Doa Orang Kristian Untuk Malaysia

7628

Kita akan meraikan Hari Merdeka untuk Malaya pada akhir bulan ini (Ogos 31, 2019) dan juga Hari Malaysia pada 16 September, 2019. Memandangkan kedua-dua tarikh ini amat bermakna untuk setiap anak Malaysia yang sejati, kita yang mengikut Tuhan Yesus mungkin berasa amat kecewa dan keliru dengan seruan daripada seorang warganegara asing yang mempertikaikan kesetiaan minoriti rakyat Malaysia serta menujukan soalan supaya sesetengah warganegara Malaysia keluar daripada tanahair sendiri hanya berdasarkan bangsa mereka. 

Sebagai Kristian, bagaimanakan kita akan menangani situasi seperti ini? Memang hati kita pilu dan terluka, di mana warganegara asing tersebut yang dianggap sebagai penjenayah oleh para penguasa negara sendiri, berani mengeluarkan kata-kata yang tajam walaupun dia tidak mempunyai sebarang dasar untuk melakukan demikian, apatah lagi menyebarkan fitnah. 

Puji Tuhan, kerana Dia telah memberi umat manusia sejagat contoh yang terbaik untuk mengikuti, iaitu Yesus Kristus. Yesus Kristus tidak pernah memberi arahan supaya orang lain dibunuh ataupun memenggal kepala musuh-Nya walaupun dikeji, dihina dan ditolak. Di sebaliknya, Yesus memanggil pengikut-Nya supaya “…kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiayai kamu” (Matius 5:44). 

Namun demikian, Yesus faham apa yang kita lalui sekarang. Ini kerana Dia sendiri telah “…menderita kesengsaraan dan kesakitan” (Yesaya 53:3), dan Ibrani 4:15 menyatakan bahawa “Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa!

Di dalam kitab Mazmur yang mengandungi pelbagai jenis doa, Mazmur 58 mungkin sangat sesuai dalam masa ini. Tidak salahnya kita sebagai orang Kristian memakai doa-doa di dalam kitab Mazmur sebagai doa peribadi, kerana kita tahu bahawa Firman Tuhan telah berjanji, “Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah” (2 Timotius 3:16). 

Mazmur 58

Adilkah keputusan kamu, hai para pemerintah?

Jujurkah kamu pada waktu menghakimi manusia?

Tidak! Kamu hanya memikirkan kejahatan,

dan di negeri ini kamu melakukan keganasan.

Orang jahat sesat seumur hidup mereka;

sejak lahir, mereka berdusta.

Mereka beracun seperti ular berbisa;

mereka menutup telinga seperti ular senduk yang pekak

yang tidak mendengar suara pawang,

ataupun pembaca mantera yang bijak.

Patahkanlah gigi singa-singa muda itu, ya Allah;

cabutlah taring singa-singa itu, ya TUHAN!

Biarlah mereka hilang seperti air yang mengewap,

dan layu seperti rumput yang dipijak-pijak.

Biarlah mereka seperti siput yang menjadi lendir,

dan seperti bayi yang mati sebelum melihat cahaya.

Sebelum mereka sedar, mereka dipotong seperti rumput;

dengan kemurkaan-Nya, Allah akan membuang mereka hidup-hidup. 

Apabila melihat orang berdosa dihukum, orang bijak akan gembira, 

dan mencuci kaki dalam darah orang durjana.

Orang akan berkata, “Sesungguhnya orang baik akan mendapat pahala; sesungguhnya ada Allah yang mengadili dunia.”

Adakah kita terguris hati dengan kata-kata warganegara asing yang tidak bertanggungjawab? Memang. Tetapi yang pentingnya, kita mengikuti perintah Tuhan Yesus dan berdoa untuk mereka yang masih belum mengenal siapa Tuhan Yesus sebenar, iaitu Tuhan dan Allah untuk semua orang! Jadi, jangan bersandar pada para pemimpin ataupun sistem politik untuk memperbetulkan situasi, mahupun pemikiran sendiri.

Berdoalah kepada Tuhan, berseru kepada-Nya supaya Dia berbelas kasihan terhadap Malaysia yang kita sayangi, supaya Malaysia akan kekal aman damai, dan para pemimpin kita akan memerintah dengan penuh hikmah serta mengutamakan kebajikan anak Malaysia dan kesejahteraan Malaysia yang tercinta.  Janganlah takut kepada mereka yang bergantung pada kepandaian sendiri. Bukankah Allah mengalahkah orang Mesir, merendahkan Raja Nebukadnezar, memberi kemenangan kepada umat-Nya berulang kali walaupun mereka tidak mampu dengan usaha sendiri? Inilah keajaiban Allah yang kita sembah!

Tuhan Yesus sendiri berdoa untuk mereka yang menyalibkan-Nya, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka” (Lukas 23:34). Kita juga berdoa seperti Yesus. Semoga Allah berbelas kasihan terhadap anasir-anasir jahat di Malaysia yang cuba menyahstabilkan ketenteraman yang sedia ada. Jangan berputus asa, tetapi lebih tekun lagi berdoa kerana “Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa” (2 Petrus 3:9).

Tuhan berkati kalian.