Adakah agama Kristian benar hanya kerana Alkitab menyatakan begitu? Tidak. Agama Kristian akan masih benar walaupun tidak sepatah perkataan pun di dalam Alkitab ditulis. 

Mari saya jelaskan. 

Sesetengah orang Kristian mendakwa bahawa apa yang diketahui tentang agama Kristian berdasarkan Alkitab yang tulen dan tidak pernah diubah atau ditukar kandugnannya. Dari segi arkeologi, kita juga tahu bahawa terdapat beberapa penulis bukan Kristian dari zaman kuno yang merujuk secara ringkas kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku abad pertama Masihi serta kepercayaan orang Kristian pada zaman tersebut, yang tidak bercanggah dengan apa yang disampaikan di dalam Perjanjian Baru. Kita juga tahu bahawa terdapat kajian demi kajian arkeoloji yang menyokong watak-watak serta peristiwa-peristiwa di dalam latarbelakang sejarah Kristian.

Namun demikian, terdapat kalangan di antara kita yang berfikir bahawa kepercayaan Kristian tidak sah kecuali Alkitab tidak mengandungi sebarang kesalahan atau penyelewengan. Kalau dakwaan tersebut benar, Ini bermakna bahawa agama Kristian sangat rapuh serta lemah, dan akan roboh begitu sahaja jika hanya satu ayat atau rujukan di dalam Perjanjian Baru dibuktikan sebagai palsu. 

Ini tidak bermaksud bahawa Alkitab mengandungi sebarang kesalahan atau penyelewengan. Disebaliknya, orang Kristian yakin bahawa Alkitab kita tidak pernah diubah atau ditukar-tukar ayat-ayatnya, kerana Allah sendiri telah berjanji bahawa Firman-Nya tidak boleh diubah (Matius 5:18). Jadi, mengambil kira kesalahan di dalam Alkitab sebagai tanda piawai untuk membenarkan peristiwa yang sangat penting di dalam agama Kristian – kebangkitan Yesus Kristus daripada maut, adalah sesuatu yang tidak munasabah. Agama Kristian berdasarkan peristiwa bersejarah tersebut, iaitu kebangkitan Tuhan Yesus daripada maut. Kalau Yesus betul-betul bangkit daripada maut, maka agama Kristian adalah benar. Kalau Dia masih kekal mati, maka seperti yang didakwakan oleh Paulus, seorang saksi pada abad pertama Masihi, agama Kristian adalah palsu. 

Bayangkan: kamu tidak perlu sumber yang salah sebagai bukti bahawa Kebangkitan Yesus tidak berlaku, ataupun salah satu peristiwa bersejarah yang lain. Contohnya, kalau kamu membaca laporan perlawanan bola sepak di mana salah satu statistik ditulis dengan salah, adakah ini bermaksud bahawa setiap detik permainan tersebut adalah palsu, ataupun perlawanan bolasepak tersebut tidak pernah berlaku? Kalau tidak, mengapa terdapat golongan yang menekankan corak pemikiran tersebut ke atas Perjanjian Baru mahupun seluruh Alkitab? Mengapa mereka membuat andaian bahawa kecuali setiap patah perkataan di dalam Alkitab adalah benar, yang lain adalah palsu?

Golongan ini membuat andaian tersebut kerana mereka terkeliru dengan fakta-fakta Kebangkitan Yesus dengan laporan Kebangkitan Yesus. Laporan tentang satu peristiwa bersejarah yang bercanggah sesama sendiri adalah bukti bahawa peristiwa tersebut benar-benar berlaku, dan bukan disebaliknya. Merujuk kepada analoji perlawanan bola sepak tadi: kalau terdapat satu statistik yang salah ditulis, ini bermaksud perlawanan bola sepak tersebut betul-betul berlaku dan seorang cuba menulis laporan tentang perlawanan tersebut. Kalau perlawanan bola sepak tersebut tidak berlaku, maka tidak ada kesalahan statistik kerana tiada orang yang akan menulis laporan untuk sesuatu yang tidak berlaku!

Cara mendekati Perjanjian Baru serta Kebangkitan Yesus Kristus daripada kematian perlu menggunakan piawai yang sama. Jika seseorang berjaya mencari satu percanggahan di antara beberapa laporan tentang Kebangkitan Yesus, kewujudan beberapa saksi terhadap peristiwa tersebut menyahkannya, terutamanya mereka yang menulis tentang Kebangkitan Yesus daripada kematian bersedia dianiaya. 

Semua penulis Perjanjian Baru (kecuali Lukas) adalah penganut agama Yahudi yang akan kuat ditentang, malah dihukum mati, jika mereka berani memberitakan Kebangkitan Yesus. Apakah motif orang Yahudi yang percaya pada Yahweh, bangsa yang dipilih oleh Allah selama dua ribu tahun, memperkenalkan kepercayaan baru berdasarkan Kebangkitan Yesus? Perbuatan tersebut akan menyebabkan mereka dikucilkan, ditahan, dipukul, diseksa dan akhirnya, dibunuh?

Jawapannya: Tiada sebarang motif. Ini kerana mereka menjadi saksi kepada sesuatu yang mustahil, iaitu Yesus Kristus yang disalib mati kemudian bangkit semula tiga hari kemudian. Apabila menyaksikan perkara tersebut untuk diri sendiri, kehidupan mereka telah berubah: mereka keluar memproklamasikan peristiwa tersebut serta menulis tentangnya, walaupun menghadapi ancaman mati. 

Jadi, agama Kristian bukannya benar hanya kerana Alkitab menyatakan ia benar. Agama Kristian benar kerana satu peristiwa yang luarbiasa berlaku. Memang kita akan ketandusan informasi tentang agama Kristian jikalau tiada sesiapapun yang menulis laporan tentang peristiwa Kebangkitan Yesus, tetapi peristiwa tersebut tetap berlaku. 

Pernahkah kamu fikir bahawa terdapat ribuan orang Kristian sebelum sepatah perkataan Perjanjian Baru ditulis? Rasul Paulus adalah seorang Kristian sebelum dia menulis kitab pertamanya untuk Perjanjian Baru, sama seperti Matius, Yohanes, Yakobus, Petrus, dan lain-lain. Sebabnya senang sahaja: mereka menjadi saksi kepada Tuhan Yesus yang telah bangkit dari maut. 

Ia amat penting untuk menekankan bahawa para penulis Perjanjian Baru tidak mencipta cerita tentang Kebangkitan Yesus. Di sebaliknya, dari peristiwa Kebangkitan Yesus, lahirlah para penulis Perjanjian Baru. Tanpa Kebangkitan Yesus, kita tidak akan mempunyai satu naskah Perjanjian Baru pun di dalam tangan hari ini. Mereka yang beragama Yahudi tidak akan menciptakan sesuatu agama yang baru. 

Ini sebabnya kepercayaan asas Kristianiti tetap benar, walaupun laporan mungkin mengandungi kesalahan (tetapi Alkitab sah tidak mengandungi kesalahan). Salah satu ciri-ciri kesahihan peristiwa Kebangkitan Yesus adalah kewujudan beberapa laporan kesaksian tentang peristiwa tersebut, di mana terdapat penerangan yang berbeza daripada satu laporan kepada laporan yang lain. Ini kerana dua saksi yang mengalami peristiwa yang sama tidak akan memberi penerangan dengan cara yang sama. 

Lagi satu contoh adalah peristiwa pengkaraman kapal Titanic. Mereka yang terselamat tidak setuju sesama sendiri bagaimana kapal tersebut karam. Ada yang mendakwa bahawa Titanic pecah menjadi dua belah lalu karam, ada yang menafikan bahawa itu berlaku, dan tegas menyatakan Titanic karam begitu sahaja. Adakah percanggahan pendapat ini bukti bahawa kapal Titanic tidak karam? Memang tidak, semua orang bersetuju bahawa kapal tersebut karam, hanya pendapat cara kapalnya karam berbeza. 

Pemikiran lojik yang sama boleh dipakai untuk peristiwa Kebangkitan Yesus. Siapakah yang pertama sampai di kubur Yesus? Adakah terdapat satu atau dua malaikat? Semua perbezaan pendapat ini bukan semestinya percanggahan, tetapi adalah pengalaman satu peristiwa bersejarah yang sama tetapi berbeza dari sudut pendekatannya. 

Para penulis Perjanjian Baru mempunyai jauh lebih banyak untuk dikorbankan daripada keuntungan apabila bersaksi tentang Kebangkitan Yesus daripada kematian. Jadi, bukankah ia satu langkah yang bijak untuk meletakkan kepercayaan kamu kepada Tuhan Yesus Kristus yang sudah mengalahkan maut, dan boleh memberimu kehidupan yang kekal juga?