendiri yang memanipulasikan Firman Tuhan untuk tujuan kepentingan mereka sendiri. Sebab itu, kalau kita kontekstualisasi untuk masa kini, adakalanya Kristian juga mengecewakan.

Matius pasal 15 ini, menceritakan situasi dimana Yesus berhadapan dengan orang Farisi dan ahli Taurat dikhalayak ramai orang, lalu Yesus mengajar orang ramai agar menjaga perkataan yang keluar dari mulut. Perbuatan Yesus menyebabkan para murid-Nya memberitahu Yesus bahawa itu menyinggungkan orang Farisi dan ahli Taurat. Tetapi apa yang Yesus katakan kepada mereka? “…Mereka itu buta yang memimpin orang buta” (Matius 15:14 AVB). Kita tahu bahawa orang Farisi dan ahli Taurat adalah
golongan keras hati, bahkan Yesus memanggil mereka sebagai ular (Matius 23:33 AVB). Niat hati yang jahat menyebabkan mereka tidak dapat melihat kebaikan yang Yesus ingin sampaikan. Kerana terlalu taksub dengan kepentingan sendiri, hati mereka sudah tidak dapat menerima kebenaran. Sukar untuk kita fahami mengapa sesama bangsa Israel menolak Yesus. Ini amat mengecewakan. Tetapi kita harus menerima Alkitab sebagai sumber yang diilhamkan oleh Allah untuk mengajar, menegur, membetulkan
dan mendidik ke arah kebenaran (2 Timotius 3:16 AVB). Memang wujudnya keadaan seperti ini, sekarang pun Kristian adakalanya mengecewakan tetapi Kristus tidak pernah mengecewakan kita. Ada dua hal yang ingin kita diingatkan bersama,

 

Jangan menyalahgunakan Firman Tuhan. Yesus menjawab pertanyaan orang Farisi dan ahli Taurat dengan suatu pernyataan dari perbuatan mereka yang telah diketahui oleh Yesus, tentang pernyataan Firman Allah yang diputarbelitkan demi kepentingan mereka sendiri. Seringkali kita mendengar ajaran-ajaran yang salah oleh kerana kurangnya pengertian. Contohnya: 1-Yesus menebus dosa dari kita atau, 2-Yesus menebus kita dari dosa? Sudah pasti nombor 2 kerana Yesus menebus kita, ciptaan-Nya dan bukan dosa. Takkan Yesus menebus dosa, dan membiarkan kita, kan? Namun kerap sekali kita mendengar para hamba Tuhan menyatakan nombor 1. Sewaktu menghadiri ibadah ahad lalu, pengkhotbah itu mengatakan, “Setiap kita memiliki Roh Kudus”. Saya terkilan dengan pernyataannya, kerana kalau kita merujuk dalam Firman Tuhan, Roh Kudus adalah pemberian dari Allah oleh kerana Yesus yang memohon kepada Allah. Memiliki maksudnya kita boleh memperlakukan mengikut kemahuan kita. Kristian tidak boleh memperlakukan dan memiliki Roh Kudus sesukahati, sebaliknya Roh Kudus yang memiliki kita jika syaratnya kita penuhi – mengasihi dan mematuhi perintah-perintah Yesus (Yohanes 14:15-16). Dengan itu permohonan Yesus agar kita diberikan Roh Kudus akan terjadi dalam hidup kita. Jadi, bagaimana agar kita tidak menyalahgunakan Firman Tuhan? Dengan membaca dan memahami Firman Tuhan tanpa keluar dari teks dan konteks iaitu menggunakan pendekatan eksegesis. Selain dari itu, usahakan agar memiliki buku-buku komentar Alkitab agar ianya membantu kita memahami dengan lebih mendalam. Harus kita fahami membaca buku-buku teologia bukan untuk menjadikan kita lebih pandai tetapi lebih mengasihi Allah. Dengan itu, pasti kita dapat mematangkan kebenaran dihati kita, dan lebih peka terhadap Firman Tuhan yang hakiki. Jangan jadi seperti orang Farisi dan ahli Taurat, bersangka tahu semua tetapi salah mengaplikasikan.

Firman Tuhan bukan peraturan manusia. Yesus menegaskan bahawa walau bagaimana sekalipun kita beribadah, jika ibadah itu menjadi wadah pengajaran peraturan manusia, maka ibadah mereka sia-sia. Ada ibadah terlalu liturgi, ada ibadah terlalu “simple”. Ibadah berliturgi adalah ibadah yang menitikberatkan nilai-nilai teologia yang mendasari seperti engakuan iman rasuli, doa bapa kami, doa pemberkatan, dan aturan-aturan tertentu yang menegaskan Firman Tuhan. Ianya baik sebab mengajar kita beribadah secara fundamental. Ibadah yang simple kebiasaannya hanya dimulai dengan doa atau langsung dengan pujian penyembahan, doa, pengumuman, pungutan wang, pujian penyembahan dan kemudian khotbah lalu pulang selepas doa pemberkatan. Simple. Semua Kristian suka dengan simple, tetapi ibadah sedemikian kurang mendidik secara mendasar, kerana bagi saya ia adakalanya seolah-olah untuk memuaskan hati jemaat berbanding menegaskan nilai aesthetic ibadah Kristian. Bukan hanya dalam ibadah tetapi peraturan manusia seringkali dapat terlihat dalam aktiviti kerohanian, “bonding” lebih tetapi kurang pendedahan
Firman Tuhan. Saya berfikir, adakah disebabkan orang Farisi dan ahli Taurat selalu bersama sehinggakan tidak dapat menerima teguran Yesus? Pernahkah kita alami keadaan di dalam persekutuan yang adanya puak-puak? Pasti ada. Dahulu di gereja dimana saya membesar, ada kecederungan dikalangan anak-anak muda yang hanya favor siapa yang mereka sukai sehinggakan ada minoriti yang dipulaukan. Ini benar-benar keadaan yang tidak sihat sebagai komuniti iman. Kerana kita membiarkan kedagingan manusia mengambil alih apa yang ditetapkan oleh Firman Tuhan, maka kita gagal melihat sesama kita untuk saling mengasihi walaupun adanya perbezaan. Dalam Kolose 2:23, Paulus ada mengatakan tentang peraturan manusia yang jelas, “Peraturan -peraturan begini memang kelihatan seolah-olah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.” Seringkali kita berfikir bahawa yang kita fikirkan itu baik, tapi tanpa merujuk Alkitab, itu belum tentu baik adanya.

Sahabat dalam Kristus, sebenarnya ada banyak lagi aspek yang menyebabkan sesama Kristian adakalanya mengecewakan. Sikap, pembawaan diri, kata-kata yang keluar dari mulut tanpa memikirkan akibatnya, buta terhadap kesombongan diri dan banyak lagi. Salah satu yang amat mengecewakan saya ketika bersama Kristian adalah apabila seseorang jatuh dalam dosa; membawang tanpa henti, mengkritik
seburuk-buruknya, bercakap tentang masalahnya tetapi tidak pernah pun bertanya – bagaimana untuk mendorong dan membawa insan itu teguh dalam iman. Tidak ada dosa yang tidak dapat diampuni oleh Yesus, persoalannya adakah kita kristian mampu mengampuni bersama, membangun bersama dan meletakkan Yesus sebagai pusat kesatuan kita?


Orang Farisi dan ahli Taurat mengecewakan Yesus Kristus. Sesama Kristian juga adakalanya mengecewakan, tetapi Kristus tidak pernah mengecewakan kita. Jangan jadi seperti orang Farisi dan ahli
Taurat – teladanilah Kristus.

Salam damai dan Tuhan memberkati.