Seorang Kristian yang ingin taat setia kepada ajaran Tuhan Yesus di Malaysia memang akan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang hidupnya, tetapi saya tahu bahawa saya diseru supaya “…anggaplah diri…berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan…” (Yakobus 1:2). 

Cabaran menyembah Allah 

Mungkin kalian telah memperhatikan bahawa lewat ini, kebanyakan gereja didirikan di shoplot ataupun kedai berderet, dan biasanya di tingkat atas. Tempat-tempat lain termasuk tapak industri dan komersial usang yang telah diubahsuai untuk kegunaan beribadah. Walaupun ini jauh berbeza daripada bangunan gereja tradisional, Kristian di Malaysia terpaksa melakukan demikian kerana terdapat kekurangan tapak yang diluluskan oleh pihak berkuasa untuk tempat beribadah. Selain daripada itu, tidak ada kepastian bahawa kelulusan akan diberi oleh pihak berkuasa supaya anggota gereja boleh menjalankan ibadah mereka setiap minggu. Secara teknikal, gereja-gereja tersebut boleh dikatakan beroperasi tanpa lesen, walaupun telah kian lama menghantar aplikasi kepada agensi-agensi tertentu tanpa menerima sebarang jawapan. 

Ramai Kristian di Malaysia yang bertutur di dalam bahasa kebangsaan juga mendapati bahawa Malaysia mengalami ketandusan bahan bacaan Kristian. Kebanyakan daripada bahan-bahan bacaan berasal daripada Indonesia, termasuk Alkitab. Edaran Alkitab Berita Baik di Malaysia juga pernah mengalami sekatan dulu sepertimana yang kalian boleh lihat dalam gambar di bawah:

Mujur sekali, kemajuan dari segi komunikasi serta usaha dari pelbagai pihak telah membolehkan Alkitab dalam Bahasa Malaysia disebar secara elektronik tanpa mengambil kira sempadan negeri. Perkembangan ini banyak membantu orang Kristian membangunkan iman masing-masing melalui pembacaan Firman Tuhan yang “…lebih manis daripada madu…” dan mmeberi “…kebijaksanaan daripada hukum-Mu…” (Mazmur 119:103-104). 

Cabaran mentaati Perintah yang Terutama

Kebelakangan ini, usaha orang Kristian yang menolong Orang Asli di Semenanjung Malaysia juga diungkitkan di media sosial dan saluran berita. Walaupun murid Yesus dengan sukarela melawat dan menolong Orang Asli di perkampungan mereka yang telah lama diabaikan serta dikebelakangkan dari segi kemajuan untuk puluhan tahun, mereka menolong dengan hati yang ikhlas tanpa bergantung kepada sebarang pertubuhan kerajaan ataupun dana kerajaan.

Menunjukkan kasih sayang adalah Perintah yang Terutama untuk setiap orang Kristian. Itulah sebabnya apabila Orang Asli melihat keprihatinan orang Kristian terhadap mereka, Roh Kudus yang menyentuh hati mereka untuk menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat. Intipati yang terkandung dalam Yakobus 1:27, “Menurut Allah Bapa, inilah ibadat yang murni dan sejati: Menolong anak yatim piatu dan balu yang mengalami penderitaan, serta menjaga diri supaya tidak dicemari kejahatan di dunia ini” menunjukkan bahawa Kristian perlu menolong mereka yang kekurangan serta senantiasa bersinar untuk Yesus di mana juga. 

Orang Kristian tidak boleh meng-Kristiankan orang lain, kerana kami tiada kuasa melakukan begitu. Hanya Allah sahaja yang mempunyai kuasa untuk melakukan demikian, dan Dia mengutus Roh Kudus untuk tujuan tersebut. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi di mana-mana pelusuk dunia pun, orang Kristian tidak pernah dan tidak mampu meng-Kristiankan orang lain. 

Terdapat dakwaan bahawa Orang Asli dilantik menjadi pembantu paderi dengan diberi gaji serta imbuhan yang menarik, berserta bantuan kewangan dan kebendaan yang menjadi faktor utama yang menarik minat Orang Asli terhadap Kristus¹. Ini adalah satu dakwaan palsu, kerana Orang Asli tertarik kepada ajaran Kristus yang menunjukkan “…kebenaran, dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu [mereka]…” (Yohanes 8:32). Mereka memilih untuk mengikut Yesus kerana mereka tahu bahawa Yesus sahaja yang boleh mengampunkan dosa mereka serta memberi hidup yang kekal

Jadi, seorang Kristian di Malaysia seringkali menerima tuduhan palsu: bahawa kami dibiayai bantuan kewangan yang besar oleh kuasa asing, bahawa kami memakai wang dan kebendaan untuk memujuk orang lain menjadi Kristian, bahawa kami melanggar Perlembagaan Malaysia dengan menyebarkan ajaran Yesus, dan pelbagai tohmahan lain. Bagaimanakah respon Kristian? Kita terus berdoa sahaja untuk Malaysia, supaya Allah akan memberkati Malaysia serta membawa kedamaian serta kemakmuran ke tanahair yang tercinta ini melalui lapisan pemimpin yang takut akan Allah dan melayan dengan hati yang ikhlas demi kemajuan negara. Tidak dipisahkan daripada doa adalah usaha untuk memenuhi Perintah yang Terutama dari segi pemikiran, pertuturan dan kelakuan kepada sesiapapun yang berada dalam kesusahan atau keadaan yang ditindas.

Jadi…

Adakah semua cabaran ini akan menghentikan saya daripada mempraktikkan Perintah yang Terutama di dalam hidup saya? Tidak sesekali pun, kerana saya tahu bahawa Yesus Kristus menyertai saya di mana juga saya berada, dan Dia tidak pernah menghampakan saya dalam mana-mana situasi kerana Dia telah berjanji untuk “…sentiasa menyertai kamu [saya] sehingga akhir zaman” (Matius 28:20). 

Semoga kalian yang mengikuti Tuhan Yesus akan terus berkobar-kobar untuk melayani Raja segala Raja dengan menjangkau golongan mereka yang miskin, ditindas, dan masih belum mendengar tentang Yesus Kristus. Hallelujah!

¹ Hasan Mat Nor (1994). “Christianity and the Peripheral Community: A Malaysian Case.” The Journal of Sophia Asian Studies. Tokyo: Institute of Asian Culture, Sophia University. Bil. 12, h. 152-153