Tuhan pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan sukacita. Dia tidak selalu murka, Dia tidak selalu menaruh dendam. – Mazmur 103:8-9

Ketika kita memilih untuk menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang, kita akan meletakkan sasaran untuk tujuan perhubungan tersebut sama ada sekadar pasangan kekasih atau pasangan hidup. Malangnya, banyak hubungan yang terkandas di perjalanan kerana sikap dan kesalahan yang dilanggar dalam hubungan. Akhirnya, masing-masing membawa kelukaan dalam hati, tidak kurang yang membenihkan perasaan benci dan dendam terhadap bekas pasangan kekasih. Ternyata ada yang memerlukan waktu yang cukup lama untuk sembuh dan tidak kurang juga yang mengambil keputusan untuk hidup membujang selamanya; tidak mahu disakiti lagi atau trauma dengan perhubungan lalu.

Ketika Daud menuliskan bait syairnya dalam Mazmur 103, Daud menyedari bahawa dia merupakan manusia yang sama seperti manusia lain yang ada di bawah pemerintahnya; masih mampu berbuat dosa, dan lalai dalam melaksanakan perintah Tuhan. Tetapi, Daud juga mengetahui bahawa Tuhan tidak membiarkan dia bersendirian dan Tuhan tidak sewenang-wenangnya memberikan hukuman kepadanya. Sehingga pada bait nombor 8-9, Daud menyatakan sifat yang Tuhan telah tunjukkan kepadanya iaitu panjang sabar, penuh sukacita, tidak mudah marah dan tidak suka menyimpan dendam! Bahkan, Daud juga menyedari kebaikan Tuhan sehingga pada bait nombor 17, Daud menuliskan bahawa, “Tuhan tetap mengasihi orang yang menghormati Dia”. Ternyata bahawa Tuhan sangat berkenan dengan orang yang memiliki hubungan intim dengan-Nya. Orang yang menghormati Tuhan pasti orang yang menjaga hubungannya dengan Tuhan dan tidak akan membuat Tuhan malu dengan kehidupan mereka di dunia ini. Akhirnya, hubungan intim dengan Tuhan itu Daud katakan mendapat imbalan daripada Tuhan iaitu “kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya” (18b).

Sahabat pembaca terkasih dalam Tuhan, kita mungkin saja disakiti oleh orang lain atau kita sendiri menyakiti orang lain. Kita boleh saja menaruh dendam kepada orang lain atau sebaliknya. Kita boleh saja memiliki hubungan yang tidak baik dengan orang lain. Tetapi, adakah itu teladan yang kita mahu tunjukkan kepada orang yang kita sakiti ataumendendami kita? Adakah kita sebagai anak-anak Tuhan berterusan harus menyimpan dendam dan sakit hati kepada orang yang mengecewakan kita? Tuhan lebih dahulu mengasihi kita dan tidak pernah berdendam dengan kita untuk semua kesalahan kita kepada-Nya. Apakah kita layak bermusuh dengan Tuhan dengan melakukan sebaliknya yang Tuhan sudah tunjukkan kepada kita? Berikanlah masa dan peribadi anda untuk berlutut di hadapan Tuhan dan nyatakan segala kepahitan yang terbuku dalam hidup anda. Mulailah berdialog dengan Allah dan mohon pemulihan hati kepada-Nya. Mohon agar anda diberikan kekuatan untuk memaafkan orang yang menyakiti anda dan kekuatan untuk meminta maaf kepada yang anda sakiti. Tuhan yang luarbiasa akan memberikan kelegaan kepada hati anda.

Pujilah Tuhan, haik semua ciptaan di seluruh tempat Dia memerintah. Pujilah Tuhan, hai jiwaku! (Mazmur 103:22)

Kepada Mu sahaja, ya TUHAN.

Aku bersujud mohon kekuatan;

untuk mengasihi mereka yang pernah menyakiti ku,

untuk mengampuni mereka yang pernah menghancurkan hidup ku.

Kepada Mu sahaja, ya Tuhan.

Aku merintih mohon kekuatan;

untuk meminta maaf kepada mereka yang aku sakiti,

memohon ampun kepada mereka yang pernah ku lukai.

Hanya kepada Mu sahaja, Ya Tuhan.

Amin.