Beberapa minggu yang lalu, Facebook sesak dengan gambar-gambar “starter pack” yang menunjukkan identiti orang, tempat, penduduk ataupun sesebuah institusi/organisasi. Identiti mendefinisikan siapa kita. Itulah yang menjadikan siapa kita; yang menjadikan setiap kita unik. Akan tetapi, perkara ini sukar untuk difahami kerana ramai kita yang masih belajar untuk mengenal diri setaip hari. Sebagai orang Kristian, kita juga ada “starter pack”. Dan inilah yang menjadi identiti orang Kristian. Tetapi ada juga yang dianggap “starter pack” padahal ianya bukan identiti Kristian.

Pakaian. Pakaian bukan identiti Kristian. Namun, suku, kaum dan agama dapat dikenal dengan kustom/pemakaian. Di Sabah ini ada banyak gereja yang suka mengidentifikasikan diri dengan t-shirt dicetak dengan ayat-ayat dari Alkitab dan imej atau gambar yang melambangkan kekristianan, akan tetapi pakaian bukan identiti Kristian. Pemakaian adalah kod etika seorang Kristian. Pasti pemakaian sedemikian ‘membezakan’ kita dari mereka yang bukan beragama Kristian. Harta benda. Harta benda bukan identiti kita sebagai Kristian. Perhatikan jemaah Kristian pertama yang tercatat dalam Kisah Para Rasul, tidak ada dicatatkan tentang kaya dan miskin. Tidak ada. Malah apapun milik mereka, dikongsikan bersama demi keuntungan dan kekurangan bersama. Tidak salah memiliki harta benda, jangan saja bertuhankan harta benda – itu salah. Tuhan tidak pernah melihat harta benda kita sebagai ukuran ketaatan. Harta benda boleh jadi hasil usaha dan kepintaran, ataupun berkat. Kerjaya. Kerjaya bukan identiti Kristian, tetapi kewajipan dari Allah yang manusia harus penuhi setelah Adam dan Hawa melanggar perintah Tuhan (Kejadian 3:17-19). Ya, memang oleh kasih karunia yang kita terima melalui Yesus, kita tidak lagi terikat dengan hukuman dosa Adam, tetapi, memiliki dan melaksanakan kerjaya dengan baik juga adalah indikator iman yang kita latih agar menjadi saksi dimana kita bekerja. Pastor di gereja bukan kerjaya, ianya adalah panggilan Tuhan. Jadi, apakah identiti kita sebagai kristian?

Identiti Kristian yang pertama, ketaatan. Manusia diciptakan menurut gambaran Allah (Kejadian 1:27). Justeru itu, manusia memiliki kualiti Allah yang penting – ketaatan. Kalau kita melihat sejarah manusia dalam Alkitab, yang mengagalkan karya Allah adalah ketidaktaatan manusia. Sebaliknya, keseluruhan Perjanjian Lama memaparkan ketaatan Allah terhadap manusia. Tanpa ketaatan terhadap Allah, identiti kita sebagai Kristian bahkan di dalam Kristus tidak akan berhasil. Identiti Kristian yang kedua, Roh kebenaran. Yang membezakan kita dari orang lain adalah kepemilikan Roh kebenaran sepertimana yang Yohanes katakan (1 Yohanes 4:4-6). Ada ramai Kristian sesat pada masa kini kerana tidak dapat membezakan apa yang benar, dan apa yang sesat kerana adanya keraguan identiti sebagai Kristian. Dan ianya berlaku apabila tidak mendengar Firman Tuhan. Tanpa Roh Kebenaran, maka identiti kita sebagai Kristian akan hilang. Identiti Kristian yang ketiga, “..tinggal di dalam Aku..” (Yohanes 15:4-5). Kata kunci yang paling penting dalam identiti kita sebagai Kristian adalah kata ‘dalam’. Jika Kristian benar-benar mahu mengidentifikasikan diri kepada dunia, maka haruslah kita sentiasa tinggal di dalam Kristus. Ada banyak versi komentari mengenai teks Firman Tuhan ini. Ada yang mengatakan ‘Aku’ itu Yesus, ada juga Roh Kudus. Kedua-duanya adalah peribadi di dalam ketritunggalan Allah, dan tidak membezakan siapa yang harus kita turuti. Apa yang lebih penting adalah – apakah kita, Kristian, tinggal di dalam Tuhan?

Menjadi Kristian bukan soal apa yang kelihatan’ pakaian, harta atau kerjaya, tetapi kerohanian. Milikilah ketaatan, Roh Kebenaran dan tinggalah di dalam-Nya, maka identiti kekristianan tidak akan pupus oleh zaman.

Shalom.