Sesiapa yang pernah menghadiri kebaktian di gereja pasti sudah tahu bahawa terdapat detik di mana wang persembahan akan dikutip untuk keperluan gereja. Persembahan tersebut bukan wajib, tetapi digalakkan dan adalah satu sikap yang berlandaskan alkitabiah. Sudah pasti kalian membaca dan mendengar bagaimana kita perlu bersikap murah hati, tetapi ramai antara kita pasti mengalami pergumulan sewaktu Allah memerintah umat-Nya untuk memberi.

Pernahkah kamu tertanya-tanya, “Mengapa Allah memerintah saya memberi sedangkan saya  bukan seseorang yang kaya-raya?”, “Saya hidup kais pagi, makan pagi sahaja, dan keluarga saya berada dalam keadaan yang mendesak. Siapakah yang akan memberi mereka beras dan susu untuk minggu ini?”, “Mengapa Allah tidak memberitahu orang yang kaya-raya untuk memberi dengan lebih?”, dan juga “Bukankah Allah mahakuasa? Kalau begitu, biarlah Dia yang memberkati gereja ini di luar jangkaan kita!”

Pemberian, terutamanya pemberian sehingga tahan pengorbanan, adalah satu ajaran yang agak susah untuk diterima, terutamanya sewaktu seseorang mengalami kegawatan ekonomi. Tidakkah Allah berbelas kasihan terhadap kami yang bertungkus-lumus membanting tulang siang dan petang, hanya untuk memenuhi keperluan keluarga harian? Ataupun sewaktu kita memperoleh sedikit sebanyak pada akhir tahun, terdapat pula permintaan daripada Allah kerana gereja tempatan memerlukan wang untuk memperbaiki bangunan ataupun membiayai perbelanjaan bulanan. Mengapakah Allah menghargai pemberian kita dengan lebih banyak lagi sewaktu kami berada di dalam keadaan yang kekurangan (lihat cerita persembahan seorang balu dalam Markus 12:41-44)?

Saudara yang dikasihi Tuhan, Allah tidak akan marah ataupun merajuk apabila kita meragui permintaan-Nya, kerana pada akhirnya, kita boleh senang hati bahawa Dia mengetahui segala sesuatu, termasuk rencana yang sempurna untuk setiap individu. “Sesungguhnya, rancangan-Ku bukanlah rancanganmu dan jalanmu bukanlah jalan-Ku,” demikianlah firman Tuhan. “Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu dan rancangan-Ku daripada rancanganmu” (Yesaya 55:8-9). Walaupun rancangan Allah tidak dapat difahami kamu dan saya, kita bersyukur kerana Dia senantiasa memberi kita sekali imbas tentang rancangan-Nya. 

Tentang hal pemberian atau persembahan, Allah tidak memerlukan duit dan harta kita. Yang Dia mahu adalah peribadi kita, dan proses pemberian atau persembahan itulah yang memberkati serta mengubah hati kita, malah memuliakan Nama-Nya. Allah bekerja dari pelbagai sudut dan memenuhi kehendak-Nya. Marilah kita lihat beberapa tujuan yang Allah ingin mantapkan sewaktu kita patuh dan memberi.

Pemberian/Persembahan Mengubah Hati Kita

Sewaktu kita memberi, kita patuh kepada Allah dengan melakukan sesuatu yang menentang naluri semulajadi yang telah dicemari dosa. Disiplin memberi membantu kita bertumbuh secara rohani, dan membentuk peribadi masing-masing supaya menyerupai gambaran Allah. Abraham sendiri sanggup mengorbankan anak perjanjian dia Ishak setelah diperintah oleh Allah untuk melakukan demikian, dan saya percaya bahawa pengalaman tersebut menyediakan dia menjadi wira iman untuk diteladani. 

Allah boleh melakukan jauh lebih daripada itu melalui seorang bijaksana yang matang dan selalu memberi berbanding dengan seseorang yang hidup secara duniawi. Duit dan harta benda boleh lesap, dicuri ataupun musnah pada bila-bila masa sahaja, dan jikalau kita menaruh segala harapan terhadapnya, sudah pasti hidup kita akan diberi kejutan yang besar apabila ia lesap, dicuri atau dimusnahkan. Allah ingin kita kumpulkan harta yang kekal, iaitu Dia serta orang-orang yang berada di sekeliling kamu dan saya. “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu” (Matius 6:19-21).

Sewaktu Allah menyempurnakan hati kita untuk menyerupai-Nya, ataupun memberi kita peluang untuk melihat melalui kanta mata-Nya, kita akan belajar membezakan apa yang kekal dan apa yang sementara. Paulus mengingatkan jemaat di Korintus, “Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal” (2 Korintus 4:18). Dengan membuka mata kita terhadap kerja Allah, kita boleh melangkah keluar dalam iman, patuh kepada perintah-Nya untuk memberi, dan berteduh di dalam-Nya walaupun kita berada di sekeliling keadaan yang menakutkan. 

Pemberian Kita Memuliakan Allah

Sikap murah hati yang sedia memberi bukan sebahagian daripada fitrah manusia yang berdosa. Sejak kelahiran, kita sentiasa pentingkan keselesaan dan nafsu diri sendiri. Sewaktu membesar dan mempelajari pelbagai jenis nilai rohani, terutamanya dalam hal mengenali Allah dan menyerahkan kehidupan kita kepada-Nya.  Apabila melakukan demikian, Dia akan mengubah hati kita supaya kita akan belajar mengutamakan orang lain dan meletakkan kepercayaan kepada-Nya untuk memenuhi segala keperluan peribadi. Hati manusia yang gelojoh dan mementingkan diri sendiri boleh ditukar oleh Allah, dan dalam hal pemberian, Dia dimuliakan. 

Rancangan Allah memang jauh berbeza daripada apa yang manusia dapat fikirkan, dan sewaktu Dia memberitahu kita supaya memberi di dalam situasi yang tertentu, sudah pasti bahawa penerima daripada hasil pemberian tersebut akan diberkati dan kesan-kesan daripada kepatuhan kita tidak dapat dijangka. 

Saya mengalami kebenaran ini dengan rakan karib saya. Pada satu hari, dia berkongsi dengan saya bahawa Allah inginkan dia berkati keluarga dengan keretanya. Dia rasa bahawa Allah sedang membimbing dia untuk berjalan dalam iman. Setelah berbincang dengan suaminya yang juga turut merasai perkara yang sama, mereka patuh kepada perintah Allah dan memberkati keluarga tersebut dengan kereta. Pendek kata, keluarga itu amat terharu dan bersyukur. Tanpa lengah lagi, isteri si penerima memuliakan Allah di laman Facebook tentang berkat ini. Dia terus menjemput rakan-rakan yang memberi komen di status Facebook ke gereja. Di samping itu, suaminya yang kian lama tidak menghadiri kebaktian, juga turut datang ke gereja pada minggu yang seterusnya!

Rakan saya yang menyerahkan keretanya aman terharu dengan cara Allah memakai dia untuk menolong orang lain. Saya sendiri didorong oleh kepatuhan rakan saya terhadap gerakan Allah, dan secara peribadi saya mula berdoa bagaimana saya boleh menjadi berkat kepada orang lain. Allah kemudian memberitahu saya supaya membeli sebuah tablet untuk rakan dan suami tersebut, kerana saya tahu bahawa tablet itu sangat membantu di dalam pelayanannya. 

Hal ini merupakan satu cabaran kerana saya kesempitan wang lewat ini, tetapi setelah berbincang dengan suami saya, dia juga bersetuju dengan apa yang Allah letakkan di dalam hati saya. Jadi, kami mengambil langkah dalam iman untuk memberkati rakan saya dengan sebuah tablet. Mereka tidak menjangka bahawa Allah akan memberkati mereka melalui cara ini, dan kami sendiri diberkati Allah kerana patuh kepada perintah-Nya. 

Allah bekerja di dalam kehidupan rakan kami supaya mereka menaruh iman dengan-Nya dengan lebih mendalam lagi. Dia telah membuktikan kesetiaan-Nya terhadap keluarga yang menerima kereta tersebut, serta membuka peluang memberi kesaksian kepada rakan-rakan keluarga yang diberkati itu. Allah juga bekerja di dalam kehidupan saya dan suami saya dengan menolong kami maju dalam iman, dan kesan pemberian kami memang tidak dijangka, termasuk menulis artikel ini. Kita tidak tahu betapa jauh aksi memberkati orang lain akan berlaku, tetapi Allah yang tahu.

Hanya Allah sendiri yang mengetahui betapa banyak berkat yang akan disalurkan kepada orang lain dengan setiap kelakuan yang patuh kepada-Nya, walaupun pada waktu itu, perintah-Nya mungkin sesuatu yang tidak selesa ataupun tidak masuk akal. Allah boleh melakukan perkara yang luar biasa melalui pemberian kita yang bukannya besar atau banyak, dan Dia dimuliakan juga! 

Kita Diberkati Apabila Memberkati

Bukan sahaja si penerima yang diberkati, tetapi mereka yang memberi juga diberkati. Ketahui bahawa kamu sedang dipakai oleh Allah secara luarbiasa! Malah, detik melihat air muka penerima memang tidak dapat dibeli dengan mata wang! Ini sebab Allah seringkali mengingati kita bahawa memberi itu lebih berkatnya daripada menerima (Kisah Para Rasul 20:35). Kenyataan ini memang benar, kerana apabila saya mempunyai hadiah untuk ahli keluarga, saya jauh lebih teruja untuk memberi daripada menerima! 

Allah begitu dalam hal memberkati anak-anak-Nya, oleh itu Dia inginkan kita melakukan yang sama. “Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah ruah akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu” (Lukas 6:38).

Kita perlu ingat bahawa dalam hal pemberian, bukannya selalu berjalan dengan lancar seperti pengalaman yang saya ceritakan. Namun demikian, itu adalah satu contoh manifestasi undang-undang rohani yang ditetapkan oleh Allah. Sewaktu kita memberi, kita diberkati dari segi rohani dan jasmani. 

Saya tidak menafikan bahawa ia sesuatu perkara yang mencabar untuk menyahut seruan Allah dalam hal pemberian. Yang perlu ditegaskan adalah ini: Allah tidak mahu melihat kita hidup dalam penderitaan, tetapi ingin memberkati kita melalui cara yang secara duniawi, tidak masuk akal langsung. Jika kita sentiasa melakukan perkara yang senang dan biasa, maka kita juga akan rugi dari segi mengalami berkat Allah. Rohani kita tidak akan dikuatkan dan kita juga tidak dapat mengalami berkat yang Allah ingin memberi sewaktu patuh kepada-Nya. 

Penutup

Orang Kristian perlu ingat bahawa kita “…mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita” (1 Yohanes 4:19). Orang yang percaya menyembah Allah yang “…begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16). Oleh kerana segala sesuatu yang kita ada berasal daripada Allah, memang patut dan betul kita mempersembahkan yang terbaik kepada Allah dari segi kebendaan mahupun kerohanian. 

Semoga kalian diberkati oleh Tuhan Yesus.