Bangsa-bangsa yang takut akan Allah dulu sekarang tidak menghirau dan mengingkari Firman-Nya. Kanak-kanak dari keluarga yang beriman juga memberontak menentang ibubapa mereka. Tidak banyak yang telah berubah sejak peristiwa di Babel. 

Allah mencatatkan detik-detik sejarah yang penting sebagai amaran dan menenangkan hati umat-Nya (1 Korintus 10:11; Roma 15:4). Kami mungkin patah semangat dengan keadaan rohani keluarga diri sendiri serta keadaan negara, tetapi Allah ingin mendorong kita. Marilah kita melihat bagaimana peristiwa di Babel mengandungi ajaran yang penting dan masih relevan untuk kita hari ini. Allah sentiasa bekerja walaupun kita tidak dapat memahami ataupun melihat cara-Nya senantiasa. 

Di seluruh bumi cuma satu bahasa dan satu loghat pada ketika itu” (Kejadian 11:1).

Untuk memahami peristiwa di Babel dengan sebaik-baiknya, kita perlu mengingati keadaan di mana Musa bercerita kepada orang Ibrani pada masa itu. Mereka baru mengalami kebebasan daripada kehidupan sebagai hamba di Mesir pada sekitar 1491 SM. Orang Israel di ambang menakluki Tanah Perjanjian dan menghapuskan penghuni-penghuni yang berdosa di Kanaan. Mereka perlu memahami dari mana bangsa-bangsa lain berasal dan mengapa Allah mempunyai kewibawaan untuk menghakimi dosa mereka. 

Musa berpengetahuan tentang sejarah, geografi, corak linguistik, dan budaya-budaya di dunianya pada masa itu. Dia telah membesar dan dididik sebagai salah seorang anak Firaun. Namun demikian, dia tidak bersandar pada pendidikannya kerana Allah telah berbicara secara terus dengannya. Firman Allah — tidak kira disampaikan secara terus kepada Musa ataupun ditulis di dalam Alkitab untuk kita pada hari ini — adalah unsur kewibawaan yang paling unggul untuk kita. 

Kenyataan Allah tidak perlu dibuktikan. Namun demikian, bukti-bukti tetap selari dengan kenyataan Allah tentang zaman silam. Kejadian 11:1-9 mengandungi peristiwa tentang sejarah manusia yang istimewa. Pada awalnya, semua umat manusia bertutur dalam bahasa yang sama. Oleh kerana Allah menghakimi mereka, bahasa mereka dibahagikan kepada pelbagai jenis mengikut “keluarga.” Tidak hairan dunia ini dipenuhi dengan pelbagai jenis bahasa. 

Sewaktu perjalanan mereka ke sebelah timur, mereka menemukan dataran di Tanah Sinear lalu menetaplah mereka di situ” (Kejadian 11:2).

Setelah peristiwa banjir besar, Allah memberitahu keturunan Nuh supaya “…bertambah ramailah, dan penuhilah bumi” (Kejadian 9:1), tetapi di sebaliknya mereka memilih untuk bermastautin tetap di kawasan tersebut tanpa keinginan untuk berhijrah ke tempat yang lain. 

Pemberontakan secara tidak langsung ini berlaku tidak beberapa lama selepas banjir besar, dan hal ini tidak memeranjatkan Allah yang telah janjikan bahawa Dia tidak akan menghantar banjir besar lagi. Allah memberitahu Nuh bahawa kecenderungan manusia untuk berdosa adalah punca masalahnya:  “Biarpun dari kecil lagi ada sifat durjana dalam hati manusia” (Kejadian 8:21). Pemberontakan sudah menjadi corak yang sering berlaku sejak Adam mengingkari perintah Allah. 

Ayuh kita membuat batu bata dan membakarnya dengan sempurna” (Kejadian 11:3).

Dari manakah manusia awal belajar bagaimana membina sebuah kota dan menara? Sebelum banjir besar, Kain telah membina sebuah kota, dan keturunannya Tubal-kain diberkati dengan bakat bekerja dengan gangsa dan besi (Kejadian 4:17–22). Sangat jelas daripada salasilah di dalam kitab Kejadian bahawa Nuh hidup di kalangan mereka enam ratus tahun sebelum banjir besar, mempelajari pengetahuan mereka dan kebarangkalian buku-buku mereka. Anak-anak Nuh juga mempunyai banyak masa untuk memperkukuhkan bakat pembinaan masing-masing sewaktu membina bahtera. 

Seterusnya berkatalah mereka pula, “Ayuh kita bangunkan sebuah kota raya dan sebuah menara yang puncaknya menanjak sampai ke langit” (Kejadian 11:4).

Para peneroka di Babel ingin memastikan bahawa mereka tidak akan bercerai-berai. Perbuatan ini bertentangan dengan apa yang diamanahkan oleh Allah. Mereka ingin bertapak di satu tempat sahaja, termasuk sebuah menara di mana semua orang boleh berkumpul. Cuba meneliti jenis perkataan yang digunakan: kita dan diri kita. Musa telah jelas menyatakan bahawa keangkuhan adalah masalah utama di Babel. Pembinaan kota ataupun menara bukannya salah, tetapi motif yang angkuh boleh menukarkan aktiviti yang bermanfaat menjadi dosa. Mana-mana aktiviti manusia, kalau dilakukan dengan matlamat yang salah, adalah dosa sepertimana Amsal 21:4 memberi amaran (“Mata yang sombong dan hati yang bongkak, iaitu pelita orang durjana, adalah dosa”). 

Kumpulan pemberontak ini ingin membina sebuah menara di mana “puncaknya menanjak sampai ke langit.” Ini bahasa kiasan sahaja, sama seperti kubu-kubu orang Kanaan dikatakan “…mencapai langit” (Ulangan 1:28). 

Terdapat soalan tentang tujuan menara Babel dibina. Ada yang mencadangkan bahawa mereka ingin membina sebuah bangunan yang cukup besar dan kuat supaya banjir yang berlaku pada waktu depan tidak dapat memusnahkan umat manusia secara total, tetapi kalau itu betul-betul matlamat mereka, bukankah ia lebih masuk akal membinanya di kawasan bergunung? Komentar lain mencadangkan bahawa para pembina ingin mendirikan satu simbol berdikari. Secara tidak langsung, mereka menyatakan bahawa mereka tidak perlu bergantung lagi kepada Allah. 

Ada pula yang mencadangkan bahawa menara Babel adalah tapak agama palsu yang pertama di dunia selepas banjir besar. Wahyu 17:5 juga mencadangkan bahawa Babel adalah pusat agama duniawi. Ia adalah kebodohan dan keangkuhan manusia jika mereka berasa bahawa mereka dapat menyeberangi jurang di antara dunia fizikal dan rohani melalui usaha diri sendiri. 

“…Mari kita cari nama bagi diri kita, supaya kita tidak berserakan ke seluruh muka bumi” (Kejadian 11:4).

Ayat ini menunjukkan keangkuhan orang Babel. Mereka cuma mendapat nama untuk diri sendiri daripada memuliakan Sang Pencipta yang layak menerima semua pujian dan segala hormat. 

Sejak awal lagi, manusia senantiasa ingin kongsikan kemuliaan Allah. Iblis menggoda Hawa dengan janji bahawa dia dan Adam boleh “menjadi seperti Allah”. Semua agama yang berasal dari manusia cuba memuliakan Allah melalui hasil usaha sendiri. Di sebaliknya, Allah tidak tertarik dengan usaha manusia. Yang Dia mahu adalah kesetiaan dan kerendahan hati (1 Samuel 15:22-23). Musa memperingatkan kita semua bagaimana secara naluri, kita semuanya degil dan mempunyai semangat memberontak. 

Secara ironik, jika kita semua rendah hati dan setia, Allah akan mengingati kita. Musa membuktikan hal ini dengan membandingkan peristiwa di Babel dengan kesetiaan Abraham. Allah telah berjanji untuk menjadikan Abraham seorang yang terkenal, Abraham hanya perlu menunjukkan kesetiaannya kepada Allah (Kejadian 12:2). 

Lalu turunlah Tuhan untuk mengamati kota dan menara yang dibangunkan oleh anak-anak manusia” (Kejadian 11:5).

Ayat ini menandakan perubahan yang dramatik di dalam cerita Musa tentang peristiwa di Babel. Allah mengetahui acara manusia, dan Dia ingin bercampur tangan untuk menghalang mereka. Seringkali, kita belajar bahawa Allah memperhatikan gerak-geri manusia (Adam, generasi Nuh, Babel, Sodom, Gomora, dll) dan Dia menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kita. Tiada sesuatupun yang tidak diketahui Allah, tidak kira dosa individu ataupun seluruh bangsa. Ini adalah pengajaran kisah Babel. 

Maka berfirmanlah Tuhan, “Sesungguhnya, jika mereka yang satu bangsa, dan sama bahasa pertuturan mereka sudah mula membuat sebegini maka apa-apa pun niat yang hendak dilaksanakan mereka tidak ada yang tidak dapat dicapai oleh mereka” (Kejadian 11:6).

Ini adalah salah satu dakwaan yang mengagumkan dalam Alkitab. Allah telah memberkati manusia dengan pelbagai karunia. Semua karunia ini mengandungi satu matlamat: untuk memuliakan nama-Nya. Karunia istimewa kita, jika dipakai untuk tujuan yang salah, boleh membinasakan kita. Jadi, Allah menghadkan kegiatan umat manusia. Bukan seperti penghakiman yang dijatuhkan Allah seperti di zaman Musa apabila Dia menghapuskan hampir setiap nyawa di bumi ini, di sini Allah bercampur tangan sebelum pemberontakan menjadi terlalu teruk. 

“Baiklah Kita turun dan mencelarukan bahasa di seluruh bumi agar mereka bingung sehingga mereka tidak saling mengerti bahasa satu sama lain” (Kejadian 11:7).

Kelembutan Allah sewaktu menghakimi para pemberontak di Babel adalah satu pengajaran yang bagus untuk kita. Allah menghalang pemberontak daripada melakukan semua yang mereka ingini, kerana Dia memastikan bahawa pemberontakan diberhentikan pada awalnya supaya akibat yang ditanggung tidak begitu berat. 

Dengan mengubah hanya satu jenis bahasa kepada pelbagai jenis, Allah berjaya mengasingkan semua bangsa-bangsa dengan lebih berkesan daripada sebarang tindakan yang lain. Allah berjaya menghalang manusia sejagat daripada diketuai oleh seorang pemerintah yang zalim. Hanya mengikut masa Allah, Kristus akan datang mengumpul semua pengikut-Nya dari setiap suku bangsa dan bahasa (Wahyu 7:9). 

Cuba perhatikan kata-kata Allah. Sama seperti para pemberontak berkata, “Ayuh kita bangunkan sebuah menara”, Allah juga menyatakan, “Baiklah Kita mencelarukan bahasa mereka.” Sebagai pencipta bahasa manusia, Allah dengan senangnya mampu mengubah jenis bahasa supaya mereka yang berniat jahat tidak dapat lagi berbual sesama sendiri. 

“Demikianlah Tuhan mencerai-beraikan dan menyerakkan mereka ke seluruh muka bumi, lalu mereka berhenti membina kota raya itu” (Kejadian 11:8).

Musa menutup ceritanya dengan peringatan bahawa kehendak Allah akan sentiasa dilaksanakan. Kita mungkin berfikir bahawa aksi kita boleh bercanggah dengan kehendak Allah, tetapi ini hanya ilusi sahaja. Seperti Raja Salomo menulis, “Hati raja seumpama anak sungai di dalam tangan Tuhan, dialirkan-Nya ke mana sahaja Dia kehendaki” (Amsal 21:1).

Dengan perbuatan yang ringkas ini, Allah memaksa manusia untuk berpisah dan menakluki segala pelusuk dunia bersama keluarga masing-masing. Penghakiman pertama Allah selepas banjir besar adalah untuk terus melaksanakan kehendak-Nya tanpa membiarkan kita merosakkan segala sesuatu melalui dosa. Salah satu hari nanti, tidak kira kita suka atau tidak, semua umat manusia akan bertelut di hadapan hadirat Yesus Kristus, jambatan sebenar di antara syurga dan bumi (Filipi 2:9-11). 

“Itulah sebabnya nama kota raya itu Babel…” (Kejadian 11:9).

Pemberontakan manusia telah melahirkan nama untuk kota mereka, tetapi itu bukan nama yang dipilih. Nama Babel tersebut berkaitan dengan perkataan yang bermaksud “kekeliruan”. Tetapi cerita ini tidak berhenti begitu sahaja. Ayat seterusnya menceritakan bab yang baru di dalam sejarah manusia: “Inilah keturunan Sem” (Kejadian 11:10). Sejarah keluarga inilah yang menjadi tumpuan yang seterusnya di dalam Perjanjian Lama. 

Melalui Abraham, keturunan Sem, semua bangsa-bangsa di dunia diberkati. Allah telah berjanji kepada Abraham bahawa Dia akan menjadikan keturunan Abraham sebagai bangsa yang terkenal (Kejadian 12:2). Allah juga merancang bahawa pada satu hari nanti, dunia akan mengenali seorang Juruselamat, Yesus Kristus, yang berasal daripada keturunan Abraham. Selama ini, Allah merancang hendak membina sebuah kota yang bersatu padu di bawah pemerintahan Kristus. Oleh kerana Allah bukan seorang manusia yang tidak sabar, Dia mengikut jadual waktu sendiri di dalam pembinaan kota tersebut. 

Dengan kaca mata iman, Abraham menanti kota ini di mana ia “…kota yang berasas, yang dibina dan dicipta oleh Allah” (Ibrani 11:10). Berbanding dengan kota-kota kecil yang dibina oleh usaha manusia, kota Allah akan kekal selama-lamanya, dibina dengan penuh kemegahan dan kemewahan, di mana jalannya adalah emas dan dindingnya dipenuhi dengan batu-batu yang berharga (Wahyu 21:16). 

Rancangan Allah mengandungi cara yang hebat untuk orang yang berdosa untuk bertaubat dan menyertai-Nya di kota ini — dengan kepercayaan di dalam Yesus Kristus. Dengan mukjizat-Nya pada Hari Pentekosta di mana pelbagai bangsa dari segala pelusuk dunia mendengan Berita Baik di dalam bahasanya sendiri, Allah telah memberitahu dunia bahawa Dia sudah mula mengatasi batasan komunikasi Babel. Sejak waktu itu, Dia dengan penuh kesabaran, sedang menggenapi rancangan-Nya untuk menyeru kepada manusia sejagat “… daripada segala suku, bahasa, kaum, dan bangsa” (Wahyu 5:9).