Photo by Zukiman Mohamad from Pexels

Lewat ini, berita hangat di dalam media massa termasuk cadangan pengisytiharan harta benda di kalangan ahli politik di Malaysia. Dari sudut pandangan seorang Kristian, adakah ini sesuatu yang perlu? Marilah kita selidiki motif atau prinsip di belakang cadangan pengisytiharan harta benda oleh para pemimpin sebuah negara.

1. Telus dan amanah di dalam hal pentadbiran

Pernah diulaskan bahawa orang Kristian tidak boleh berbohong, tidak kira apa situasi yang dihadapinya. Di dalam zaman ini, ramai orang percaya bahawa white lie atau bohong sunat tidak diambil kira sebagai dosa. Alasan di sebalik corak pemikiran sedemikian adalah “kalau bohong sunat itu tidak melukakan hati atau memudaratkan seseorang, maka bolehlah saya lakukan begitu”. Namun demikian, bohong sunat bercanggah dengan apa yang diajar oleh Tuhan Yesus, di mana kita perlu mengasihi “…Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu…” serta “…kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Matius 22:37-39). 

Kalau kita betul-betul mengasihi Allah, maka kita tidak akan berbohong, walaupun di dalam minda diri sendiri, kita “berbohong untuk kebaikan” seseorang. Boleh dikatakan bahawa bukan semua soalan yang ditanya oleh orang lain memerlukan respon atau jawapan. Yesus juga berdiam diri dan tidak gementar sewaktu Dia disoal siasat oleh Imam Agung (Matius 26:63). 

Jadi dari segi suasana politik, kalau harta benda seseorang diperoleh secara betul dan melalui hasil titik peluh sendiri, tidak ada masalahnya mengisytiharkan senarai harta benda di kalangan orang ramai sebagai pegawai awam yang diamanahkan mentadbir negara Malaysia yang tercinta. Kalau motif pengisytiharan harta benda adalah untuk membuktikan bahawa seseorang itu tidak menerima sogokan atau terlibat dalam aktiviti pecah amanah, maka ia berlandaskan prinsip-prinsip alkitabiah.

Yesus mengajar melalui perumpamaan, “Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga” (Lukas 12:48). Seorang yang tulus ikhlas, jujur dan mengasihi Allah tidak perlu berselindung di belakang agama atau ayat-ayat suci. 

2. Kebenaran membawa kemerdekaan

Seorang pegawai awam berbeza daripada rakyat biasa dari segi tanggungjawabnya. Oleh kerana dia dilantik atau diundi menduduki jawatan awam, maka dia juga perlu menerima hakikat bahawa tanggungjawabnya adalah kepada rakyat dan bukan hawa nafsu diri sendiri.

Yesus mengajar bahawa “…kebenaran itu akan memerdekakan kamu…” (Yohanes 8:32). Jika seorang pegawai awam atau pemerintah telus dan berterus terang kepada rakyat tentang polisi, hal ehwal pentadbiran, aliran wang, dll, maka dia akan membina kepercayaan di antaranya dengan rakyat. Ini menjadikan situasi lebih senang untuk bekerja kerana dia boleh mencurahkan segala tenaganya dalam melaksanakan polisi-polisi yang membawa manfaat kepada negara tanpa berfikir pelbagai cara untuk menyeleweng duit atau mendapat habuan, serta jalan keluar dari segi undang-undang menyorokkan duit yang diperoleh secara haram. 

Alangkah bagusnya kalau para pemimpin sebuah negara menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan mereka oleh rakyat kepada rakyat secara telus dan ikhlas? Mana-mana negara yang mempunyai pemimpin sedemikian akan diberkati Allah, dan secara am menjadi maju dan makmur dalam masa yang singkat. Jadi, pengisytiharan harta benda para pemimpin Malaysia boleh memerdekakan mereka yang ikhlas dan jujur dalam jawatan masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab yang berat terhadap rakyat dengan halangan minima. 

Kesimpulan

Jadi, adakah betul atau salah di dalam hal pengisytiharan harta benda oleh ahli politik di Malaysia? Kalau ia tidak memudaratkan sesiapa, tetapi di sebaliknya menyenangkan hati rakyat kerana ia melambangkan kejujuran dan ketelusan di kalangan para pemimpin, maka rakyat akan bersukacita. 

Amsal 21:15 menyatakan, “Apabila keadilan dilaksanakan, orang baik bersukacita, tetapi orang jahat ketakutan.’ Ingat, segala sesuatu yang kita lakukan perlu berlandaskan motif yang betul, dan kalau punca motivasi kelakuan kita adalah kasih sayang Tuhan Yesus, kamu dan saya tidak akan terpesong atau melanggar perintah-perintah Allah yang lain. 

Semoga kalian diberkati Tuhan selalu.