Alkitab Gutenberg

Pada petang Rabu kelmarin (Julai 3, 2019), sesiapa yang giat aktif ataupun ketagih terhadap aplikasi seperti WhatsApp, Facebook serta Instagram pasti mengalami serangan panik ataupun berasa amat resah kerana ketiga-tiga app tersebut tergendala, dan hal ini tidak terhad kepada Malaysia sahaja tetapi merentasi banyak negara yang lain. Tidak hairan ketiga-tiga aplikasi tersebut terlibat kerana semuanya berada di bawah satu syarikat iaitu Facebook. 

Mujur untuk golongan yang biasanya terlekat pada peranti pintar masing-masing untuk setiap detik hidup mereka, masalah yang mengakibatkan kesulitan tersebut berjaya diselesaikan oleh Facebook pada awal pagi ini. Sepanjang masa gangguan berlaku, ramai pengguna aplikasi tersebut tidak dapat menghantar gambar, video atau fail-fail yang lain kepada rakan masing-masing. 

Ramai antara pengguna WhatsApp, Facebook dan Instagram memakai platform alternatif seperti Twitter untuk menyuarakan ketidakpuasan, malah kemarahan mereka terhadap gangguan tersebut, dan merungut tentang kesulitan yang dialami. 

Kejadian ini menyebabkan saya berfikir, alangkah bagusnya orang Kristian mengalami perasaan yang sama apabila kita tidak mendapat peluang untuk membaca Alkitab setiap hari? Adakah kamu dan saya berasa terkejut dan kecewa dengan diri sendiri apabila gagal meluangkan masa dengan Tuhan Yesus setiap hari di dalam doa dan bacaan Firman Tuhan?

Mungkin pendekatan kita terhadap Firman Tuhan perlu dikukuhkan lagi selepas merenungkan betapa cepat dan senang kita berasa gelabah apabila telefon pintar kita kehilangan isyarat untuk seketika. Seseorang yang berasa cemas atau panik perlu mempertimbangkan semula keutamaan Firman Tuhan di dalam hidupnya.  Janganlah kita berhadapan dengan Allah Bapa hanya dalam masa kecemasan. Kita dicipta supaya mempunyai satu hubungan dengan-Nya, dan barangsiapa yang percaya dalam Yesus Kristus juga telah diberikan hak menjadi anak Allah.

Raja Daud bermazmur, “Lebih baik sehari di dalam Rumah-Mu daripada seribu hari di tempat lain; aku lebih gemar berdiri di pintu Rumah Allahku daripada tinggal di rumah orang jahat” (Mazmur 84:10). Mungkin saya dan kamu boleh memberi alasan atas pihak Raja Daud, bahawa dia tidak mempunyai telefon pintar pada zamannya, jadi masa lapangnya dipenuhi dengan membaca hukum Taurat! 

Kebenaran sebenar jauh daripada andaian tersebut yang jelas nyata salah.  Zaman muda Daud sebagai seorang gembala dipenuhi dengan mazmur dan pujian kepada Allah. Di tanah yang luas dan lapang, Daud yang muda itu berjaya mengalahkan beruang dan singa yang buas kerana Allah menyertainya.  Pada zaman mudanya, Raja Daud sudah memupuk tabiat meluangkan masa intim bersama Allah, dan di situlah pembentukan rohaninya membantu dia menjadi insan yang sayang pada Allah serta berkenan terhadap-Nya.

The heart of a matter is a matter of the heart”, di mana Yesus mengajar di dalam Matius 6:20-21, “Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya. Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!

Semoga kalian menjelajahi isi hati kalian, dan bertanya di manakah keutamaan kepada Firman Tuhan terletak dalam hidup kalian? Adakah kita masing-masing merindui Firman Tuhan “…seperti rusa merindukan air sungai…” (Mazmur 42:1)? Adakah kita berasa resah dan gelisah apabila turun ke ladang atau bertolak ke pejabat tanpa berdoa dan membaca Alkitab, ataupun lebih cenderung membuka telefon pintar selepas bangun setiap pagi? Atau adakah Alkitab kita dibuka hanya sekali seminggu, mahupun sewaktu perkahwinan, upacara kematian, pada hari Paskah ataupun Krismas? 

Semoga kamu dan saya mengasihi Firman Tuhan dengan lebih mendalam lagi setiap hari, sampai kami bertemu dengan Yesus sekali lagi. Tuhan berkati.