Suasana Kristianofobia di Malaysia bukan sesuatu yang baru. Terdapat pelbagai pihak yang menggelarkan diri sebagai penceramah, tokoh iman, serta penyelidik masih melakukan kesilapan yang sama: iaitu melonggokkan Saksi Yehovah sebagai agama Kristian. Sebelum anda terkeliru dengan omong-omong yang ditujukan oleh golongan tidak bertanggungjawab, anda perlu mengetahui definisi seorang Kristian dan asas-asas kepercayaan agama Kristian

Apakah Itu Kristian?

Salah satu persoalan yang perlu dijawab dengan tepat dan betul di dalam negara Malaysia ialah, “Apakah itu Kristian?” supaya tiada kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam keamanan negara berlaku.

Istilah “Kristian” pertama kali muncul di Kisah Para Rasul 11:26, “Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian.” Mereka digelar “Kristian” kerana kelakuan, aktiviti serta perucapan mereka yang menyerupai Yesus Kristus. Perkataan “Kristian” bermaksud “pengikut Yesus” ataupun “golongan yang mengikuti Kristus”. 

Alkitab sangat jelas mengajar bahawa perbuatan baik dan konsep mengumpul pahala tidak diterima oleh Allah. Pendek kata, seseorang boleh hidup berlandaskan nilai-nilai moral yang tertinggi, membuat amalan, menghadiri semua sesi sembahyang, meluangkan sebanyak masa yang mungkin di tempat beribadah, serta melayan sesama manusia dengan kasih sayang, dan dia masih bukan seorang Kristian. 

Efesus 2:8-9 menyatakan, “Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah – bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah.

Ayat-ayat tersebut sangat jelas mengajar bahawa penyelamatan (kelahiran baru) adalah kurnia daripada Allah. Tiada usaha manapun yang kita mampu lakukan untuk memperoleh penyelamatan. Kristian yang tulen adalah seseorang yang menerima karunia penyelamatan daripada Allah serta meletakkan kepercayaan mereka di dalam Yesus Kristus. Ini termasuk mengakui kematian Yesus di atas salib sebagai penjelasan ‘hutang’ dosa kita serta kebangkitan semula Yesus sebagai bukti kuasa-Nya ke atas maut. 

Mengakui bahawa Yesus disalibkan dan bangkit semula adalah langkah yang pertama, dan soalan lanjut yang menyusuli ialah, “Adakah apa-apa perubahan di dalam hidup anda?” “Adakah kelakuan anda menampilkan buah-buah Roh?” Kalau anda betul-betul menerima karunia penyelamatan daripada Allah dengan ikhlas, corak hidup anda akan menggambarkan ciri-ciri kasih untuk sesama dan kepatuhan kepada Firman Allah. 1 Yohanes 2:4-6 menyatakan, “Sekiranya seseorang berkata, “Aku mengenal Allah,” tetapi tidak taat akan perintah-Nya, maka dia seorang pendusta dan kebenaran tidak ada dalam dirinya. Tetapi jika sesiapa taat akan firman Allah, maka sempurnalah kasih Allah di dalam orang itu. Dengan demikian kita ketahui kita ada di dalam Dia: Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah Kristus.

Apakah Itu Saksi Yehovah (Jehovah’s Witnessses)?

Pendek kata, Saksi Yehovah bukan Kristian. Pencerahan yang lebih terperinci akan dibentengkan seperti berikut :-

1. Saksi Yehovah tidak percaya dalam Tritunggal

Saksi Yehovah menekan bahawa Alkitab tidak pernah memakai perkataan “Tritunggal”, jadi konsep tersebut tidak wujud. Mereka mendakwa bahawa doktrin Tritunggal dikembangkan merentasi masa beberapa kurun dan telah mengalami pelbagai kontroversi. 

 

2. Pandangan Saksi Yehovah mengajar tentang Yesus

Sama seperti pihak lain yang menurunkan darjat Yesus daripada Tuhan kepada manusia biasa, Saksi Yehovah juga tidak menyamakan Yesus dengan Allah. Mereka mengajar bahawa Yesus dicipta oleh Allah dan tidak wujud-sama dengan Dia. Ini adalah penyelewengan dari segi akidah berbanding dengan kepercayaan Kristian. Saksi Yehovah melakukan kesalahan pentafsiran Alkitab yang sangat asas, iaitu memetik ayat dari luar konteks dengan pendirian mereka bahawa Yohanes 14:28 menunjukkan detik di mana Yesus berkata, “… Bapa lebih besar daripada-Ku.

Kesalahan mengambil ayat Alkitab dari luar konteks telah kian lama dipakai untuk menyeleweng ajaran Kristian di kalangan ramai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti hal menutup kepala, pengharaman minum arak, hukuman merejam sampai mati, dan poligami

 

3. Kepercayaan Saksi Yehovah terhadap Roh Kudus

Saksi Yehovah juga tidak percaya bahawa Roh Kudus adalah sama taraf dengan Allah Bapa. Mereka percaya bahawa Roh Kudus adalah kuasa yang dipakai oleh Allah, dan Roh Kudus itu tidak melibatkan perasaan peribadi. Ayat-ayat Alkitab yang dipakai untuk memberikan justifikasi kepada pandangan tersebut Keluaran 15:8, 10 serta Lukas 11:13. 

 

4. Saksi Yehovah tidak pasti tentang penyelamatan mereka

Sama seperti banyak agama palsu lain di mana penganut mereka tidak pasti akan penyelamatan mereka, Saksi Yehovah juga tidak boleh memberi jawapan yang yakin. Ini bercanggah dengan pengajaran Yesus Kristus semasa Dia mengesyorkan pencuri yang telah percaya kepada-Nya sewaktu bergantung di atas salib bahawa “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.

Manusia biasa tidak mempunyai hak ataupun kuasa untuk menjanjikan penyelamatan, hanya Allah yang mampu. Sesiapa yang menghargai karunia pemikiran yang dikurniai Allah untuk semua manusia akan membuat kesimpulan bahawa Yesus secara tidak langsung, telah menyamakan diri dengan Allah berulang kali di dalam Alkitab. 

Beberapa contoh ayat Alkitab yang mengajar tentang kepastian penyelamatan boleh dilihat di sini. 

Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan;” – Roma 10:9

Akulah (Yesus) pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.” – Yohanes 10:9

Saksi Yehovah BUKAN Kristian!

Saya tidak akan terperanjat kalau pihak yang muflis secara intelektual masih berdegil dengan pendirian mereka bahawa Saksi Yehovah adalah Kristian hanya kerana sumber-sumber Saksi Yehovah menyatakan begitu. Corak pemikiran yang kebudak-budakan tersebut tidak berbeza daripada golongan pengganas seperti ISIS, Boko Haram dan Al-Qaeda yang menggelarkan diri sebagai Muslim dan menganut agama Islam. 

Saksi Yehovah BUKAN Kristian, dan Kristian yang sebenar BUKAN Saksi Yehovah. Golongan seperti Firdaus Wong, Ahmad Iqram, dan MRM masih menyebarkan berita palsu bahawa Saksi Yehovah adalah Kristian, orang Kristian tidak boleh minum arak dan sebagainya. Mungkin mereka masih terkeliru ataupun kurang melakukan penyelidikan yang terperinci dan objektif. Malangnya, buku-buku yang dihasilkan oleh mereka penuh dengan kejahilan tentang agama Kristian. Semoga anda berwaspada akan golongan ini. 

Apakah yang anda boleh lakukan sebagai seorang Kristian? Doakan untuk mereka yang sesat, supaya mereka akan bertemu dengan Tuhan Yesus yang lebih daripada sekadar nabi, kerana Yesus telah berjanji bahawa sesiapa yang percaya kepada-Nya (Dia menggelarkan Diri sebagai Jalan, Kebenaran dan Hidup) akan “…mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu” (Yohanes 8:32).