Apakah gambaran kamu terhadap Allah? Adakah Dia seorang yang bartakhta jauh di syurga, di mana kita mendekati-Nya hanya sebagai hamba, penuh dengan ketakutan? Adakah Allah mengkhususkan bangsa yang tertentu dengan melaknati mereka menjadi babi dan beruk? Adakah Allah mengutuskan orang Kristian untuk membunuh mereka yang tidak percaya serta mengusirkan mereka daripada tanah kamu? Siapakah Allah orang Kristian sebenar yang dipaparkan di dalam Alkitab?

Kita tahu bahawa Allah itu bukan sahaja Maha Pengasih, tetapi Allah adalah kasih. Hanya orang Kristian sahaja yang berani menyatakan bahawa Allah itu kasih, kerana ini diakui oleh Alkitab di dalam 1 Yohanes 4:16.

Salah satu ayat Alkitab yang paling terkenal tertera dalam Yohanes 3:16, di mana “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.

Saudara-saudari yang dikasihi Yesus, jangan hidup di dalam ketakutan bahawa Allah yang kamu sembah akan melaknat golongan atau bangsa yang tertentu pada hari akhirat. Dia juga tidak pernah mengarahkan orang Kristian untuk melaknat sesiapapun melalui doa atau ucapan. Di sebaliknya, Allah memerintah kita supaya “…mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu” (1 Yohanes 4:19). Allah orang Kristian tidak akan menukar sesiapapun menjadi babi atau beruk, lebih-lebih lagi memanggil sesiapa yang tidak percaya kepada-Nya sebagai makhluk yang melata. Dia ingin memakai kamu dan saya untuk menyeru mereka yang masih hidup di dalam kegelapan rohani supaya memasuki kerajaan syurga. 

Dua lagi ayat Alkitab yang menunjukkan kebesaran Allah serta kasih-Nya kepada manusia sejagat boleh didapati dalam 2 Petrus 3:9 serta 1 Timotius 2:4. 

2 Petrus 3:9 menyatakan, “Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapapun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.

1 Timotius 2:4, “Dia [Allah] mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar tentang penyelamatan, kerana hanya ada satu Allah dan hanya dada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia.

Allah sangat sayang kepada kamu dan saya, oleh itu Dia memberi kita pilihan untuk mengikuti-Nya ataupun menolak-Nya. Sesiapa yang ingin mengikuti Allah perlu percaya kepada Tuhan Yesus sebagai Anak Allah yang telah mati di atas kayu salib untuk dosa mereka, dan dia akan menerima hidup yang kekal. Pokoknya, penerimaan Yesus Kristus sebagai Juruselamat peribadi adalah langkah yang pertama, dan Roh Kudus akan datang menyempurnakan kita supaya kita siap sedia menghadapi Allah di syurga nanti.  Sebelum itu, kita yang telah percaya pada Yesus perlu hidup dengan saling mengasihi serta bertaubat daripada kehidupan yang berdosa.

Pada hari akhirat, sesiapa yang dibuang ke neraka tidak mempunyai alasan bahawa dia dilaknat Allah ataupun itu kehendak Allah, kerana ini adalah hasil keputusan sendiri, yakni menolak Yesus sebagai Juruselamat sewaktu masih hidup.

Sahutan Allah kepada orang ramai pada hari ini masih sama, di mana Dia ingin menyelamatkan semua orang daripada api neraka yang disediakan untuk Syaitan dan roh-roh jahat. Kalau kamu berasa bahawa rohmu dipanggil Allah, terimalah sahaja jemputan-Nya. Seperti yang Paulus menyatakan di dalam 2 Korintus 6:2, “…Ketahuilah bahawa sekaranglah masa yang diperkenankan Allah, dan sekaranglah hari kamu diselamatkan!

Tuhan berkati.