Di dalam dunia ini, terdapat banyak jenis simbol yang digunakan oleh manusia. Contohnya, kalian sudah biasa dengan pelbagai ikon atau simbol app di dalam telefon pintar masing-masing, ataupun papan tanda di jalanraya yang menyampaikan maklumat penting seperti amaran, had laju, dan sebagainya. 

Untuk orang Kristian, simbol atau tanda salib merupakan satu peringatan tentang kematian Tuhan Yesus di atas salib sebagai korban untuk dosa manusia sejagat untuk selama-lamanya. Tiada tokoh agama lain yang pernah mengorbankan diri untuk manusia, dan anda tidak akan baca tentang manusia yang menganggapkan diri sebagai Allah dan Tuhan melalui perbuatan dan kata-kata seperti Yesus.

Itulah sebab tanda salib, salah satu tanda yang digeruni pada zaman Empayar Roma, telah melalui satu anjakan paradigma setelah kebangkitan Tuhan Yesus dari maut. Pada saat Yesus diangkat ke atas kayu salib, Syaitan merai-raikan peristiwa tersebut kerana dia ingat bahawa dia telah memperoleh kemenangan ke atas Anak Allah. Syaitan mungkin berfikir bahawa dia berjaya menghalang misi Yesus untuk menyelamatkan umat manusia daripada dosa, tetapi dia tidak tahu bahawa rancangan Allah yang sebenarnya. 

Hanya melalui korban yang sempurna dan tidak bercela kepada Allah yang mampu memperbenarkan semua orang. Tidak pernah ada nabi-nabi atau pengutus Allah dari dahulu sehingga sekarang kecuali Yesus yang memenuhi syarat tersebut, kerana semua nabi-nabi juga manusia fana yang berdosa

“Kerana sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia, ramai telah menjadi orang berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia, ramai akan diperbenar.”

– Roma 5:19

Bagaimana pula dengan orang Kristian di Malaysia? Pernahkah iman orang Kristian digugat kerana kami melihat tempat beribadah agama lain serta simbol-simbol mereka? Pernahkah kami merungut apabila anak Orang Asli di Pos Bihai yang berhampiran Gua Musang, Kelantan, ditampar oleh guru yang berlainan agama hanya kerana tidak mengikuti doa agama tersebut? Pernahkah orang Kristian di Malaysia membuat ugutan bunuh terhadap penganut agama lain, ataupun untuk membakar sekolah, rumah ibadah, dan lain-lain? 

Walaupun hari demi hari, hak-hak orang Kristian dan minoriti di Malaysia ditinjak serta ditindas, kami tidak membalas kejahatan dengan perbuatan yang setimpal. Di sebaliknya, kami terus bergantung kepada Firman Allah bahawa Dia “…yang berhak membalas dan mengganjar. Pada waktunya kaki mereka akan goyah, kerana hari bencana sudah dekat dan hal-hal yang sudah disiapkan bagi mereka akan segera datang” (Ulangan 32:35).

Bagi mereka yang akan binasa, berita tentang salib dianggap suatu kebodohan. Namun demikian, bagi kita yang diselamatkan Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan-Nya. Telah tersurat: “Allah berfirman, ‘Aku akan memusnahkan kebijaksanaan orang yang bijak. Dan kepandaian orang yang pandai Aku akan ketepikan.'” Jadi, di manakah orang yang bijak? Di manakah ahli Taurat? Di manakah orang berilmu zaman ini? Bukankah Allah telah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia sebenarnya kebodohan semata-mata? Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa dunia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan orang yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami khabarkan, yang dianggap sebagai kebodohan.

– 1 Korintus 1:18-21

Sewaktu Yesus bangkit dari maut, Dia telah menghancurkan kuasa dosa dan kematian untuk selama-lamanya kepada sesiapa yang percaya pada-Nya. Pada detik itu, Syaitan menggeletar dan membencikan tanda salib kerana salib itu merupakan satu peringatan tentang kemenangan Tuhan Yesus yang kekal. 

Pada zaman ini, tidak hairan jikalau sesiapa yang masih berada di bawah kuasa Syaitan berasa ketakutan ataupun kurang senang hati apabila memandang pada salib. 

Yesus sendiri menyatakan tentang golongan ini yang ingat bahawa mereka adalah golongan yang beriman dan soleh, “Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta” (Yohanes 8:44).

Pastikan keselamatan anda berada di dalam tangan Yesus Kristus dan bukan pada harta-benda, kebolehan peribadi, pengajaran yang terpesong, dan ‘nabi’ yang tidak percaya pada Yesus sebagai Anak Allah dan Juruselamat peribadi.