Tidak masuk akal bagaimana Yesus boleh menjelma sebagai Allah dan manusia serentak. Ini adalah salah satu ajaran Kristian yang saya tidak dapat terima.

Allah tidak akan merendahkan diri dan menjadi seorang manusia di dalam bentuk Yesus.

Yesus hanya seorang manusia, mengapa orang Kristian mahu men-Tuhankan manusia?

 

Alkitab mengajar bahawa Yesus Kristus adalah Allah dan manusia serentak. Bukan sahaja orang ramai, tetapi banyak orang Kristian juga yang masih bergumul dengan pemahaman bagaimana Yesus adalah Allah serta manusia sekaligus. Bagaimanakah Pencipta alam semesta boleh menjadi manusia fana? Benarkah seorang lelaki Yahudi dari abad yang pertama Selepas Masihi adalah Allah sekaligus? Tidak dinafikan bahawa persoalan akan timbul, tetapi Alkitab (serta tradisi gereja yang tertentu) mengandungi bukti-bukti yang penting untuk menolong kita memahami hal ini. 

 

Majlis gereja dari zaman dahulu pernah mempertimbangkan isu-isu berkaitan dengan Kristus dan hubungan-Nya dengan Allah Bapa. Majlis Chalcedon (451 SM) mengesahkan bahawa Kristus adalah “sempurna secara ilahi dan sempurna secara manusia, Allah serta manusia serentak.” Kenyataan tersebut benar bukan kerana Majlis Chalcedon mengajar begitu, tetapi kerana pengajaran itu selari dengan apa yang Alkitab menyatakan tentang keilahian dan kemanusiaan Yesus. Alkitab sangat jelas menunjukkan bahawa Yesus adalah Allah (Yohanes 20:28; Titus 2:13; Ibrani 1:8), dan manusia (Roma 1:2–4; 1 Yohanes 4:2–3). Yesus sendiri menuntut nama yang ilahi (Yohanes 8:58) dan melakukan perkara yang hanya dapat Allah lakukan (Markus 2:1–12; Lukas 7:48–50). Namun demikian, Yesus juga menunjukkan ciri-ciri kemanusiaan yang kita semua alami (Lukas 19:41; Yohanes 19:28).

 

Kepercayaan bahawa Yesus adalah Allah dan manusia serentak merupakan salah satu asas kepercayaan yang sangat penting. Rasul Paulus menulis bahawa seseorang perlu mengaku keilahian Yesus sebagai syarat penyelamatan (Roma 10:9), dan Yohanes juga memberi amaran kepada mereka yang menafikan kemanusiaan Kristus sebagai golongan yang mengajar doktrin anti-Kristus (2 Yoahnes 1:7).

 

Allah Tritunggal di dalam Alkitab adalah abadi, dan peribadi Tritunggal yang Kedua, Allah Anak, menjadi manusia di dalam satu detik masa (Lukas 1:35; Ibrani 1:5). Allah Anak menambahkan fitrah manusia yang tidak berdosa kepada keilahian-Nya. Penjelmaan Yesus Kristus sebagai manusia (Yohanes 1:1, 14) sesuatu yang sangat nyata. Ibrani 2:17 menjelaskan mengapa Yesus sebagai perlu menjelma sebagai manusia juga: “Hal ini bererti Dia harus menjadi seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal. Dengan demikian Dia dapat menjadi Imam Agung yang setia dan berbelas kasihan. Dengan pelayanan-Nya itu dosa manusia dapat diampunkan.” Anak Allah menjadi manusia untuk menebus mereka yang hidup di bawah Taurat (Galatia 4:4–5).

 

Yesus tidak pernah berhenti menjadi Allah. Walaupun Dia menjadi manusia, Dia tidak pernah memansuhkan keilahian-Nya (rujuk Lukas 6:5, 8). Ia juga benar bahawa setelah Dia menjelma sebagai manusia, Allah Anak tidak memansuhkan kemanusiaan-Nya. Seperti yang ditulis oleh rasul Paulus, “…kerana hanya ada satu Allah dan hanya ada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia” (1 Timotius 2:5). Yesus bukan setengah ilahi dan setengah manusia. Disebaliknya, Dia adalah Theanthropos, Allah-manusia. Tuhan Yesus Kristus adalah Peribadi ilahi yang abadi, yang senantiasa memiliki dua fitrah yang berbeza tetapi tidak boleh dipisahkan: satunya ilahi dan satunya manusia.