Perkara setia kepada Tuhan bukan lagi isu dikalangan orang muda tetapi semua Kristian. Bahkan Alkitab cukup jelas menceritakan keadaan bangsa Israel ketika di padang gurun selama 40 tahun yang teruji kesetiaan mereka kepada Allah. Golongan yang banyak memberi cabaran dalam kepimpinan Musa adalah orang dewasa. Ketika orang ramai ingin menghukum seorang perempuan dengan melemparkan batu, Yesus menuliskan sesuatu dengan jarinya di tanah, lalu bertanya jika ada sesiapa diantara orang ramai tidak berdosa, bolehlah melemparkan batu kepada perempuan itu. Satu persatu pergi dari situ bermula dari yang paling tua (Yohanes 8:9).

Dalam dunia kekristianan, bila topik setia dibicarakan, automatik dalam fikiran kita adalah ‘tidak melakukan dosa’. Bagaimana jika seseorang itu berdosa sebelum menjadi Kristian? Oh, itu tidak mengapa sebab dia belum mengenal Kristus. Bertaubat dan jadilah Kristian yang setia. Jadi, kalau sudah menjadi Kristian tetapi berdosa lagi itu bagaimana? Saya sempat melihat bagaimana seorang Kristian telah berdosa mengalami penolakan serius dari pihak gereja, khususnya kepimpinan dan golongan dewasa. Ketika melihat situasi itu, saya hairan, kenapa tidak ampuni sahaja dan bantu dia melalui proses pertaubatan? Mungkin kerana pada waktu itu saya masih kanak-kanak dan pemikiran kanak-kanak ini terlalu lurus. Akhirnya sampai sekarang saya perhatikan orang yang telah jatuh dalam dosa itu tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke gereja yang sama. Yang menghalang dia untuk berbalik pada Tuhan bukan orang muda, tetapi orang dewasa. Saya keliru mengapa perkara seperti ini sampai sekarang masih berlaku dalam kekristianan, sedangkan perintah Yesus untuk kita saling mengasihi tidak ada syarat. Jahat bagaimana sekalipun seseorang itu terhadap kita, harus kita kasihi. Orang bukan musuh kita, dosa – ya. Akan tetapi Yesus memerintahkan supaya mengasihi musuh. Bukankah ada perintah Yesus untuk kita mengasihi musuh kita? (Matius 5:44).

Jadi, bagaimanakah seorang Kristian tetap setia? Soal setia adalah sangat peribadi. Maksudnya, hanya diri sendiri yang dapat menentukan bagaimana dirinya dapat setia. Kita harus akui sebagai manusia kita lemah dalam kesetiaan. Sejak kejatuhan manusia pertama; Adam dan Hawa, ianya adalah isu terbesar dalam kehidupan manusia. Sebab itu manusia diuji melalui hal-hal kecil; dengan bimbingan yang betul dan penghargaan yang cukup, pasti kesetiaan semakin kuat. Cabarannya cuma satu, mampukah kita saling mengasihi dan mendorong bersama dalam membangun kesetiaan kita terhadap Tuhan? Perkara ini sangat subjektif kerana untuk “kita saling” itu terbatas dalam golongan sosial kita. Amat jarang dari gereja A akan dapat saling mendorong dengan gereja B kerana terbatas dari segi psikososial. Walaupun membaca Alkitab yang sama, belum tentu impak yang sama. Terlalu banyak faktor dapat difikirkan cabaran untuk “kita saling”. Jadi, apa penyelesaiannya?

Saya yakin kesetiaan dalam keimanan kepada Tuhan seseorang itu konsisten apabila ada suatu pengalaman yang memberi kesan dalam kehidupan dimana berlakunya suatu respon pola fikiran dan hati nurani yang melibatkan Firman Tuhan, dengan pimpinan Roh Kudus dan juga bimbingan dari seorang yang dewasa dalam kerohanian serta sokongan dari gereja atau komuniti Kristian secara umum. Hal ini hanya akan dapat terlaksana jika adanya suatu wadah kerohanian yang holistik sepertimana yang dialami jemaah Kristian pertama (KPR 2). Ya, hal ini bukan mudah dilakukan, tetapi Alkitab adalah panduan yang paling baik Allah telah berikan kepada Kristian. Adakalanya persoalan seperti ini amat rumit untuk difikirkan sedangkan jawapannya amat mudah.

Jadi, bagaimanakah seorang Kristian tetap setia? Jika ada seorang lagi Kristian mampu mengasihi sepertimana yang diperintahkan oleh Yesus, maka bersama-sama pasti dapat saling menjaga kesetiaan iman kepada Tuhan. Renungkan.